Return   Facebook   Zip File

Obligatory

Dilafazkan tiga kali sehari: pagi, tengah hari dan petang.

Barangsiapa yang hendak berdoa, haruslah mencuci tangannya, sambil mengucapkan:

Perkuatkanlah tanganku, Ya Tuhanku, agar ia dapat memegang Kitab-Mu dengan keteguhan yang kuat sehingga angkatan-angkatan dunia tak akan ada kuasa ke atasnya. Kemudian, jagalah ia daripada bercampur tangan dengan segala sesuatu yang bukan hak miliknya. Engkau, sesungguhnya, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kuat.

Dan membasuh mukanya sambil mengucapkan:

Aku telah menghadapkan wajahku kepada-Mu, Ya Tuhanku! Terangilahnya dengan sinar wajah-Mu. Kemudian, peliharalahnya daripada menghadap kepada sesiapa pun melainkan Engkau.

Kemudian dia perlu berdiri mengarahkan mukanya ke Kiblat, dan mengucapkan:

Tuhan telah naik saksi bahawa tiada Tuhan lain selain Dia. Kepunyaan Dialah segala kerajaan Wahyu dan alam ciptaan. Sesungguhnya, Dia telah menjelmakan Dia yang menjadi Tempat Terbit Wahyu, yang telah berbicara di Sinai, melalui-Nya Ufuk Yang Maha Tinggi telah disebabkan untuk bersinar, dan Sidratul Muntaha yang mana tidak dapat dilintasi telah bersuara, dan melalui-Nya seruan telah diumumkan kepada semua yang ada di langit dan di bumi: "Lihatlah, Sang Pemilik telah datang. Seluruh bumi dan syurga, kemuliaan dan kekuasaan adalah kepunyaan Tuhan, Raja semua manusia, dan Pemilik Takhta di atas syurga dan di bumi!"

Kemudian, biarlah dia membongkokkan badan, dengan tangan pada lutut, sambil mengucapkan:

Dimuliakan Engkau atas pujianku dan pujian orang lain selain daku, dan lebih mulialah Engkau atas gambaran yang aku berikan kepada-Mu dan gambaran yang diberikan oleh semua yang ada di langit dan di bumi!

Kemudian, berdiri dengan lengan terbuka, tangan menghala ke atas berhadapan muka, sambil mengucapkan:

Janganlah kecewakan, Ya Tuhanku, dia yang dengan jari-jari rayuan, telah memegang kelim jubah rahmat-Mu dan kurnia-Mu. Ya Engkau yang berbelas kasihan daripada semua yang Maha Mengasihani.

Kemudian, biarlah dia duduk dan mengucapkan:

Aku naik saksi atas keesaan-Mu dan ketunggalan-Mu dan bahawasanya Engkaulah Tuhan, dan tiada Tuhan lain selain Engkau. Sesungguhnya, Engkau telah mewahyukan Akidah-Mu, telah memenuhi Waadat-Mu dan telah membuka luas pintu kurnia-Mu kepada semua yang ada di langit dan di bumi. Selawat dan salam, penghormatan dan kemuliaan, bagi kekasih-kekasih-Mu, yang mana perubahan-perubahan dan nasib-nasib dunia tidak menghalanginya untuk menghadap kepada-Mu, dan yang telah mengorbankan segala sesuatu, dengan harapan agar menerima apa yang ada pada-Mu. Engkaulah, sesungguhnya, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Dermawan.

Seandainya seseorang memilih untuk membaca ayat berikut sebagai ganti kepada ayat yang panjang ini; ini juga mencukupi:

”Tuhan telah naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Dia, Penolong Dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.”

Dan begitu juga pada waktu duduk, akan mencukupi jika dia memilih untuk membaca ayat yang berikut:

”Aku naik saksi atas keesaan-Mu dan ketunggalan-Mu, dan bahawasanya Engkaulah Tuhan, dan tiada Tuhan yang lain selain Engkau.

#12034
- Bahá'u'lláh

 

Dilaksanakan sekali dalam dua puluh empat jam.

Barangsiapa yang hendak berdoa, haruslah berdiri dan menghadap kepada Tuhan, dan sambil berdiri di tempatnya, dia harus menoleh ke kanan dan ke kiri bagaikan orang yang menanti-nantikan rahmat Tuhannya, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang. Kemudian biarlah dia mengucapkan:

Ya Engkau Tuhan segala nama dan Pencipta syurga-syurga! Aku memohon kepada-Mu demi mereka Yang adalah Tempat Terbit Inti-Mu yang ghaib, Yang Maha Luhur, Yang Maha Mulia, agar menjadikan doaku sebagai api yang akan membakar segala tabir yang telah menutupiku daripada keindahan-Mu, dan sebagai cahaya yang akan membimbingku ke samudera Kehadiran-Mu.

Kemudian biarlah dia mengangkat tangannya dalam rayuan kepada Tuhan—dirahmati dan dimuliakan Dia—sambil mengucapkan:

Ya Engkau Hasrat alam semesta dan Kekasih segala bangsa! Engkau melihat diriku sedang menghadap kepada-Mu dan memisahkan diriku daripada segala sesuatu selain Engkau, dan memegang tali-Mu, melalui gerakannya seluruh ciptaan telah digerakkan. Aku hamba-Mu, Ya Tuhanku, dan putera hamba-Mu. Lihatlah aku sedang berdiri sambil bersedia untuk melakukan mengikut kehendak dan hasrat-Mu, dan tidak mengharapkan apa pun kecuali keredaan baik-Mu. Aku memohon kepada-Mu demi Samudera rahmat-Mu dan Suria kurnia-Mu agar Engkau melakukan kepada hamba-Mu apa yang Engkau kehendaki dan redai. Demi kekuasaan-Mu yang jauh lebih tinggi daripada ucapan dan pujian! Apa sahaja yang telah diturunkan oleh-Mu adalah hasrat hatiku dan kekasih jiwaku. Ya Tuhan, Tuhanku! Janganlah melihat kepada harapan-harapanku dan perbuatan-perbuatanku, tetapi pandanglah kepada kehendak-Mu yang meliputi langit dan bumi. Demi Nama-Mu Yang Maha Agung, Ya Engkau Raja segala bangsa! Aku hanya menghendaki apa yang Engkau kehendaki dan hanya mencintai apa yang Engkau cintai.

Kemudian biarlah dia bersujud (berlutut sambil meletakkan dahi ke lantai), dan mengucapkan:

Lebih mulialah Engkau di atas segala sifat yang diberikan oleh sesiapa pun selain Engkau Sendiri dan di atas pengertian sesiapa pun kecuali Engkau.

Kemudian dia berdiri dan mengucapkan:

Ya Tuhanku, jadikanlah doaku laksana suatu sumber air kehidupan, yang melaluinya, aku dapat hidup selama kerajaan-Mu berlangsung, dan dapat menyebut Engkau dalam setiap alam daripada alam-alam-Mu.

Kemudian biarlah dia mengangkat kedua-dua tangannya lagi dalam rayuan dan mengucapkan:

Ya Engkau, yang apabila terpisah daripada-Mu, leburlah hati dan jiwa, dan dengan api cinta-Mu seluruh dunia telah dinyalakan! Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu yang melaluinya Engkau telah menguasai seluruh ciptaan, agar jangan menghalangi aku daripada apa yang ada pada-Mu, Ya Engkau yang menguasai semua manusia! Ya Tuhanku, Engkau melihat orang asing ini sedang bergegas menuju ke tempat asalnya yang tertinggi di bawah naungan kubah keagungan-Mu dan dalam lingkungan rahmat-Mu; dan orang yang berdosa ini sedang mencari samudera pengampunan-Mu; dan orang yang hina ini sedang mencari istana kemuliaan-Mu; dan makhluk miskin ini mencari ufuk kekayaan-Mu. Engkaulah memiliki kekuasaan untuk memerintah apa pun yang Engkau kehendaki. Aku naik saksi bahawa Engkaulah yang harus dipuji dalam segala tindakan-Mu, dan yang harus ditaati dalam segala keputusan-Mu, dan yang bebas dalam segala perintah-Mu.

Kemudian biarlah dia mengangkat kedua-dua tangannya dan mengucapkan "Alláh-u-Abhá" tiga kali. Kemudian biarlah dia membongkokkan badan dengan tangan pada lutut di hadapan Tuhan—Maha Suci dan Maha Mulialah Dia—dan mengucapkan:

Ya Tuhanku, Engkau melihat bagaimana jiwaku telah dibangkitkan dalam anggota badanku, dalam kerinduannya untuk menyembah-Mu, dan dalam hasratnya untuk memperingati-Mu dan memuji-Mu; dan bagaimana jiwaku telah naik saksi kepada apa yang telah disaksikan oleh Lidah Perintah-Mu dalam kerajaan ucapan-Mu dan syurga pengetahuan-Mu. Ya Tuhanku, aku amat berhasrat dalam keadaan ini untuk memohon daripada-Mu semua yang ada pada-Mu, agar aku dapat membuktikan kemiskinanku dan memperbesarkan pemberian-Mu dan kekayaan-Mu, dan dapat menyatakan kelemahanku, serta memperlihatkan kekuasaan-Mu dan kekuatan-Mu.

Kemudian biarlah dia berdiri dan mengangkat tangannya dua kali dalam rayuan, dan mengucapkan:

Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Dermawan. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Pentakdir, baik pada awal mahupun akhir. Ya Tuhanku! Pengampunan-Mu telah memberanikan daku, dan rahmat-Mu telah menguatkan daku, dan panggilan-Mu telah membangunkan daku, dan kurnia-Mu telah membangkitkan daku dan membimbing aku kepada-Mu. Jika tidak, siapakah aku ini, yang berani berdiri di pintu kota kedekatan-Mu, atau mengarahkan wajahku kepada cahaya yang bersinar dari langit kehendak-Mu? Ya Tuhanku, Engkau melihat makhluk miskin ini mengetuk pintu kurnia-Mu, dan jiwa yang fana ini mencari sungai kehidupan abadi daripada tangan kemurahan-Mu. Engkaulah memiliki perintah dalam segala hal, Ya Engkau Tuhan segala nama; dan bagiku hanyalah kepasrahan dan penyerahan diri dengan rela kepada kehendak-Mu, Ya Pencipta syurga-syurga!

Kemudian biarlah dia mengangkat tangannya tiga kali, dan mengucapkan:

Tuhan lebih berkuasa daripada setiap orang yang berkuasa!

Kemudian biarlah dia bersujud dan mengucapkan:

Terlalu tinggilah Engkau bagi pujian-pujian mereka yang dekat kepada-Mu, untuk naik ke langit kedekatan-Mu, atau bagi burung-burung yang kalbu mereka setia kepada-Mu untuk mencapai pintu gapura-Mu. Aku naik saksi bahawa Engkau telah disucikan atas segala sifat-sifat dan atas segala nama. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Mulia.

Kemudian biarlah dia duduk dan mengucapkan:

Aku naik saksi kepada apa yang telah disaksikan oleh semua benda tercipta, dan Angkatan di atas, para penghuni Syurga yang tertinggi dan di atas semua itu, Lidah Kebesaran Sendiri daripada Ufuk yang maha mulia, bahawa sesungguhnya Engkaulah Tuhan, bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, dan Dia yang telah dijelmakan adalah Misteri Tersembunyi, Tanda yang Terpendam, yang melalui-Nya telah menghubungkan dan mencantumkan huruf Kaf dengan Nun*. Aku naik saksi bahawa Dialah yang nama-Nya telah ditulis oleh Pena Yang Maha Tinggi, dan yang telah tercantum dalam Kitab-kitab Tuhan, Raja istana di syurga dan di bumi.

Kaf dengan Nun menjadi Kun, maksudnya "jadilah!" Dengan kata itulah Tuhan menjadikan alam.

Kemudian biarlah dia berdiri tegak dan mengucapkan:

Ya Tuhan segala makhluk dan Pemilik segala sesuatu baik yang nyata mahupun yang ghaib! Engkau melihat air mataku berlinangan dan keluhan yang aku ucapkan, dan mendengar rintihanku, dan ratapanku, dan tangisan hatiku. Demi kekuasaan-Mu! Pelanggaran-pelanggaranku telah menjauhkan daku daripada mendekati-Mu; dan dosa-dosaku telah menahan daku jauh daripada istana kesucian-Mu. Ya Tuhanku, cinta-Mu telah memperkayakan daku, dan perpisahan dengan-Mu telah menghancurkan daku, dan keterpencilan daripada-Mu telah membakar diriku. Aku memohon kepada-Mu, demi jejak-jejak kaki-Mu di belantara ini dan demi kalimat, "Di sinilah aku, di sinilah aku" yang telah diucapkan oleh hamba-hamba pilihan-Mu dalam alam semesta ini, dan demi hembusan Wahyu-Mu, serta angin lembut Fajar Penjelmaan-Mu, untuk mentakdirkan agar aku dapat memandang kepada keindahan-Mu dan mematuhi apa sahaja yang ada dalam Kitab-Mu.

Kemudian biarlah dia menyebutkan Alláh-u-Abhá tiga kali, dan membongkokkan badan dengan tangan pada lutut, dan mengucapkan:

Pujian bagi-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah membantuku untuk mengingat dan memuji-Mu, dan telah memperkenalkan kepadaku Dia yang menjadi Tempat Terbit tanda-tanda-Mu, dan telah menyebabkan daku untuk bersujud di hadapan Kekuasaan-Mu dan merendahkan diriku di hadapan Ketuhanan-Mu, dan untuk mengakui apa yang telah diucapkan oleh Lidah kebesaran-Mu.

Kemudian biarlah dia bangun dan mengucapkan:

Ya Tuhan, Tuhanku! Belakangku telah dibongkokkan oleh beban dosaku dan kelalaianku telah menghancurkan daku. Bila sahaja aku memikirkan keburukan perbuatan-perbuatanku dan kemurahan hati-Mu, luluhlah rasanya hatiku dalam diriku, dan mendidih darah dalam urat nadiku. Demi Keindahan-Mu, Ya Engkau Hasrat dunia! Aku berasa malu untuk menghadapkan wajahku kepada-Mu, dan tangan harapanku berasa segan untuk diangkat ke langit kedermawanan-Mu. Ya Tuhanku, Engkau melihat bagaimana air mataku menghalangku daripada mengingati-Mu dan daripada memuji sifat-sifat-Mu, Ya Engkau Raja Istana di syurga dan di bumi! Aku memohon kepada-Mu demi tanda-tanda Kerajaan-Mu dan misteri-misteri Kekuasaan-Mu, agar Engkau berbuat terhadap kekasih-kekasih-Mu apa yang patut bagi kemurahan hati-Mu, Ya Raja segala makhluk, dan yang layak bagi rahmat-Mu, Ya Raja yang nyata dan yang ghaib!

Kemudian biarlah dia mengucapkan "Alláh-u-Abhá" tiga kali dan bersujud sambil mengucapkan:

Pujian bagi-Mu, Ya Tuhan kami, kerana Engkau telah menurunkan kepada kami apa yang akan mendekatkan kami kepada-Mu, dan kerana Engkau telah menganugerahkan kepada kami segala kebaikan yang Engkau turunkan dalam Kitab-kitab dan Tulisan-tulisan-Mu. Ya Tuhanku, kami memohon agar Engkau melindungi kami daripada laskar-laskar khayalan-khayalan kosong dan angan-angan yang sia-sia. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Arif.

Kemudian biarlah dia mengangkat kepalanya, dan duduk lalu mengucapkan:

Aku naik saksi, Ya Tuhanku, kepada apa yang disaksikan oleh Hamba-hamba-Mu yang terpilih dan aku mengakui apa yang telah diakui oleh penghuni-penghuni Syurga Tertinggi dan oleh mereka yang telah mengelilingi Istana-Mu yang agung. Kerajaan-kerajaan di bumi dan di syurga adalah milik-Mu, Ya Tuhan sekalian alam!

#12035
- Bahá'u'lláh

 

Dilafazkan sekali dalam dua puluh empat jam antara tengah hari sehingga matahari terbenam. Disarankan orang yang melafazkannya harus berdiri.

Aku naik saksi, Ya Tuhanku, bahawa Engkau telah menciptakan daku untuk mengenal dan menyembah-Mu. Aku naik saksi, pada saat ini, akan kelemahanku dan kekuatan-Mu, akan kemiskinanku dan kekayaan-Mu.

Tiada Tuhan melainkan Engkau, Penolong Dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.

”Doa-doa wajib ini, bersama beberapa doa-doa khusus yang lain, seperti Doa Kesembuhan dan Loh Ahmad, telah dikurniai Bahá'u'lláh dengan kekuatan dan makna yang istimewa, dan oleh itu ia harus diterima dan dilafazkan oleh para penganut dengan kepercayaan dan keyakinan yang mutlak, agar dengannya mereka dapat memasuki perbualan yang akrab dengan Tuhan, dan lebih menjiwai Hukum-Hukum dan perintah-perintah Tuhan.

Terdapat tiga buah doa wajib… Penganut adalah bebas memilih salah satu daripada ketiga-tiga doa ini, tetapi dengan syarat wajib melafazkan salah satu daripadanya, dan berdasarkan arahan yang khusus setiap doa tersebut.”

~ Shoghi Effendi

Sebelum melaksanakan Doa Wajib hendaklah melakukan wuduk (membasuh tangan dan muka) terlebih dahulu. Sewaktu berdoa haruslah menghadap ke arah Kiblat.

~ Kodifikasi Kitáb-i-Aqdas

#12033
- Bahá'u'lláh

 

General

BANTUAN & PERTOLONGAN

Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu, dengan Nama-Mu yang teragung, untuk membantuku dalam apa yang akan menyebabkan urusan-urusan hamba-Mu maju, dan kota-kota-Mu makmur. Engkau, sesungguhnya, mempunyai kuasa atas segala benda!

#12039
- Bahá'u'lláh

 

Diagungkanlah Nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Akulah yang telah memalingkan wajahku kepada-Mu dan telah bergantung sepenuhnya kepada-Mu. Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu yang melaluinya samudera ucapan-Mu telah bergelora dan bayu-bayu ilmu-Mu telah ditiupkan, agar menyebabkan daku dibantu untuk mengabdi kepada Akidah-Mu dan diilhamkan untuk mengingati-Mu dan memuji-Mu. Turunkanlah kepadaku daripada syurga kedermawanan-Mu apa yang akan melindungiku daripada sesiapa pun kecuali Engkau dan akan menguntungkan daku di semua alam-alam-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Berkuasa, Yang Tak Dapat Dicapai, Yang Tertinggi, Yang Tahu, Yang Arif.

#12040
- Bahá'u'lláh

 

Ya Engkau Yang wajah-Nya adalah tujuan pujaanku, Yang keindahan-Nya adalah tempat perlindunganku, Yang kediaman-Nya adalah matlamat-Ku, Yang pujian-Nya adalah harapanku, Yang pemeliharaan-Nya adalah sahabatku, Yang cinta-Nya adalah punca kewujudanku, Yang sebutan-Nya adalah ketenanganku, Yang kedekatan-Nya adalah hasratku, Yang kehadiran-Nya adalah keinginanku yang terdalam dan cita-citaku yang tertinggi, aku memohon kepada-Mu agar jangan menahan daku daripada hal-hal yang telah Engkau tetapkan bagi orang-orang pilihan dalam kalangan hamba-Mu. Lalu anugerahilah daku dengan kebaikan dunia ini dan akhirat. Sesungguhnya, Engkaulah Raja semua manusia. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Mengampuni, Yang Maha Dermawan.

#12041
- Bahá'u'lláh

 

Letakkanlah segala kepercayaan dan keyakinanmu kepada Tuhan yang telah menciptakanmu dan carilah bagi dirimu sendiri pertolongan-Nya dalam segala urusanmu.

Berpuaslah engkau dengan Daku dan janganlah mencari penolong yang lain. Kerana tiada yang lain selain Daku akan dapat mencukupimu.

#12042
- Bahá'u'lláh

 

Adakah penghalau kesukaran-kesukaran selain Tuhan? Katakanlah: Terpujilah Tuhan! Dia adalah Tuhan! Semua adalah hamba-Nya dan semua tunduk pada perintah-Nya!

#12043
- The Báb

 

Katakanlah: Tuhan mencukupi segala sesuatu di atas segala-galanya dan tidak ada di langit mahupun di bumi yang mencukupi kecuali Tuhan. Sesungguhnya, Dia Sendirilah Yang Maha Tahu, Yang Maha Pemelihara, Yang Maha Kuasa.

#12044
- The Báb

 

Ya Tuhanku, Rajaku dan Tuanku! Aku telah memisahkan diriku daripada saudaraku dan mencari melalui-Mu agar menjadi bebas daripada semua yang ada di bumi dan bersiap sedia untuk menerima apa yang terpuji dalam pandangan-Mu. Kurniakanlah kepadaku kebaikan yang akan menjadikan daku bebas daripada semua kecuali Engkau, dan berikanlah daku bahagian yang besar daripada rahmat-Mu yang tak terbatas. Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan berkat yang tak terhingga.

#12045
- The Báb

 

Ya Tuhan! Izinkanlah semua manusia dunia ini untuk mendapat tempat dalam Syurga Akidah-Mu, agar tiada benda tercipta kekal jauh daripada lingkungan keredaan-Mu. Sejak zaman abadi lagi Engkau telah berkuasa untuk membuat apa sahaja yang Engkau senangi dan unggul daripada apa sahaja yang Engkau redai.

#12046
- The Báb

 

Tuhan! Kasihanilah kami, berikanlah berkat-Mu; miskin, kurniakanlah kami sebahagian daripada samudera kekayaan-Mu; memerlukan, puaskanlah kami; hina, berikan kami keagungan-Mu. Burung-burung di udara dan binatang-binatang di padang menerima makanannya daripada-Mu setiap hari, dan semua makhluk memerlukan jagaan dan kasih sayang-Mu.

Janganlah menafikan yang lemah ini rahmat-Mu yang menakjubkan dan kurniakanlah dengan kekuatan-Mu kepada jiwa yang lemah ini berkat-Mu.

Berikanlah makanan harian kami, dan kurniakanlah daripada-Mu peningkatan dalam keperluan-keperluan hidup, agar kami tidak akan bergantung kepada sesiapa pun kecuali Engkau, dapat berhubung sepenuhnya dengan-Mu, dapat berjalan di jalan-jalan-Mu dan mengumumkan misteri-misteri-Mu. Engkau adalah Yang Maha Kuasa dan Pengasih dan Pembekal kepada semua manusia.

#12047
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan, Tuhanku! Bantulah kekasih-kekasih-Mu untuk teguh dalam Akidah-Mu, untuk berjalan di jalan-jalan-Mu, untuk setia kepada Ajaran-Mu. Berikanlah kepada mereka kurnia-Mu untuk menahan serangan keakuan dan hawa nafsu, untuk mengikuti cahaya Bimbingan Ilahi. Engkau adalah Berkuasa, Maha Rahmat, Yang Berdiri Sendiri, Pemberi, Pengasih, Yang Maha Kuat, Yang Maha Rahmat.

#12048
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Engkau Pembekal yang ilahi, kasihanilah kami, berikanlah pertolongan-Mu; pengembara yang tiada tempat berteduh, berikanlah perlindungan-Mu; terpisah, satukanlah Engkau kami; sesat, himpunlah kami ke lingkungan-Mu; memerlukan, kurniakanlah kepada kami bahagian dan habuan-Mu; dahaga, bimbingilah kami ke mata air Kehidupan; lemah, perkuatkanlah kami agar kami dapat bangkit untuk membantu Akidah-Mu dan menawarkan diri kami sebagai pengorbanan hidup di jalan bimbingan-Mu.

#12049
- `Abdu'l-Bahá

 

BAYI YANG MENYUSU

Terpujilah Engkau, Ya Tuhan, Tuhanku! Berikanlah bayi ini susu daripada dada belas kasihan lembut dan kasih sayang-Mu yang mesra dan dipelihara dengan buah-buahan daripada pohon-pohon syurgawi-Mu. Janganlah membiarkan dia diasuh oleh sesiapa pun kecuali Engkau, kerana Engkau Sendirilah yang menciptakannya dan mewujudkannya, melalui kekuatan kehendak dan kekuasaan-Mu yang berdaulat. Tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Tahu.

Diluhurkanlah Engkau, Ya Kekasihku Yang Tercinta, tiupkanlah kepadanya keharuman manis rahmat-Mu yang suci. Maka, bolehkanlah dia mencari perlindungan di bawah naungan Nama-Mu yang maha luhur, Ya Engkau yang memegang kerajaan nama-nama dan sifat-sifat dalam genggaman-Mu. Sesungguhnya Engkaulah berkuasa untuk berbuat apa yang Engkau kehendaki, dan Engkau sesungguhnya Yang Maha Kuat, Yang Maha Luhur, Yang Maha Pengampun, Yang Penyayang, Yang Dermawan, Yang Maha Pengasih.

#12036
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan yang tiada bandingan! Biarlah bayi yang sedang menyusu ini disusui daripada dada kasih sayang-Mu, jagalah dia dalam buaian keselamatan dan perlindungan-Mu dan biarlah dia diasuh dalam pelukan kasih sayang lembut-Mu.

#12037
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan! Peliharalah bayi ini dalam dada cinta-Mu, dan berilah dia susu daripada dada Kurnia-Mu. Peliharalah pohon muda ini di taman mawar cinta-Mu dan bantulah ia tumbuh melalui hujan rahmat-Mu. Jadikanlah dia anak kerajaan, dan bimbinglah dia ke alam syurgawi-Mu. Engkau sesungguhnya berkuasa dan pemurah, dan Engkau adalah Pemberi, Dermawan, Raja rahmat yang berlimpah-limpah.

#12038
- `Abdu'l-Bahá

 

BAYI YANG SAKIT

Engkau adalah Dia, Ya Tuhanku, melalui nama-nama-Nya yang sakit disembuhkan dan yang menderita dipulihkan, dan yang dahaga dipuaskan, dan yang duka ditenangkan, dan yang sesat dibimbingi, dan yang hina dimuliakan, dan yang miskin dijadikan kaya, yang jahil menjadi pandai, yang suram menjadi terang, dan yang sedih diriangkan, dan yang sejuk dihangatkan, dan yang tertindas dibebaskan. Berkat nama-Mu, Ya Tuhanku, semua benda tercipta telah digerakkan, dan langit dibentangkan, dan bumi didirikan, dan awan dinaikkan supaya menghujani bumi. Sesungguhnya, inilah tanda rahmat-Mu kepada semua makhluk-Mu.

Oleh sebab itu, aku memohon kepada-Mu, demi nama-Mu yang melaluinya Engkau telah menjelmakan Ketuhanan-Mu, dan telah meluhurkan Akidah-Mu ke atas sekalian makhluk, dan demi setiap gelaran-Mu yang maha agung dan sifat-sifat-Mu yang maha tinggi, dan demi semua sifat-sifat yang menyebabkan wujud-Mu yang maha luhur dipuji-puji, untuk menurunkan pada malam ini daripada awan-awan rahmat-Mu hujan penyembuhan-Mu ke atas bayi kecil ini, yang telah Engkau hubungkan dengan Diri-Mu yang maha mulia dalam kerajaan ciptaan-Mu. Maka demi rahmat-Mu, Ya Tuhanku, pakaikanlah jubah keselamatan dan kesihatan padanya, dan lindungilah dia, Ya Kekasihku, daripada segala bencana dan penyakit, dan daripada apa yang tak Engkau sukai. Sesungguhnya, segala-galanya dalam genggaman kekuasaan-Mu. Engkau sesungguhnya, Yang Maha Kuasa, Yang Berdiri Sendiri. Selain itu, Ya Tuhanku, turunkanlah kepadanya kebaikan dunia ini dan akhirat, dan kebaikan generasi-generasi terdahulu dan yang selepasnya. Kekuasaan-Mu dan kearifan-Mu, sesungguhnya, adalah adil dalam hal ini.

#12050
- Bahá'u'lláh

 

BELIA

Diberkatilah dia yang dalam kemuncak zaman belianya dan kegemilangan hidupnya bangkit untuk mengabdi kepada Akidah Tuhan bagi yang awal dan akhir, dan menghiasi kalbunya dengan cinta kepada-Nya. Pelaksanaan kurnia serupa itu lebih hebat daripada penciptaan langit dan bumi. Diberkatilah mereka yang tawakal dan beruntunglah mereka yang teguh.

#12051
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan! Jadikanlah pemuda ini cemerlang, dan kurniakanlah rahmat-Mu kepada insan miskin ini. Anugerahkanlah kepadanya ilmu, kurniakanlah kepadanya kekuatan yang lebih pada setiap fajar dan lindungilah dia di bawah naungan perlindungan-Mu agar dia dapat dibebaskan daripada kesalahan, dapat mengabdikan diri kepada khidmat Akidah-Mu, dapat membimbingi yang sesat, memimpin yang malang, membebaskan yang tertawan dan menyedarkan yang alpa, agar semuanya dapat diberkati dengan ingatan dan pujian-Mu. Engkaulah Yang Maha Kuat dan Maha Kuasa.

#12052
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Engkau Tuhan yang Penyayang! Dengan kemurahan hati kurniailah sepasang sayap syurgawi kepada setiap anak burung ini, dan berikanlah mereka kuasa rohani agar mereka dapat terbang melalui ruang yang tak terbatas ini dan mencapai puncak-puncak Kerajaan Abhá.

Ya Tuhan! Perkuatkanlah pohon-pohon muda ini agar setiap daripada mereka akan menjadi sebatang pohon yang berbuah, segar menghijau dan berkembang. Berikan kemenangan kepada jiwa-jiwa ini melalui kuasa angkatan syurgawi-Mu, supaya mereka dapat menghapuskan kuasa-kuasa jahat dan kejahilan dan mendirikan standard persahabatan dan bimbingan dalam kalangan manusia; agar mereka dapat, bagaikan nafas penghidupan musim bunga, menyegarkan dan menghidupkan pohon-pohon roh manusia dan umpama hujan musim bunga menjadikan padang rumput serantau itu hijau dan subur.

Engkaulah yang Maha Kuat dan Berkuasa; Engkaulah Pemberi dan Yang Maha Penyayang.

#12053
- `Abdu'l-Bahá

 

BERKAT

Diberkatilah titik, dan rumah, dan tempat, dan kota, dan hati, dan gunung, dan perlindungan, dan gua, dan lembah, dan tanah, dan laut, dan pulau, dan padang rumput tempat nama Tuhan dilafazkan, dan kemuliaan-Nya diagungkan.

#12054
- Bahá'u'lláh

 

BIMBINGAN

Kita berdoa kepada Tuhan agar dengan murah hati membantu mereka yang sudah tersesat supaya menjadi adil dan saksama, menjadikan mereka sedar bahawa mereka sudah alpa. Dia sesungguhnya, Yang Maha Pemurah, Yang Maha Dermawan. Janganlah menghalangi hamba-hamba-Mu, Ya Tuhanku, daripada pintu kurnia-Mu dan janganlah mengusir mereka daripada istana kehadiran-Mu. Bantulah mereka untuk menghapuskan kabus khayalan sia-sia, dan untuk mengoyakkan tabir-tabir fikiran dan harapan yang kosong. Engkau sesungguhnya Segala Memiliki, Yang Maha Tinggi. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Perkasa, Yang Rahim.

#12055
- Bahá'u'lláh

 

Ya Engkau Pembekal Suci! Kurniailah Engkau dalam segala benda kesucian dan kebersihan kepada orang-orang Bahá. Jadikanlah mereka bebas daripada semua kotoran, dan lepaskan mereka daripada semua ketagihan. Selamatkanlah mereka daripada melakukan sebarang tindakan yang menjijikkan, putuskanlah mereka daripada ikatan setiap tabiat jahat, supaya mereka dapat hidup dalam kemurnian dan kebebasan, baik dan bersih, layak untuk mengabdi kepada Ambang Kesucian-Mu dan sesuai untuk dihubungkan dengan Tuhan mereka.

Bebaskanlah mereka daripada minuman-minuman dan tembakau yang memabukkan, jagalah mereka, selamatkanlah mereka, daripada candu yang membawa kegilaan ini, deritailah mereka untuk menikmati kemanisan dan keharuman kesucian, supaya mereka dapat meminum sepuasnya daripada cawan mistik cinta syurgawi dan mengetahui keriangan yang membawa mereka lebih dekat lagi kepada Alam Yang Maha Mulia. Kerana ia seperti yang Engkau telah katakan: “Semua yang engkau miliki dalam simpanan wainmu tidak akan memuaskan kedahagaan cintaku—bawakanlah kepadaku, Ya pembawa cawan, secawan wain rohani yang sepenuh lautan!”

#12056
- `Abdu'l-Bahá

 

Maka kerahkanlah usaha yang besar agar kemurnian dan kesucian, yang disukai 'Abdu'l-Bahá atas segala benda, akan membezakan orang-orang Bahá; agar dalam setiap jenis kecemerlangan rakan-rakan Tuhan akan mengatasi manusia yang lain; agar secara luaran dan dalaman mereka akan terbukti unggul daripada yang lain; agar demi kemurnian, kesempurnaan, kehalusan, dan pemeliharaan kesihatan, mereka akan menjadi pemimpin di barisan depan mereka yang ketahui. Dan agar melalui kebebasan mereka daripada perhambaan, ilmu pengetahuan, ketahanan diri, mereka akan menjadi yang pertama dalam kalangan yang suci, yang bebas dan yang arif.

#12057
- `Abdu'l-Bahá

 

CUBAAN & KESUKARAN

Diluhurkanlah dan dimuliakanlah Engkau, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi keluh-kesah kekasih-Mu dan demi air mata yang dititiskan oleh mereka yang rindu untuk melihat-Mu, agar jangan menjauhkan daku daripada rahmat-Mu yang mesra pada Hari-hari-Mu, dan jangan pula menghalang daku daripada lagu-lagu Merpati yang memuji keesaan-Mu di hadapan cahaya yang bersinar daripada wajah-Mu. Akulah yang sengsara, Ya Tuhan! Lihatlah daku berpegang teguh kepada Nama-Mu, Yang Maha Memiliki. Akulah yang pasti akan musnah; lihatlah daku berpegang kuat kepada Nama-Mu, Yang Tak Dapat Dimusnahkan. Maka aku memohon kepada-Mu, demi Dirimu Sendiri, Yang Maha Luhur, Yang Maha Tinggi, agar janganlah membiarkan daku kepada diriku sendiri dan kepada nafsu-nafsu kecenderungan jahat. Peganglah tanganku dengan tangan kekuasaan-Mu, dan selamatkanlah daku daripada kedalaman khayalan-khayalan dan angan-angan kosong, serta bersihkanlah daku daripada segala sesuatu yang tidak disukai oleh-Mu.

Maka, sebabkanlah daku menghadap sepenuhnya kepada-Mu, dengan meletakkan kepercayaanku sepenuhnya pada-Mu, untuk mencari-Mu sebagai Perlindunganku, dan untuk bergegas kepada wajah-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Dia yang berbuat apa yang Dia kehendaki melalui kekuatan kekuasaan-Nya dan memerintahkan apa sahaja yang Dia tentukan melalui kekuatan kehendak-Nya. Tiada sesiapa pun yang dapat menahan operasi perintah-Mu; tiada sesiapa pun yang dapat mengubah apa yang Engkau tetapkan. Sesungguhnya, Engkaulah Maha Kuasa, Yang Maha Mulia, Yang Maha Rahim.

#12058
- Bahá'u'lláh

 

Dimuliakanlah Engkau, Ya Tuhanku! Jika bukan kerana kesukaran yang telah ditahan dalam jalan-Mu, bagaimanakah pencinta sejati-Mu dapat ditemui; dan jika tidak kerana cubaan-cubaan yang ditanggung demi cinta kepada-Mu, bagaimanakah kedudukan mereka yang menginginkan Engkau dapat ditonjolkan? Kekuatan-Mu menjadi saksiku! Yang menemani kesemua mereka yang menyanjungi-Mu adalah titisan air mata yang telah ditangisi, dan penenang untuk mereka yang mencari-Mu adalah rintihan yang diucapkan mereka, dan makanan bagi mereka yang segera menemui-Mu adalah serpihan hati mereka yang telah berkecai.

Betapa manisnya bagi deriaku adalah kepahitan kematian yang dideritai dalam jalan-Mu, dan betapa berharganya nilaiku adalah serangan musuh-musuh-Mu apabila dihadapi demi mengunggulkan kalimat-Mu! Biarkanlah daku minum dalam Akidah-Mu, Ya Tuhanku, apa sahaja yang Engkau kehendaki, dan turunkanlah kepadaku melalui cinta-Mu semua yang Engkau kurniai. Demi keagungan-Mu! Aku hanya mengharapkan apa yang Engkau ingini, dan menyintai apa yang Engkau cintai. Pada-Mu aku telah, pada setiap waktu, meletakkan keseluruhan kepercayaan dan keyakinanku.

Bangkitkanlah, aku merayu kepada-Mu, Ya Tuhanku, pembantu-pembantu kepada Wahyu ini sehingga dapat dikenali sebagai layak untuk nama-Mu dan kedaulatan-Mu, agar mereka dapat mengingatiku dalam kalangan ciptaan-Mu, dan menaikkan panji-panji kemenangan-Mu di bumi-Mu.

Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau redai. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Penolong dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.

#12059
- Bahá'u'lláh

 

Hilangkanlah duka laraku dengan rahmat-Mu dan kedermawanan-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku, dan hapuskanlah kesengsaraanku melalui kedaulatan-Mu dan kekuatan-Mu. Engkau melihatku, Ya Tuhanku, dengan wajahku memaling kepada-Mu apabila kesedihan mengelilingiku dari semua penjuru. Aku memohon kepada-Mu, Ya Engkau Yang adalah Tuhan sekalian makhluk, dan melindungi semua benda yang kelihatan mahupun yang ghaib, demi Nama-Mu dengannya Engkau telah menakluki kalbu-kalbu dan jiwa-jiwa manusia, dan demi gelombang Samudera rahmat-Mu dan kecemerlangan Suria anugerah-Mu, untuk memasukkan daku dalam kalangan mereka yang tiada apa pun yang dapat menghalang mereka daripada memalingkan wajah mereka kepada-Mu, Ya Engkau Tuhan segala nama dan Pencipta syurga.

Engkau melihat, Ya Tuhanku, hal-hal yang telah menimpa diriku pada hari-hari-Mu. Aku memohon kepada-Mu, demi Dia Yang adalah Sumber nama-nama-Mu dan Tempat Terbit sifat-sifat-Mu, untuk menurunkan kepadaku apa yang akan membolehkan daku untuk bangkit mengabdi kepada-Mu dan memuji sifat-sifat murni-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuat, Yang Maha Berkuasa, Yang akan menjawab doa-doa semua manusia!

Dan akhirnya, aku merayu kepada-Mu demi cahaya wajah-Mu untuk memberkati hal ehwalku, dan melangsaikan hutang-hutangku, dan memuaskan keperluan-keperluanku. Engkaulah Dia yang kekuasaan-Nya dan kerajaan-Nya setiap lidah menjadi saksi, dan keagungan-Nya dan kedaulatan-Nya setiap kalbu yang memahami telah mengakui. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang mendengar dan bersedia untuk menjawab.

#12060
- Bahá'u'lláh

 

Ya Engkau Yang cubaan-cubaan-Nya adalah ubat penyembuh bagi mereka yang dekat kepada-Mu, Yang pedang-Nya adalah hasrat terdalam bagi semua mereka yang mencintai-Mu, Yang anak panah-Nya adalah keinginan tertinggi bagi kalbu-kalbu mereka yang merindui-Mu, Yang perintah-Nya adalah satu-satunya harapan bagi mereka yang telah mengenal kebenaran-Mu! Aku memohon kepada-Mu demi kemanisan ilahi-Mu dan demi kecemerlangan kemuliaan wajah-Mu, agar menurunkan kepada kami dari tempat tinggal-Mu yang tinggi, apa yang akan membolehkan kami untuk mendekati-Mu. Maka Ya Tuhanku, teguhkanlah langkah-langkah kami dalam Akidah-Mu, dan sinarilah kalbu-kalbu kami dengan kecemerlangan ilmu-Mu, dan terangilah dada kami dengan kegemilangan nama-nama-Mu.

#12061
- Bahá'u'lláh

 

”Dalam segala sesuatu ada tandanya. Tanda kasih adalah keteguhan hati di bawah perintah-Ku dan kesabaran di bawah cubaan-cubaan-Ku.”

”Jikalau kesengsaraan tidak menimpa dirimu di jalan-Ku, bagaimanakah engkau dapat berjalan di jalan mereka yang berpuas dengan keredaan-Ku? Jikalau cubaan-cubaan tidak menimpa dirimu dalam kerinduanmu untuk bertemu dengan-Ku, bagaimanakah engkau akan mencapai cahaya dalam cintamu kepada keindahan-Ku?”

”Jikalau kemakmuran datang kepadamu, janganlah bergembira, dan jikalau penghinaan menimpa dirimu, janganlah berduka, kerana kedua-duanya akan berlalu dan tidak ada lagi.”

#12064
- Bahá'u'lláh

 

Aku merayu kepada-Mu demi kekuatan-Mu, Ya Tuhanku! Janganlah membiarkan kecelakaan menimpa diriku pada masa-masa cubaan, dan pada detik-detik kelalaian bimbingilah langkah-langkahku agar betul melalui ilham-Mu. Engkaulah Tuhan, berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau hasratkan. Tiada lain yang dapat menahan kehendak-Mu atau menggagalkan tujuan-Mu.

#12062
- The Báb

 

Ya Tuhan! Engkaulah Penghapus setiap kesengsaraan dan Penghalau setiap penderitaan. Engkaulah Dia Yang membuang setiap kesedihan dan membebaskan setiap hamba abdi, Penebus setiap roh. Ya Tuhan! Berikanlah penyelamatan melalui belas kasihan-Mu, dan tetapkanlah daku dalam kalangan hamba-Mu yang telah memperoleh keselamatan.

#12063
- The Báb

 

Ya Tuhanku! Engkau ketahui bahawa manusia dikelilingi dengan kesakitan dan malapetaka dan dihadapi kesukaran dan kesusahan. Setiap ujian menyerang manusia dan setiap kecelakaan dahsyat menyerangnya bagaikan serangan seekor ular. Tidak ada pelindung mahupun keselamatan baginya kecuali di bawah sayap perlindungan, pemeliharaan, pertahanan dan jagaan-Mu.

Ya Engkau Yang Rahim! Ya Tuhanku! Jadikanlah perlindungan-Mu perisaiku, pemeliharaan-Mu pelindungku, rendah hati di hadapan pintu keesaan-Mu penjagaku, dan kawalan dan pertahanan-Mu kubu dan kediamanku. Lindungilah daku daripada bisikan-bisikan keakuan dan hawa nafsu, dan pertahankanlah daku daripada setiap penyakit, ujian, kesukaran dan cubaan.

Sesungguhnya, Engkaulah Pelindung, Penjaga, Pemelihara, Pencukup, dan sesungguhnya Engkaulah Yang Rahim kepada Yang Maha Rahim!

#12065
- `Abdu'l-Bahá

 

”Janganlah bersedih atas penderitaan dan bencana yang telah menimpa dirimu. Semua bencana dan penderitaan telah diciptakan bagi manusia agar dia menolak dunia yang fana ini, iaitu dunia yang sangat dicintainya. Ketika manusia mengalami cubaan dan kesukaran yang hebat, barulah jiwanya akan mundur daripada keduniawian dan dia akan menginginkan Kerajaan Abadi, iaitu Kerajaan yang disucikan daripada semua penderitaan dan bencana.”

#12066
- `Abdu'l-Bahá

 

DANA & REZEKI

”Memberi dan bersikap dermawan adalah sifat-sifat-Ku; beruntunglah dia yang menghiasi dirinya dengan sifat-sifat murni-Ku.”

#12067
- Bahá'u'lláh

 

Semua rakan Tuhan… harus menyumbang sebanyak yang boleh, tak kira betapa kecilpun pemberian mereka. Tuhan tidak akan membebankan sebarang roh lebih daripada keupayaannya. Sumbangan sebegitu haruslah datang daripada semua pusat dan semua penganut… Wahai Sahabat-Sahabat Tuhan! Yakinlah engkau bahawa sebagai balasan kepada sumbangan ini, pertanianmu, perindustrianmu, perdaganganmu akan diberkati dengan peningkatan berlipat ganda, dan dengan pemberian dan kurnia yang baik. Dia yang melakukan satu perbuatan yang baik akan menerima balasan sepuluh kali ganda. Tidak dapat dinafikan bahawa Tuhan yang hidup akan memberikan pengesahan yang banyak kepada mereka yang membelanjakan kekayaan mereka dalam jalan-Nya.

Ya Tuhan, Tuhanku! Terangilah dahi kekasih-kekasih sejati-Mu, dan bantulah mereka dengan angkatan malaikat kemenangan. Teguhkanlah kaki mereka di jalan-Mu yang lurus, dan daripada rahmat purba-Mu bukakanlah di hadapan mereka pintu-pintu berkat-Mu; kerana mereka telah membelanjakan bagi jalan-Mu apa yang telah Engkau kurniakan kepada mereka, melindungi Akidah-Mu, meletakkan kepercayaan mereka dalam peringatan kepada-Mu, memberikan kalbu-kalbu mereka kerana cinta kepada-Mu, dan tidak menyimpan apa yang dimiliki mereka demi tarikan kepada Keindahan-Mu dan sedang mencari cara untuk menyenangkan-Mu.

Ya Tuhanku! Kurniakanlah kepada mereka bahagian yang besar, pampasan yang ditakdirkan dan ganjaran yang pasti.

Sesungguhnya, Engkaulah Pembekal, Penolong, Dermawan, Maha Rahim, Maha Pemberi.

#12068
- `Abdu'l-Bahá

 

Dituliskan kepada rakan-rakan Bahá'í di Amerika Syarikat dan Kanada

Dituliskan kepada rakan-rakan Bahá'í di Amerika Syarikat dan Kanada

Barangsiapa yang berangkat ke mana sahaja untuk menyebarkan Kalimat Tuhan, biarlah dia melafazkan doa ini pada siang dan malam selama perjalanannya ke tempat asing.

Ya Tuhan, Tuhanku! Engkau melihatku terpesona dan tertarik kepada kerajaan-Mu yang mulia, berkobar dengan api cinta-Mu dalam kalangan umat manusia, seorang bentara dari kerajaan-Mu di bumi yang luas dan lapang ini, tak terikat kepada apa pun kecuali Engkau, bertawakal kepada-Mu, meninggalkan istirahat dan kesenangan, jauh dari tempat asalku, seorang pengembara di daerah-daerah ini, seorang asing yang jatuh di atas tanah, merendahkan diri di hadapan Ambang pintu-Mu yang luhur, taat kepada syurga kemuliaan-Mu yang maha kuasa, memohon kepada-Mu pada tengah malam dan pada fajar menyinsing, merayu dan memanggil Engkau pada pagi dan petang agar Engkau sudi menolongku untuk mengabdi kepada Akidah-Mu, menyebarluaskan Ajaran-ajaran-Mu dan meluhurkan Kalimat-Mu di Timur dan di Barat.

Ya Tuhan! Perkuatkanlah belakangku, bolehkanlah daku mengabdi kepada-Mu dengan usaha tertinggi dan janganlah membiarkan daku kepada diriku sendiri, penuh kesepian dan tak berdaya di daerah-daerah ini. Ya Tuhan! Bolehkanlah daku berhubung dengan Engkau dalam kesunyianku, dan jadilah temanku di tempat yang asing ini.

Sesungguhnya, Engkaulah Pengesah kepada sesiapa pun yang Engkau kehendaki dalam apa yang Engkau redai, dan sesungguhnya, Engkau Yang Maha Kuat, Yang Maha Kuasa.

#12147
- `Abdu'l-Bahá

 

Dituliskan kepada rakan-rakan Bahá'í di Amerika Syarikat dan Kanada

Barangsiapa yang mengadakan perjalanan ke pelbagai tempat untuk mengajar, biarlah dia membaca permohonan ini di gunung, di padang pasir, di bumi dan di lautan.

Ya Tuhan! Ya Tuhan! Engkau melihat kelemahanku, kehinaan dan kerendahan hatiku di hadapan makhluk-makhluk-Mu; namun, aku telah percaya kepada-Mu dan telah bangkit untuk menyebarkan ajaran-ajaran-Mu dalam kalangan hamba-Mu yang teguh, bergantung pada kekuasaan dan kekuatan-Mu.

Ya Tuhan! Aku adalah seekor burung yang patah sayap dan berhasrat untuk melayang di angkasa-Mu yang tak terbatas. Bagaimana aku dapat melakukan ini kecuali melalui rahmat dan kurnia-Mu, pengesahan dan pertolongan-Mu.

Ya Tuhan! Kasihanilah kelemahanku, dan perkuatkanlah daku dengan kekuatan-Mu. Ya Tuhan! Kasihanilah ketidakupayaanku, dan bantulah daku dengan kekuatan dan keagungan-Mu.

Ya Tuhan! Jikalau nafas Roh Suci menguatkan makhluk-Mu yang paling lemah, dia akan mencapai segala sesuatu yang dicita-citakannya dan akan memiliki apa sahaja yang dia inginkan. Sesungguhnya, Engkau telah membantu hamba-hamba-Mu pada masa lampau dan walaupun mereka makhluk-Mu yang paling lemah, hamba-hamba-Mu yang paling rendah dan orang-orang yang paling tidak penting antara mereka yang tinggal di bumi, melalui keizinan dan kekuatan-Mu mereka telah mengatasi orang-orang yang paling mulia antara umat-Mu dan yang paling luhur antara umat manusia. Sedangkan sebelumnya mereka bagaikan gegat, namun sekarang mereka menjadi burung rajawali, sedangkan sebelumnya mereka bagaikan sungai kecil, namun sekarang mereka menjadi bagaikan lautan, melalui pemberian dan rahmat-Mu. Melalui kurnia-Mu yang maha besar, mereka telah menjadi bintang cemerlang di ufuk bimbingan-Mu, burung-burung yang bernyanyi di taman bunga mawar yang kekal, singa-singa yang mengaum di rimba pengetahuan dan kearifan, dan ikan paus yang berenang di samudera kehidupan.

Sesungguhnya, Engkaulah Maha Pengampun, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kuat dan Yang Paling Mengasihani antara yang mengasihani.

#12148
- `Abdu'l-Bahá

 

Dituliskan kepada rakan-rakan Bahá'í di Negara-Negara Selatan

Setiap jiwa yang mengadakan perjalanan melalui kota-kota, kampung-kampung dan desa-desa... dan sibuk menyebarkan keharuman Tuhan, seharusnya membaca doa ini setiap pagi.

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Engkau melihatku dalam kerendahan dan kelemahanku, sibuk dengan usaha yang terbesar, tekun untuk mengumumkan Kalimat-Mu dalam kalangan umat-Mu. Bagaimanakah aku dapat berjaya kecuali Engkau membantuku dengan nafas Roh Suci, menolongku agar menang melalui angkatan dari kerajaan-Mu yang mulia, serta mencurahkan kepadaku bantuan-Mu yang dapat mengubah seekor agas kepada seekor burung helang, setitis air kepada sungai-sungai dan lautan, dan sebuah atom kepada cahaya dan matahari? Ya Tuhanku! Bantulah daku dengan kekuatan-Mu yang berjaya dan mujarab, agar lidahku dapat mengucapkan pujian-pujian dan sifat-sifat-Mu dalam kalangan semua orang dan rohku melimpah ruah dengan wain cinta dan pengetahuan-Mu.

Engkaulah Maha Kuasa dan Pembuat apa sahaja yang Engkau kehendaki.

#12202
- `Abdu'l-Bahá

 

DOA KESEMBUHAN PANJANG

Dia adalah Penyembuh, Yang Mencukupi, Penolong, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Rahim.

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Agung, Ya Engkau Yang Setia, Ya Engkau Yang Maha Mulia! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Raja, Ya Pembangkit, Ya Hakim! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Tiada Taranya, Ya Engkau Yang Maha Abadi, Ya Engkau Yang Esa! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Terpuji, Ya Engkau Yang Maha Suci, Ya Engkau Penolong! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Tahu, Ya Engkau Yang Maha Arif, Ya Engkau Yang Maha Besar! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Rahman, Ya Engkau Yang Maha Agung, Ya Engkau Yang Memerintah! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Sang Kekasih, Ya Engkau Yang Tersayang, Ya Engkau Yang Terpesona! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Perkasa, Ya Engkau Yang Pengekal, Ya Engkau Yang Maha Kuat! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Sang Pemerintah, Ya Engkau Yang Berdiri Sendiri, Ya Engkau Yang Maha Tahu! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Roh, Ya Cahaya, Ya Engkau Yang Maha Nyata! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Selalu Dikunjungi oleh semua, Ya Engkau Yang Dikenal oleh semua, Ya Engkau Yang Tersembunyi daripada semua! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Tersembunyi, Ya Engkau Yang Berjaya, Ya Engkau Yang Pemberi! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Kuasa, Ya Engkau Penolong, Ya Engkau Yang Menutupi! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Sang Pencipta, Ya Engkau Yang Memuaskan, Ya Engkau Pemusnah! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Terbit, Ya Engkau Sang Penghimpun, Ya Engkau Yang Meluhurkan! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Penyempurna, Ya Engkau Yang Tak Terhalang, Ya Engkau Yang Maha Pemurah! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Dermawan, Ya Engkau Yang Menahan, Ya Engkau Yang Menciptakan! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Luhur, Ya Engkau Yang Maha Indah, Ya Engkau Yang Pemurah! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Adil, Ya Engkau Yang Maha Pengasih, Ya Engkau Yang Maha Dermawan! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Berdiri Sendiri, Ya Engkau Yang Maha Abadi, Ya Engkau Yang Maha Tahu! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Agung, Ya Engkau Maha Purba, Ya Engkau Yang Maha Pemurah! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Terpelihara, Ya Engkau Raja Keriangan, Ya Engkau Yang Dihasrati! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Baik kepada semua, Ya Engkau Yang Mengasihani semua, Ya Engkau Yang Paling Penyayang! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Pelindung bagi semua, Ya Engkau Naungan bagi semua, Ya Engkau Yang Maha Pemelihara! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Penolong bagi semua, Ya Engkau Yang Diseru oleh semua, Ya Engkau Pembangkit! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Pembuka, Ya Engkau Pemusnah, Ya Engkau Yang Maha Pengampun! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Jiwaku, Ya Engkau Kekasihku, Ya Engkau Keimananku! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Pemuas dahaga, Ya Raja Yang Unggul, Ya Engkau Yang Maha Berharga! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Kenangan yang Terbesar, Ya Nama Yang Terluhur, Ya Jalan Yang Maha Purba! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Terpuji, Ya Engkau Yang Maha Suci, Ya Engkau Yang Maha Kudus! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Pembuka Ikatan, Ya Penasihat, Ya Penyelamat! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Sahabat, Ya Tabib, Ya Engkau Yang Memikat Hati! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Kemuliaan, Ya Keindahan, Ya Engkau Yang Pemurah! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Paling Dipercaya, Ya Pencinta Terbaik, Ya Raja Fajar! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Penyala, Ya Penerang, Ya Pembawa Keriangan! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Raja Kedermawanan, Ya Engkau Yang Maha Rahman, Ya Engkau Yang Maha Rahim! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Maha Teguh, Ya Pemberi Kehidupan, Ya Sumber semua yang Wujud! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Menembus segala sesuatu, Ya Tuhan Yang Maha Melihat, Ya Raja Ucapan! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau Yang Nyata tetapi Tersembunyi, Ya Engkau Yang Ghaib tetapi Dikenali, Ya Engkau Pemerhati yang dicari oleh semua! Engkau Yang Mencukupi, Engkau Yang Penyembuh, Engkau Yang Maha Kekal, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Aku memohon kepada-Mu Ya Engkau yang membunuh Para Pencinta, Ya Tuhan yang Berbelas Kasihan kepada orang-orang keji!

Ya Pencukup, aku memohon kepada-Mu, Ya Pencukup!

Ya Penyembuh, aku memohon kepada-Mu, Ya Penyembuh!

Ya Engkau Yang Maha Kekal, aku memohon kepada-Mu, Ya Engkau Yang Maha Kekal!

Engkau Yang Maha Mencukupi, Ya Engkau Yang Maha Abadi!

Tersucilah Engkau, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi kedermawanan-Mu, yang melaluinya, gapura-gapura anugerah dan kurnia-Mu telah terbuka lebar, yang melaluinya Haikal Kesucian-Mu telah didirikan atas takhta keabadian; dan demi rahmat-Mu yang melaluinya Engkau telah mengundang semua yang diciptakan ke meja anugerah-anugerah dan pemberian-pemberian-Mu; dan demi kurnia-Mu, yang melaluinya Engkau telah menjawab, dalam Diri-Mu Sendiri dengan kata "Ya!" atas nama semua di langit dan di bumi, pada saat kedaulatan-Mu dan kebesaran-Mu dinyatakan, pada waktu fajar ketika kekuatan kekuasaan-Mu dijelmakan. Dan sekali lagi aku memohon kepada-Mu, demi nama-nama yang terindah ini, demi sifat-sifat yang terluhur dan maha mulia ini, dan demi Kenangan-Mu Yang Maha Agung, dan demi Keindahan-Mu yang murni dan tak ternoda, dan demi Cahaya-Mu yang tersembunyi dalam ruangan yang paling tersembunyi dan demi Nama-Mu, yang memakai jubah penderitaan setiap pagi dan petang, agar melindungi pembawa Loh yang diberkati ini, dan sesiapa yang mengucapkannya, dan sesiapa yang menemukannya, dan sesiapa yang mengelilingi rumah yang di dalamnya Loh ini berada. Kemudian sembuhkanlah oleh-Mu dengan Loh ini setiap orang yang sakit, yang berpenyakit dan yang malang, daripada setiap penderitaan dan kesengsaraan, daripada setiap kesedihan dan penyakit yang menjijikkan, dan bimbinglah oleh-Mu dengan Loh ini barangsiapa yang ingin memasuki jalan-jalan bimbingan-Mu dan arah-arah pengampunan dan kurnia-Mu.

Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mencukupi, Sang Penyembuh, Pelindung, Pemberi, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Dermawan, Yang Maha Penyayang.

#12115
- Bahá'u'lláh

 

DOA TENGAH MALAM

Wahai pencari Kebenaran! Jika engkau menginginkan agar Tuhan membuka mata rohanimu, engkau harus minta dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan, berdoa dan berhubung dengan-Nya pada tengah malam, lalu mengatakan:

Ya Tuhan, aku telah menghadapkan wajahku kepada kerajaan keesaan-Mu dan sedang menyelami samudera belas kasihan-Mu! Ya Tuhan, terangilah penglihatanku dengan memperlihatkan cahaya-Mu pada malam gelap-gelita ini, dan bahagiakanlah daku dengan wain cinta-Mu dalam zaman yang menakjubkan ini. Ya Tuhan, bolehkanlah daku untuk mendengar panggilan-Mu, dan bukalah di hadapan wajahku pintu-pintu syurga-Mu, agar aku dapat melihat cahaya kemuliaan-Mu dan tertarik kepada keindahan-Mu.

Sesungguhnya, Engkaulah Pemberi, Yang Dermawan, Penyayang, Pengampun!

#12129
- `Abdu'l-Bahá

 

FAJAR

Ya Tuhanku dan Rajaku! Aku adalah hamba-Mu dan putera hamba-Mu. Aku telah bangun dari tempat tidurku pada waktu fajar ini, ketika Suria Keesaan-Mu telah bersinar dari Subuh kehendak-Mu, dan telah memancarkan sinar-Nya ke seluruh dunia, sesuai dengan apa yang telah dirukunkan dalam Kitab-Kitab Perintah-Mu.

Pujian bagi-Mu, Ya Tuhanku, kerana kami telah bangun berkat kecemerlangan cahaya pengetahuan-Mu. Maka turunkanlah kepada kami, Ya Tuhanku, apa yang akan membolehkan kami untuk tidak bergantung kepada sesiapa pun kecuali Engkau, dan bebaskanlah kami daripada segala ikatan kepada apa pun kecuali Engkau Sendiri. Selanjutnya, tuliskanlah bagiku, dan bagi mereka yang aku cintai, dan bagi sanak-saudaraku, lelaki dan wanita, kebaikan dunia ini dan akhirat. Ya Engkau Kekasih kepada seluruh ciptaan dan Hasrat alam semesta, selamatkanlah kami dengan perlindungan-Mu yang tidak pernah gagal daripada mereka yang telah Engkau jadikan penjelmaan-penjelmaan Bisikan Jahat, yang berbisik-bisik dalam dada manusia. Berkuasalah Engkau berbuat sekehendak-Mu. Sesungguhnya, Engkau Yang Maha Luhur, Penolong dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.

Berkatilah, Ya Tuhan, Tuhanku, Dia Yang telah Engkau kuasakan dengan Gelaran-Mu Yang maha luhur, dan Yang melalui Dia, telah Engkau bezakan antara orang-orang yang suci dan jahat, dan bantulah kami dengan rahmat-Mu untuk melakukan apa pun yang Engkau cintai dan kehendaki. Selain daripada itu, Ya Tuhanku, berkatilah mereka yang merupakan Kata-Kata-Mu dan Huruf-Huruf-Mu, dan mereka yang mengarahkan wajahnya kepada-Mu, dan telah menghadap kepada wajah-Mu, dan menyahut seruan-Mu.

Sesungguhnya, Engkau Tuhan dan Raja sekalian manusia dan berkuasa ke atas segala benda.

#12069
- Bahá'u'lláh

 

”Sering kali pada waktu fajar Aku telah berpaling daripada alam-alam Ghaib ke kediamanmu, dan menemui engkau di atas katil kesenanganmu menyibukkan diri dengan orang lain melainkan Daku. Lalu sepantas kilat roh, Aku telah kembali ke alam kemuliaan syurgawi dan tidak menyebutkan hal ini kepada para penghuni kesucian di kediaman-Ku di atas.”

”Sering kali bayu kasih sayang-Ku telah ditiupkan ke atasmu pada waktu fajar dan menjumpai engkau tidur lena di atas katil ketidakendahanmu. Sambil meratapi keadaanmu ia telah kembali ke tempat asalnya.”

#12070
- Bahá'u'lláh

 

ḤUQÚQU’LLÁH: HAK TUHAN

”Ḥuqúqu’lláh adalah sesungguhnya satu hukum yang hebat. Adalah diwajibkan bagi semua untuk melakukan pembayaran ini, kerana ia adalah sumber rahmat, kemewahan, dan segala kebaikan. Ia adalah satu kurnia yang akan kekal dengan setiap roh dalam setiap dunia daripada dunia-dunia Tuhan, Segala Memiliki, Yang Maha Rahmat.”

Dimuliakanlah Engkau, Ya Tuhan segala ciptaan, kepada Engkaulah harus segala benda berpaling. Dengan lidahku yang dalam dan luar aku menaik saksi kerana Engkau telah menjelmakan dan menonjolkan Diri-Mu, turunkanlah tanda-tanda-Mu, dan umumkanlah kesaksian-Mu. Aku naik saksi kepada keesaan-Mu daripada segala sesuatu melainkan Engkau, dan kesucian-Mu ke atas segala benda duniawi. Aku memohon kepada-Mu demi keagungan unggul Akidah-Mu dan kekuatan tertinggi Kalimat-Mu untuk memberikan pengesahan kepada dia yang telah berhasrat untuk memberikan apa yang telah perintahkan kepadanya dalam Kitab-Mu dan untuk memerhatikan apa yang akan mengeluarkan keharuman penerimaan-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Kuat, Yang Maha Rahim, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Dermawan.

#12071
- Bahá'u'lláh

 

”Katakanlah: Janganlah bergembira dalam benda yang engkau miliki; malam ini ianya kepunyaanmu, keesokan hari orang lain akan memilikinya.”

”Diberkatilah dia yang telah berbelanja di Jalan-Mu apa yang telah Engkau kurniakan kepadanya melalui rahmat dan kurnia-Mu.”

#12072
- Bahá'u'lláh

 

IBU BAPA

Engkau lihat, Ya Tuhan, tangan rendah diri kami diangkatkan ke arah syurga kurnia dan rahmat-Mu. Bolehkanlah agar ia dapat diisi dengan khazanah kemurahan hati dan berkat yang berlimpah. Ampunilah kami, dan ayah-ayah kami, dan ibu-ibu kami, dan tunaikanlah apa sahaja yang kami hasratkan daripada samudera kurnia dan kemurahan Suci-Mu. Terimalah, Ya Kekasih hati kami, segala kerja kami di jalan-Mu. Engkau sesungguhnya, Yang Maha Kuat, Yang Maha Mulia, Yang Tak Terbanding, Yang Satu, Yang Pengampun, Yang Rahim.

#12073
- Bahá'u'lláh

 

”Adalah patut bagi hamba Tuhan, selepas setiap doa, memohon kepada Tuhan agar memberikan belas kasihan dan pengampunan kepada ibu bapanya. Kemudian seruan Tuhan akan dikumandangkan: ‘Beribu-ribu permohonanmu untuk ibu bapamu akan menjadi ganjaranmu!’ Diberkatilah dia yang mengingati ibu bapanya semasa berhubung dengan Tuhan. Tidak ada Tuhan melainkan-Nya, Yang Berkuasa, Yang Dikasihi.”

#12074
- The Báb

 

Aku memohon kemaafan-Mu, Ya Tuhanku, dan merayu pengampunan-Mu sebagaimana Engkau menginginkan hamba-hamba-Mu menghadap kepada-Mu. Aku merayu kepada-Mu agar menghapuskan dosa-dosa kami sesuai dengan martabat Ketuhanan-Mu, dan agar mengampuni daku, ibu bapaku, dan mereka yang menurut perhitungan-Mu telah memasuki tempat tinggal cinta-Mu, dengan cara yang layak bagi kedaulatan-Mu yang luhur dan patut bagi kekuasaan syurgawi-Mu yang mulia. Ya Tuhanku, Engkau telah mengilhami jiwaku untuk memohon kepada-Mu dan jika tidak kerana-Mu, aku tidak akan memanggil-Mu. Dimuliakanlah dan diluhurkanlah Engkau; aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah menjelmakan Diri-Mu kepadaku dan aku memohon kepada-Mu untuk mengampuni daku kerana aku telah melalaikan kewajipanku untuk mengenal-Mu dan telah gagal untuk berjalan di jalan cinta-Mu.

#12075
- The Báb

 

Ya Tuhan! Dalam Dispensasi yang Maha Agung ini Engkau telah menerima permohonan anak-anak bagi pihak ibu bapa mereka. Ini adalah salah satu daripada pemberian istimewa yang tak terbatas pada Dispensasi ini. Oleh sebab itu, Ya Engkau Tuhan Yang Maha Pengasih, terimalah permohonan hamba-Mu ini di ambang keesaan-Mu dan selamkanlah ayahandanya dalam samudera kurnia-Mu, kerana anak ini telah bangkit untuk mengabdi kepada-Mu dan pada setiap waktu berusaha di jalan cinta-Mu. Sesungguhnya, Engkau Maha Pemberi, Pengampun dan Baik Hati.

~ ‘Abdu’l-Bahá

#12076
- `Abdu'l-Bahá

 

”Jika engkau menunjukkan kebaikan hati dan bertimbang rasa kepada ibu bapamu sehingga mereka berasa gembira, ia juga akan menggembirakan Daku, kerana ibu bapa harus amat dihormati dan adalah penting bagi mereka untuk berasa puas hati, kecuali apabila mereka menghalangmu untuk mencapai Ambang Yang Maha Berkuasa, atau menahanmu daripada berjalan di jalan Kerajaan.”

#12077
- `Abdu'l-Bahá

 

KANAK-KANAK

Ya Tuhan, Tuhanku! Ini adalah anak yang telah dilahirkan daripada loin salah seorang hamba-Mu yang telah Engkau kurniakan kedudukan yang istimewa dalam Loh-Loh perintah-Mu yang muktamad dalam Kitab-Kitab perintah-Mu.

Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu, dengannya semua orang dibolehkan untuk mencapai tujuan hasratnya, untuk menyebabkan anak ini menjadi jiwa yang lebih matang dalam kalangan hamba-Mu; sebabkannya untuk bersinar melalui kuasa Nama-Mu, bolehkannya untuk mengungkapkan pujian kepada-Mu, untuk menghadapkan wajahnya kepada-Mu dan untuk mendekati-Mu. Sesungguhnya, sejak azali, Engkaulah yang mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja yang Engkau redai. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Luhur, Yang Mulia, Yang Menakluki, Yang Kuat, Yang Menakjubkan.

#12078
- Bahá'u'lláh

 

”Berkenaan kanak-kanak: Kami telah mengarahkan bahawa dari usia awal lagi mereka haruslah dilatih dalam amalan-amalan dan hukum-hukum agama; dan kemudiannya, dalam cabang-cabang ilmu pengetahuan yang bermanfaat, dan dalam perdagangan yang dibezakan oleh keluhurannya, dan dalam perlakuan-perlakuan yang akan melanjutkan kemenangan Akidah Tuhan atau akan menarik hasil-hasil yang akan mendekatkan seorang penganut kepada Tuhannya.”

”Ajarkanlah kepada anak-anakmu ayat-ayat yang diwahyukan dari langit keagungan dan kekuasaan, sehingga mereka dapat melafazkan Loh-Loh Yang Maha Pengasih di ruangan Mashriqu’l-Adhkár, dengan irama yang paling merdu.”

#12079
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan, bimbinglah daku, lindungilah daku, jadikanlah daku satu lampu bersinar dan satu bintang cemerlang. Engkaulah Maha Kuasa dan Maha Kuat.

#12080
- `Abdu'l-Bahá

 

Dialah Tuhan! Ya Tuhan, Tuhanku! Kurniakanlah ke atas daku hati yang murni, bagaikan sebutir mutiara.

#12081
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Engkau melihat kanak-kanak ini yang adalah dahan daripada pohon kehidupan, burung-burung di padang keselamatan, mutiara-mutiara di samudera kurnia-Mu, bunga-bunga mawar di taman bimbingan-Mu.

Ya Tuhan, Tuhanku! Kami menyanyikan pujian, naik saksi kepada kesucian-Mu dan merayu dengan bersungguh-sungguh bagi syurga belas kasihan-Mu untuk menjadikan kami cahaya bimbingan, bintang-bintang yang bersinar di atas ufuk kemuliaan abadi dalam kalangan umat manusia, dan untuk mendidik kami dengan pengetahuan yang berasal daripada-Mu.

Yá Bahá’u’l-Abhá!

#12082
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Aku adalah anak yang muda. Asuhlah daku daripada dada belas kasihan-Mu, latihlah daku dalam pelukan cinta-Mu, didiklah daku dalam sekolah bimbingan-Mu dan besarkanlah daku di bawah naungan rahmat-Mu. Keluarkanlah daku daripada kegelapan, jadikanlah daku cahaya yang cemerlang; bebaskanlah daku daripada kesedihan, jadikanlah daku bunga di taman mawar; sebabkanlah daku menjadi seorang hamba di ambang-Mu dan anugerahkanlah ke atas daku kecenderungan dan sifat mereka yang lurus; jadikanlah daku punca rahmat kepada dunia kemanusiaan, dan nobatkanlah daku dengan mahkota kehidupan.

Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Berkuasa, Yang Kuat, Yang Melihat, Yang Mendengar.

#12083
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan yang Tiada Bandingan! Jadilah Engkau tempat teduh kepada kanak-kanak yang kasihan ini dan Raja yang baik dan pemaaf kepada jiwa yang bersalah dan tidak gembira ini. Ya Tuhan! Walau kami hanyalah tumbuh-tumbuhan yang tak bernilai, tetapi kami berasal dari taman mawar-Mu. Walaupun pohon muda tanpa daun dan bunga, tetapi kami sebahagian daripada kebun-Mu. Asuhlah tumbuh-tumbuhan ini melalui curahan awan belas kasihan-Mu dan perkuatkan dan segarkanlah pohon muda ini melalui nafas penghidup musim bunga rohani-Mu. Sebabkanlah dia menjadi sedar, arif dan mulia, dan kurniakanlah agar dia dapat mencapai kehidupan abadi dan menetap dalam Kerajaan-Mu selama-lamanya.

#12084
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Engkau Tuhan yang maha mulia! Jadikanlah dayang-Mu yang muda ini diberkati dan gembira; sebabkannya untuk diriangkan dalam ambang keesaan-Mu, dan biarkanlah dia minum sepenuhnya daripada cawan cinta-Mu agar dia dapat dipenuhi keseronokan dan ekstasi dan menyebarkan keharuman manis. Engkaulah Yang Kuat dan Berkuasa, dan Engkaulah Yang Maha Tahu, Yang Maha Melihat.

#12085
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan! Didiklah kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini ialah pohon-pohon dalam kebun-Mu, bunga-bunga dalam halaman-Mu, bunga-bunga mawar dalam taman-Mu. Turunkanlah hujan-Mu pada mereka; pancarkanlah Matahari Kebenaran pada mereka dengan cinta-Mu. Biarlah hembusan-Mu menyegarkan mereka, supaya mereka dapat dididik, tumbuh dan berkembang serta kelihatan seindah-indahnya. Engkaulah Maha Pemberi. Engkaulah Maha Pengasih.

#12086
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan! Jadikanlah kanak-kanak ini tumbuh-tumbuhan yang cemerlang. Biarlah mereka tumbuh dan berkembang dalam Kebun Waadat-Mu, dan kurniakanlah kesegaran dan keindahan melalui curahan awan-awan Kerajaan Abhá.

Ya Engkau Tuhan yang Pemurah! Aku seorang anak kecil, luhurkanlah daku dengan memasukkan daku ke dalam kerajaan. Aku duniawi, jadikanlah daku syurgawi; aku dari bumi, sebabkanlah daku tinggal di alam di atas; aku suram, jadikanlah daku bersinar; aku kebendaan, jadikanlah daku rohani, dan kurniakanlah supaya aku dapat menjelmakan rahmat-rahmat tak terhingga-Mu.

Engkau Yang Maha Kuasa, Yang Maha Pengasih.

#12087
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan yang Pengasih! Kanak-kanak comel ini adalah karya jari-jari-Mu yang berkuasa dan tanda-tanda yang indah daripada kebesaran-Mu. Ya Tuhan! Lindungilah kanak-kanak ini dan bantulah mereka dengan kasih sayang-Mu agar mereka dapat dididik dan dapat berkhidmat kepada umat manusia. Ya Tuhan! Kanak-kanak ini bagaikan mutiara, peliharalah mereka dalam cangkerang kasih sayang-Mu. Engkaulah Pemberi, Yang Maha Pengasih.

#12088
- `Abdu'l-Bahá

 

”...dari permulaannya, kanak-kanak harus menerima pendidikan rohani dan harus sentiasa dinasihati untuk mengingati Tuhan. Biarlah cinta kepada Tuhan memenuhi jiwa terdalam mereka.”

#12089
- `Abdu'l-Bahá

 

KEDEKATAN KEPADA TUHAN

Terpujilah Engkau, Ya Tuhanku! Engkau mendengar kekasih-Mu yang sejati meratap dalam perpisahan mereka daripada-Mu, dan mereka yang telah mengenali Engkau sedang menangis kerana kejauhan mereka daripada kehadiran-Mu. Bukakanlah ke hadapan wajah mereka, Ya Tuhanku, pintu gerbang kurnia-Mu, agar mereka dapat memasukinya dengan kebenaran daripada-Mu dan sesuai dengan kehendak-Mu, dan memahami loghat suara-Mu, dan diterangi dengan sinaran cahaya wajah-Mu.

Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau senangi. Tiada sesiapa yang dapat menahan kuasa kedaulatan kekuatan-Mu. Sejak azali Engkau berdiri sendiri, yang tiada setara dengan-Mu, dan akan selama-lamanya kekal jauh di atas sebarang fikiran dan setiap gambaran tentang Diri-Mu. Maka, tunjukkanlah belas kasihan ke atas hamba-hamba-Mu melalui kurnia dan rahmat-Mu, dan janganlah deritai mereka untuk berjauhan daripada pantai samudera kedekatan-Mu. Jika Engkau mengabaikan mereka, siapakah yang dapat berkawan dengan mereka; dan jika Engkau meletakkan mereka jauh daripada-Mu, siapakah yang dapat menjaga mereka? Mereka tidak mempunyai Tuhan lain selain Engkau, tiada sesiapa untuk dipuja melainkan Diri-Mu. Bermurah hatilah terhadap mereka dengan kurnia-Mu yang penuh rahmat.

Sesungguhnya, Engkaulah Pemaaf Selalu, Yang Paling Mengasihani.

#12090
- Bahá'u'lláh

 

Dia adalah Belas Kasihan, Yang Maha Rahim! Ya Tuhan, Tuhanku! Engkau melihatku, Engkau mengenalku; Engkaulah Pelindung dan Penaungku. Tiada yang telahku cari mahupun akan daku mencari selain Engkau; tiada jalan yang telahku jejaki mahupun akan daku menjejaki selain jalan cinta-Mu. Dalam kegelapan malam yang penuh putus asa, mataku menunggu-nunggu dan berpaling dengan penuh harapan kepada pagi rahmat-Mu yang tak terhingga dan pada waktu fajar rohku yang lemah telah disegarkan dan diperkuatkan melalui pengingatan kepada keindahan dan kesempurnaan-Mu. Dia yang dibantu oleh kurnia belas kasihan-Mu, walaupun dia hanyalah setitis, akan menjadi samudera yang tak terbatas, dan atom yang paling kecil jika dibantu oleh kasih sayang-Mu, akan bersinar bagaikan bintang yang cemerlang.

Naungilah di bawah perlindungan-Mu, Ya Engkau Semangat kesucian, Engkau Yang adalah Pemberi Maha Dermawan, hamba-Mu yang terpesona dan disemarakkan ini. Bantulah dia di dunia ini untuk tetap teguh dan kukuh dalam cinta-Mu dan sebabkanlah burung yang patah sayap ini untuk mencapai perlindungan dan naungan di sarang keilahian-Mu yang ditempatkan di atas pohon syurgawi.

#12091
- `Abdu'l-Bahá

 

KEKUATAN

”Dilengkapi dengan kekuatan Nama-Mu, tak sesuatu pun akan dapat melukai daku, dan dengan cinta-Mu dalam hatiku semua penderitaan di dunia ini tak akan dapat menggoyahkan daku.”

”Tidak ada kekuasaan mahupun kekuatan kecuali dalam Tuhan sendiri.”

”Ini adalah Revelasi yang memberikan kekuatan kepada yang lemah.”

#12092
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan! Kami lemah; berilah kami kekuatan. Kami miskin; anugerahilah kami dengan kekayaan-Mu yang tak terbatas. Kami sakit; berilah kami kesembuhan ketuhanan-Mu. Kami tak berdaya; berilah kami kekuatan syurgawi-Mu. Ya Tuhan! Jadikanlah kami berguna di dunia ini; bebaskanlah kami daripada keakuan dan hawa nafsu. Ya Tuhan! Jadikanlah kami teguh dalam cinta-Mu dan bolehkanlah kami mencintai seluruh umat manusia. Bantulah kami dalam pengabdian kepada dunia kemanusiaan agar kami dapat menjadi hamba kepada hamba-hamba-Mu, agar kami dapat mencintai semua makhluk-Mu dan mengasihi seluruh umat-Mu.

Ya Tuhan! Engkaulah Maha Perkasa! Engkaulah Maha Pengasih! Engkaulah Maha Pengampun! Engkaulah Maha Berkuasa!

#12093
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan! Kami lemah; perkuatkanlah kami. Ya Tuhan! Kami jahil; jadikanlah kami berilmu; Ya Tuhan! Kami miskin; jadikanlah kami kaya. Ya Tuhan! Kami mati; hidupkanlah kami. Ya Tuhan! Kami sangat hina; muliakanlah kami di kerajaan-Mu. Jika Engkau membantu kami, kami akan menjadi bagai bintang yang berkilauan. Jika Engkau tidak membantu kami, kami akan menjadi lebih rendah daripada bumi. Ya Tuhan! Perkuatkanlah kami. Ya Tuhan! Berilah kami kemenangan. Ya Tuhan! Bolehkanlah kami untuk menakluki keakuan dan mengatasi hawa nafsu. Ya Tuhan! Bebaskanlah kami daripada ikatan dunia kebendaan. Ya Tuhan! Hidupkanlah kami melalui hembusan Roh Suci supaya kami dapat bangkit untuk mengabdi kepada-Mu, asyik dalam menyembah-Mu dan berusaha sekuat tenaga dalam kerajaan-Mu dengan penuh keikhlasan. Ya Tuhan! Engkaulah Maha Kuasa! Ya Tuhan, Engkaulah Maha Pengampun! Ya Tuhan! Engkaulah Maha Pengasih!

#12094
- `Abdu'l-Bahá

 

KELUARGA

Maha Mulialah Engkau, Ya Tuhanku! Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah membolehkan daku mengenal Dia, Fajar rahmat-Mu dan Tempat Terbit kurnia-Mu dan Sumber Akidah-Mu. Aku memohon kepada-Mu demi nama-Mu, yang melalui-Nya wajah-wajah mereka yang dekat kepada-Mu telah menjadi putih, dan kalbu-kalbu mereka yang mencintai-Mu telah terbang kepada-Mu, agar mengizinkan daku untuk berpegang teguh kepada tali-Mu pada setiap waktu dan dalam segala keadaan, dan terlepas daripada ikatan sesiapa pun kecuali Engkau, dan membolehkan mataku diarahkan ke ufuk Revelasi-Mu, dan dapat menjalankan apa yang telah Engkau tentukan bagiku dalam Loh-Loh-Mu.

Ya Tuhanku, hiasilah jiwa dan ragaku dengan jubah rahmat-Mu dan kasih sayang-Mu. Lalu selamatkanlah daku daripada segala sesuatu yang tak Engkau redai, dan dengan penuh rahmat, tolonglah daku dan keluargaku agar mentaati-Mu dan menjauhi daripada apa yang dapat menimbulkan sebarang kejahatan atau keinginan keji dalam diriku.

Sesungguhnya, Engkaulah Tuhan seluruh umat manusia, dan Pemilik dunia ini dan akhirat. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

#12095
- Bahá'u'lláh

 

Kemuliaan bagi-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu agar mengampuni daku dan mereka yang membantu Akidah-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Raja yang berdaulat, Pengampun, Yang Maha Dermawan. Ya Tuhanku! Bolehkanlah hamba-hamba-Mu yang jahil untuk memasuki Akidah-Mu; kerana setelah mereka mengenal-Mu, mereka naik saksi akan kebenaran Hari Kiamat dan tidak akan membantah penjelmaan-penjelmaan rahmat-Mu. Turunkanlah kepada mereka tanda-tanda kurnia-Mu, dan berikanlah kepada mereka di mana sahaja mereka berada, bahagian yang besar daripada apa yang telah Engkau tetapkan bagi hamba-hamba-Mu yang suci. Sesungguhnya, Engkaulah Raja Yang Agung, Yang Maha Pemberi, Maha Dermawan.

Ya Tuhanku! Biarkanlah curahan dari pemberian dan rahmat-Mu turun kepada rumah-rumah yang penghuninya telah memeluk Akidah-Mu, sebagai tanda kurnia-Mu dan lambang kasih sayang daripada kehadiran-Mu. Sesungguhnya, Engkau tak dapat ditandingi dalam memberi pengampunan. Seandainya Engkau menahan pemberian-Mu daripada seseorang, bagaimanakah dia dapat dianggap antara penganut Akidah pada Hari-Mu? Berkatilah daku, Ya Tuhanku, dan mereka yang akan percaya kepada tanda-tanda-Mu pada Hari yang ditetapkan, dan mereka yang memiliki cintaku dalam kalbu-kalbu mereka—satu cinta yang Engkau telah tanamkan dalam mereka. Sesungguhnya, Engkaulah Raja keadilan, Yang Maha Luhur.

#12096
- The Báb

 

”Diberkatilah rumah yang telah mencapai rahmat-Mu yang mesra, yang dalamnya pengingatan-Ku dirayakan; yang menjadi mulia kerana kehadiran kekasih-kekasih-Ku yang mengumandangkan pujian-Ku, yang berpegang erat kepada tali kurnia-Ku dan yang diberi kehormatan kerana menyanyikan ayat-ayat-Ku.”

#12097
- `Abdu'l-Bahá

 

KEMENANGAN AKIDAH

Dimuliakanlah Engkau, Ya Tuhan, Tuhanku! Jelmakanlah sungai-sungai kekuatan-Mu yang berdaulat, agar air kesatuan-Mu akan mengalir melalui realiti terdalam segala benda, sehinggakan panji bimbingan-Mu yang tak terhingga akan dinaikkan tinggi di kerajaan perintah-Mu dan bintang-bintang sinaran keilahian-Mu akan bersinar dengan terang di syurga keagungan-Mu.

Berkuasalah Engkau untuk membuat apa yang Engkau redai. Sesungguhnya, Engkaulah Penolong dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.

#12098
- Bahá'u'lláh

 

Kemuliaan bagi-Mu, Ya Tuhanku, Engkaulah yang telah mewujudkan segala benda tercipta melalui kekuatan perintah-Mu.

Ya Tuhan! Bantulah mereka yang telah meninggalkan segala sesuatu kecuali Engkau dan berikanlah kepada mereka kemenangan yang hebat. Turunkanlah kepada mereka, Ya Tuhan, angkatan malaikat di syurga dan di bumi dan segala yang ada di antaranya, untuk membantu hamba-hamba-Mu, dan menolong serta menguatkan mereka, membolehkan mereka untuk mencapai kemenangan, menyokong mereka dan menganugerahi mereka dengan kemuliaan, memberikan kepada mereka kehormatan dan keluhuran, serta menjadikan mereka kaya dan memberikan mereka kemenangan yang menakjubkan.

Engkau adalah Raja mereka, Raja langit dan bumi, Raja segala alam. Kuatkanlah Akidah ini, Ya Tuhan, melalui kekuatan hamba-hamba ini, dan bolehkanlah mereka menang ke atas semua bangsa di dunia; kerana sesungguhnya mereka itu adalah hamba-Mu yang telah melepaskan diri daripada segala sesuatu melainkan Engkau, dan sesungguhnya Engkau adalah Pelindung bagi para penganut yang sejati.

Bolehkanlah, Ya Tuhan, agar kalbu-kalbu mereka menjadi lebih kuat daripada apa pun yang ada di langit dan di bumi dan apa sahaja yang ada di antaranya, melalui kesetiaan kepada Akidah-Mu yang tak dapat dikalahkan; dan perkuatkanlah, Ya Tuhanku, tangan-tangan mereka dengan tanda-tanda kekuasaan-Mu yang menakjubkan agar mereka dapat menjelmakan kekuatan-Mu di hadapan penglihatan semua manusia.

#12099
- The Báb

 

Ya Tuhan! Bolehkanlah semua manusia di bumi untuk memasuki Syurga Akidah-Mu, agar tiada benda tercipta kekal jauh daripada batas keredaan-Mu.

Sejak azali Engkau berkuasa untuk membuat apa yang Engkau redai dan maha tinggi di atas apa yang Engkau hasrati.

#12100
- The Báb

 

KENDURI SEMBILAN BELAS HARI

Ya Tuhan! Hilangkanlah semua unsur-unsur yang menyebabkan perselisihan, dan sediakan bagi kami perkara-perkara yang membawa kesatuan dan persefahaman! Ya Tuhan! Turunkanlah kepada kami Keharuman Syurgawi dan tukarkanlah pertemuan ini kepada pertemuan Syurgawi! Berikanlah kami setiap kebaikan dan setiap makanan. Sediakanlah bagi kami Makanan Kasih Sayang! Berikanlah kami Makanan Ilmu Pengetahuan! Kurniailah kami Makanan Pencerahan Syurgawi!

#12169
- Bahá'u'lláh

 

KERIANGAN

”Gembiralah orang yang merenungkan dalam kalbunya apa yang telah diwahyukan dalam Kitab-Kitab Tuhan, Penolong dalam Bahaya, Yang Berdiri Sendiri.”

”Gembiralah mereka yang mematuhi perintah-perintah Tuhan; gembiralah mereka yang telah mengenal Kebenaran-Nya; gembiralah mereka yang menilai segala sesuatu dengan keadilan dan berpegang teguh pada Tali Keadilan-Ku yang tak dapat dibantah.”

”Gembiralah orang yang telah berdiri teguh dalam Akidah ini dan menolak untuk berpaling daripada kebenaran-Nya pada hari-hari ketika cubaan-cubaan meliputi seluruh dunia.”

#12101
- Bahá'u'lláh

 

Jadikanlah daku bersedia, dalam segala keadaan, Ya Tuhanku, untuk mengabdi kepada-Mu dan untuk menetapkan diriku pada tempat suci Wahyu-Mu dan Keindahan-Mu yang dikasihi. Jika ia adalah keredaan-Mu, jadikanlah daku tumbuh bagaikan herba yang muda di padang kurnia-Mu, agar angin lembut kehendak-Mu akan bertiup ke atas diriku dan menundukkan daku mengikut keredaan-Mu, agar pergerakanku dan kesenyapanku akan diarahkan sepenuhnya oleh-Mu.

~ Bahá’u’lláh

#12102
- Bahá'u'lláh

 

Wujudkanlah dalam diriku hati yang suci, Ya Tuhanku, dan baharuilah satu suara hati aman dalam diriku, Ya Harapanku! Melalui semangat kuasa sahkanlah Engkau diriku dalam Akidah-Mu, Ya Kekasihku, dan dengan cahaya keagungan-Mu tunjukkanlah kepadaku jalan-Mu, Ya Engkau Matlamat hasratku! Melalui kuasa kekuatan unggul-Mu naikkanlah diriku ke langit kesucian-Mu, Ya Punca kewujudanku, dan dengan bayu keabadian-Mu riangkanlah daku, Ya Engkau yang adalah Tuhanku! Biarlah irama-Mu yang berkekalan menafaskan ketenteraman kepada diriku, Ya Temanku, dan biarlah kekayaan wajah purba-Mu bebaskan diriku daripada semua melainkan Engkau, Ya Tuhanku, dan biarlah rukun wahyu Inti tak ternoda-Mu membawa keriangan kepadaku, Ya Engkau Yang adalah paling kelihatan daripada yang kelihatan dan paling tersembunyi daripada yang tersembunyi.

~ Bahá’u’lláh

#12103
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan! Segarkan dan riangkanlah jiwaku, murnikanlah hatiku, terangilah kuasa-kuasaku. Aku menyerahkan segala urusanku ke dalam tangan-Mu. Engkau adalah Pembimbing dan Pelindungku. Aku tidak akan lagi bersedih dan susah hati. Aku akan menjadi manusia yang riang dan gembira. Ya Tuhan, aku tidak akan lagi diliputi rasa cemas, mahupun membiarkan kesusahan membingungkan daku. Aku tidak akan memikirkan soal-soal kehidupan yang tidak menyenangkan. Ya Tuhan, Engkau lebih akrab kepadaku daripada aku kepada diriku sendiri. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu, Ya Tuhan.

#12104
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan, Tuhanku! Engkaulah Harapanku dan Kekasihku, Tujuanku dan Hasratku yang tertinggi! Dengan sangat rendah hati dan pengabdian sepenuhnya aku berdoa kepada-Mu agar menjadikan daku menara cinta-Mu di negeri-Mu, lampu pengetahuan-Mu antara makhluk-makhluk-Mu dan panji rahmat ilahi di kerajaan-Mu. Masukkanlah daku dalam bilangan hamba-hamba-Mu yang telah melepaskan diri mereka daripada segala sesuatu kecuali Engkau dan telah menyucikan diri mereka daripada hal-hal fana di dunia ini, serta membebaskan diri mereka daripada bisikan-bisikan suara khayalan kosong.

Biarlah hatiku dipenuhi dengan keriangan melalui semangat pengesahan daripada kerajaan-Mu, dan terangilah mataku dengan melihat angkatan bantuan ilahi turun berturut-turut kepadaku dari kerajaan kemuliaan-Mu yang maha kuasa.

Sesungguhnya, Engkaulah Maha Perkasa, Yang Maha Mulia dan Yang Maha Kuasa.

#12105
- `Abdu'l-Bahá

 

KESATUAN

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Persatukanlah hati hamba-hamba-Mu, dan perlihatkanlah kepada mereka maksud-Mu yang Agung. Semoga mereka mentaati perintah-perintah-Mu dan tunduk kepada hukum-Mu. Tolonglah mereka itu, Ya Tuhan, dalam usaha mereka dan kurniailah mereka itu kekuatan untuk mengabdi kepada-Mu. Ya Tuhan! Janganlah Engkau biarkan mereka itu kepada diri sendiri tetapi bimbinglah langkah-langkah mereka dengan cahaya pengetahuan-Mu dan riangkanlah hati mereka dengan kasih sayang-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Penolong mereka dan Tuhan mereka.

#12106
- Bahá'u'lláh

 

Kemuliaan bagi-Mu, Ya Tuhan, atas penjelmaan cinta-Mu kepada manusia! Ya Engkau yang adalah Kehidupan dan Cahaya kami, bimbinglah hamba-hamba-Mu di jalan-Mu dan jadikanlah kami kaya dengan Engkau dan bebas daripada segala sesuatu kecuali Engkau. Ya Tuhan, ajarlah kami Keesaan-Mu dan berilah kami kesedaran mengenai Kesatuan-Mu, agar kami tidak dapat melihat sesiapa pun kecuali Engkau. Engkaulah Yang Maha Pengasih dan Pemberi Anugerah.

Ya Tuhan, ciptakanlah dalam kalbu-kalbu kekasih-Mu api cinta-Mu, agar ia dapat membakar fikiran terhadap apa pun kecuali Engkau. Nyatakanlah kepada kami, Ya Tuhan, keabadian-Mu yang luhur bahawa Engkaulah purba dan kekal dan tiada Tuhan kecuali Engkau. Sesungguhnya, pada-Mu akan kami cari ketenangan dan kekuatan.

#12107
- Bahá'u'lláh

 

Tuhan mengurniakan agar cahaya kesatuan dapat menyelubungi seluruh bumi, dan agar mohor, “Kerajaan adalah milik Tuhan”, dapat dicapkan pada dahi semua manusia.

#12108
- Bahá'u'lláh

 

”Jika ada perselisihan timbul antara dirimu, lihatlah Daku berdiri di hadapanmu, dan lupakanlah kesalahan-kesalahan satu sama lain demi kepentingan Nama-Ku dan sebagai tanda cintamu kepada Akidah-Ku yang nyata dan cemerlang. Kami suka sekali melihat engkau sentiasa bergaul dalam persahabatan dan keharmonian dalam syurga kerelaan-Ku, dan menikmati dalam perbuatan-perbuatanmu kemesraan dan kesatuan, kasih sayang dan persaudaraan. Demikianlah Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Setia menasihatimu. Kami akan selalu bersamamu; jikalau Kami menikmati kewangian persahabatanmu, kalbu Kami pasti akan bersuka ria, kerana tiada lain yang dapat memuaskan Kami…”

#12109
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sesungguhnya, aku memohon kepada-Mu dan merayu di hadapan ambang-Mu, meminta daripada-Mu agar semua belas kasihan-Mu dapat diturunkan ke atas jiwa-jiwa ini. Berikan mereka keistimewaan kurnia-Mu dan kebenaran-Mu.

Ya Tuhan! Satukanlah dan ikatkanlah kalbu-kalbu bersama, sepakatkanlah semua jiwa, dan gembirakanlah roh-roh melalui tanda-tanda kesucian dan keesaan-Mu. Ya Tuhan! Jadikanlah wajah-wajah ini cemerlang melalui cahaya keesaan-Mu. Perkuatkanlah loin hamba-hamba-Mu dalam khidmat kepada kerajaan-Mu.

Ya Tuhan, Engkau pemilik belas kasihan tak terhingga! Ya Tuhan pengampun dan pemaaf! Ampunilah dosa-dosa kami, maafkanlah kekurangan kami, dan sebabkanlah kami untuk berpaling kepada kerajaan belas kasihan-Mu, merayu kepada kerajaan kekuatan dan kekuasaan, merendah diri di makam-Mu dan menyerah diri di hadapan keagungan bukti-bukti-Mu.

Ya Raja, Tuhan! Jadikanlah kami sebagai ombak di laut, bunga-bunga di taman, bersatu, bersetuju melalui rahmat kasih-Mu. Ya Tuhan! Lapangkanlah dada melalui tanda-tanda keesaan-Mu, dan jadikanlah semua manusia sebagai bintang yang bersinar daripada ketinggian keagungan yang sama, sebagai buah-buahan sempurna di pohon kehidupan-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuat, Yang Berdiri Sendiri, Yang Pemberi, Yang Pengampun, Yang Memaafkan, Yang Maha Tahu, Pencipta yang Satu.

#12110
- `Abdu'l-Bahá

 

KESEMBUHAN

Nama-Mu adalah kesembuhanku, Ya Tuhanku, dan mengenang Engkau adalah penawarku. Kedekatan kepada-Mu adalah harapanku, dan cinta kepada-Mu adalah sahabatku. Rahmat-Mu kepadaku adalah kesembuhanku dan pertolongan bagiku baik di dunia ini mahupun di akhirat. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Dermawan, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

#12111
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan, Tuhanku! Aku merayu kepada-Mu demi samudera penyembuhan-Mu, demi kecemerlangan Suria rahmat-Mu, demi Nama-Mu yang menakluki hamba-hamba-Mu, demi kuasa penyebaran Kalimat-Mu yang terluhur dan kekuatan Pena-Mu yang maha agung, dan demi rahmat-Mu yang telah mendahului penciptaan semua yang ada di syurga dan di bumi agar membersihkan daku dengan air kedermawanan-Mu, daripada setiap malapetaka dan penyakit, dan daripada segala kedaifan dan kelemahan. Engkau melihat, Ya Tuhanku, pemohon ini menunggu di ambang pintu rahmat-Mu, dan dia yang telah menaruh harapannya kepada-Mu bergantung kepada tali kedermawanan-Mu. Aku memohon kepada-Mu, janganlah menjauhkan dia daripada apa yang dicarinya daripada samudera kurnia-Mu dan daripada Suria kasih sayang-Mu.

Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau hasratkan. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Dermawan.

#12112
- Bahá'u'lláh

 

Terpujilah Engkau, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku merayu kepada-Mu, demi Nama-Mu Yang Teragung melaluinya Engkau telah menciptakan hamba-hamba-Mu dan mendirikan kota-kota-Mu, dan demi gelaran-gelaran-Mu yang paling cemerlang, dan sifat-sifat-Mu yang teragung, untuk membantu umat-Mu untuk berpaling ke arah rahmat-Mu yang tak terhingga, dan menetapkan wajah mereka ke arah Khemah Kearifan-Mu. Sembuhkanlah Engkau penyakit-penyakit yang telah melanda jiwa-jiwa di setiap penjuru, dan telah menghalang mereka daripada memalingkan pandangan mereka kepada Syurga yang terletak di bawah teduhan perlindungan Nama-Mu, yang Engkau telah perintahkan untuk menjadi Raja segala Nama kepada semua yang ada di syurga dan semua yang ada di bumi. Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau senangi. Di tangan-Mu adalah pemerintah segala nama. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Kuat, Yang Arif.

Aku hanyalah makhluk miskin, Ya Tuhanku; aku telah berpaut pada kelim kekayaan-Mu. Aku sakit tenat; aku telah berpegang kuat pada penyembuhan-Mu. Bebaskanlah daku daripada penyakit yang telah menyelubungiku, dan bersihkanlah daku sepenuhnya melalui air kedermawanan dan belas kasihan-Mu, dan hiasilah daku dengan pakaian kesegaran, melalui pengampunan dan rahmat-Mu. Lalu, tetapkanlah mataku kepada-Mu, dan hilangkanlah segala keterikatanku kecuali kepada-Mu. Bantulah daku untuk melakukan apa yang Engkau redai, dan untuk memenuhi apa yang Engkau senangi.

Engkaulah sesungguhnya Tuhan kehidupan ini dan yang seterusnya. Sesungguhnya, Engkaulah Maha Pengampun, Maha Rahmat.

#12113
- Bahá'u'lláh

 

”Oleh itu berusahalah agar perbuatan-perbuatanmu hari demi hari akan menjadi doa-doa yang indah. Berpalinglah kepada Tuhan, dan sentiasa berusaha melakukan apa yang betul dan mulia. Memperkaya yang miskin, mendukung yang telah jatuh, menenangkan yang sedih, menyembuhkan yang sakit, meyakinkan yang dipenuhi ketakutan, menyelamatkan yang tertindas, membawa harapan kepada yang berputus asa, melindungi yang melarat.”

#12114
- `Abdu'l-Bahá

 

KETAKTERIKATAN

Terpujilah Engkau, Ya Tuhanku! Aku salah seorang hamba-Mu, yang telah percaya kepada-Mu dan kepada tanda-tanda-Mu. Engkau melihat bagaimana aku telah menghadapkan diriku pada pintu rahmat-Mu dan mengarahkan wajahku pada kasih sayang-Mu. Aku memohon kepada-Mu, demi gelaran-Mu yang tertinggi dan sifat-sifat-Mu yang terluhur, agar membuka kepada wajahku gapura-gapura anugerah-Mu. Maka, tolonglah daku agar berbuat apa yang baik, Ya Engkau Pemilik segala nama dan sifat!

Aku ini miskin, Ya Tuhanku, dan Engkaulah Yang Kaya. Aku telah menghadapkan wajahku kepada-Mu, dan melepaskan diriku daripada segala-galanya kecuali Engkau. Aku memohon kepada-Mu, janganlah menjauhkan diriku daripada bayu-bayu belas kasihan-Mu yang mesra, dan janganlah dijauhkan daripadaku apa yang Engkau takdirkan bagi orang-orang pilihan dalam kalangan hamba-hamba-Mu.

Bukalah tabir daripada mataku, Ya Tuhanku, agar, aku dapat mengenal apa yang telah Engkau hasratkan bagi makhluk-makhluk-Mu, dan dapat menemukan dalam segala penjelmaan karya-Mu, penjelmaan-penjelmaan kekuasaan-Mu yang maha agung. Semangatilah rohku, Ya Tuhanku, dengan tanda-tanda kekuasaan-Mu yang maha besar, dan tariklah aku daripada keinginan-keinginanku yang korup dan jahat. Kemudian tulislah bagiku kebaikan dunia ini dan akhirat. Berkuasalah Engkau berbuat apa yang Engkau kehendaki. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Mulia, yang pertolongan-Nya dicari oleh semua manusia.

Aku berterima kasih kepada-Mu, Ya Tuhanku, bahawa Engkau telah menyedarkanku daripada tidurku, dan telah membangkitkan daku, dan telah mewujudkan dalam diriku hasrat untuk memahami apa yang telah kebanyakan hamba-hamba-Mu gagal memahami. Bolehkanlah aku, Ya Tuhanku, untuk melihat, demi cintaku kepada-Mu dan demi keredaan-Mu, apa sahaja yang telah Engkau hasratkan. Engkaulah Dia yang kekuatan kuasa dan keagungan-Nya semua benda naik saksi.

Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Berkuasa, Yang Dermawan.

#12116
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhanku, biarlah aku mendekati-Mu, dan berdiam di lingkungan istana-Mu, kerana keterpencilan daripada-Mu telah hampir menghancurkan daku. Izinkanlah daku beristirahat di bawah naungan sayap-sayap rahmat-Mu, kerana terpisah daripada-Mu laksana api yang telah membakar hatiku dalam diriku. Dekatkanlah daku kepada sungai yang bagaikan kehidupan sejati kerana rohku terbakar oleh kedahagaan dalam usaha yang tidak terhenti-henti untuk mencari-Mu. Keluh-kesahku, Ya Tuhanku, menyatakan pahitnya kepedihanku, dan air mataku yang berlinangan membuktikan kasihku pada-Mu.

Aku memohon kepada-Mu, demi pujian yang melaluinya Engkau memuji Diri-Mu Sendiri dan demi kemuliaan yang melaluinya Engkau memuliakan Hakikat-Mu Sendiri, agar mengizinkan kami memasuki bilangan mereka yang mengenal-Mu dan mengakui kedaulatan-Mu pada hari-hari-Mu. Ya Tuhanku, tolonglah kami untuk meminum air hayat kasih sayang daripada jari-jari rahmat-Mu, supaya kami dapat melupakan sepenuhnya segala sesuatu kecuali Engkau, dan hanya khusyuk dengan Diri-Mu. Berkuasalah Engkau melakukan apa yang Engkau kehendaki. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Kuasa, Penolong Dalam Bahaya, Yang Berdiri Sendiri.

Dimuliakanlah nama-Mu, Ya Engkau Raja kepada Segala Raja!

#12117
- Bahá'u'lláh

 

Terpujilah nama-Mu, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi keharuman pakaian belas kasihan-Mu yang pada perintah-Mu serta berdasarkan hasrat-Mu telah disebarkan kepada seluruh ciptaan, dan demi Suria kehendak-Mu telah bersinar dengan terang, melalui kuasa kekuatan-Mu dan keagungan-Mu, di atas ufuk kerahmatan-Mu, untuk menghapuskan daripada hatiku semua angan-angan kosong dan khayalan sia-sia, agar dengan segala kasih sayangku aku dapat berpaling kepada-Mu, Ya Engkau Tuhan semua manusia!

Aku hamba-Mu dan putera hamba-Mu, Ya Tuhanku! Aku telah bergantung kepada tempat kurnia-Mu, dan berpaut kepada tali kerahmatan lembut-Mu. Berikanlah kepadaku benda-benda baik yang ada pada Diri-Mu, dan jagalah daku daripada Meja yang Engkau telah turunkan daripada awan rahmat-Mu dan syurga kurnia-Mu.

Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan segala dunia, dan Tuhan kepada semua yang ada di syurga dan di bumi.

#12118
- Bahá'u'lláh

 

Aku tidak mengetahui, Ya Tuhanku, apakah Api yang telah Engkau nyalakan di bumi-Mu. Bumi tidak akan pernah dapat menutupi kegemilangannya, mahupun sebarang air dapat memadamkan sinarannya. Semua manusia di dunia tidak berupaya untuk menahan kuasanya. Besarlah berkat dia yang telah mendekatinya, dan mendengar laungannya.

Ya Tuhan, melalui kurnia-Mu yang menguatkan, Engkau telah membolehkan beberapa orang untuk mendekatinya, manakala yang lain telah dihalang oleh-Mu atas sebab kelakuan mereka di hari-hari-Mu. Barangsiapa yang telah mendekatinya dan mencapainya, dalam keinginannya untuk memandang keindahan-Mu, telah memberikan nyawanya dalam jalan-Mu, dan telah naik kepada-Mu, tidak terikat sepenuhnya kepada segala sesuatu kecuali Diri-Mu.

Aku memohon kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi Api ini yang membara dan menyala di alam ciptaan, untuk membakar tabir-tabir yang telah menghalangiku daripada muncul di hadapan singgahsana keagungan-Mu, dan daripada berdiri di pintu gapura-Mu. Engkau kurniakanlah kepadaku, Ya Tuhanku, setiap kebaikan yang Engkau telah turunkan dalam Kitab-Mu, dan janganlah deritai daku dengan menjauhkanku daripada perlindungan belas kasihan-Mu.

Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau redai. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Dermawan.

#12119
- Bahá'u'lláh

 

”Lepaskanlah dirimu daripada segala sesuatu kecuali Aku dan hadapkanlah wajahmu kepada wajah-Ku, kerana lebih baiklah ini bagimu daripada segala sesuatu yang engkau miliki.”

”Inti cinta adalah apabila manusia mengarahkan kalbunya kepada Sang Kekasih, dan melepaskan dirinya daripada segala sesuatu kecuali Dia, dan tidak menghasratkan apapun kecuali apa yang dihasratkan oleh Tuhannya.”

#12121
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan! Kepada Engkau aku mencari perlindungan dan menuju ke semua tanda-Mu aku arahkan hatiku.

Ya Tuhan! Sama ada mengembara atau di rumah dan dalam pekerjaanku atau dalam tugasku, aku meletakkan keseluruhan kepercayaan kepada-Mu.

Berikanlah daku, bantuan-Mu yang mencukupi agar menjadikan daku tidak bergantung kepada semua benda, Ya Engkau yang adalah tak terhingga dalam belas kasihan-Mu.

Anugerahkanlah ke atas daku bahagianku, Ya Tuhan, seperti yang Engkau redai, dan sebabkanlah daku untuk berpuas dengan apa jua yang Engkau perintahkan bagiku.

Engkaulah memiliki kekuasaan mutlak untuk memerintahkan.

#12120
- The Báb

 

Ya Tuhan, Tuhanku! Penuhilah daku satu cawan ketakterikatan kepada segala benda, dan dalam himpunan rahmat dan anugerah-Mu, riangkanlah daku dengan wain kasih sayang-Mu. Bebaskanlah daku daripada serangan hawa nafsu, putuskanlah daripada diriku belenggu duniawi ini, tariklah daku dengan keseronokan kepada alam keagungan-Mu, dan segarkanlah daku dalam kalangan dayang-dayang dengan nafas kesucian-Mu.

Ya Tuhan, sinarilah Engkau wajahku dengan cahaya kurnia-Mu, terangilah Engkau mataku dengan melihat kepada tanda-tanda kekuasaan-Mu yang maha menakluki; gembirakanlah hatiku dengan keagungan pengetahuan-Mu yang menyelubungi segala benda, riangkanlah rohku dengan keriangan besar ajaran penghidup-roh-Mu, Ya Engkau Raja dunia ini dan Kerajaan di atas, Ya Engkau Tuhan kerajaan dan kekuatan, agar aku dapat menyebarluaskan tanda-tanda dan anugerah-anugerah-Mu, dan mengumumkan Akidah-Mu, dan mengajar ajaran-ajaran-Mu, dan mengabdi kepada Hukum-Mu dan meluhurkan Kalimat-Mu.

Sesungguhnya, Engkaulah Yang Berkuasa, Pemberi Sentiasa, Yang Mampu, Yang Maha Kuasa.

#12122
- `Abdu'l-Bahá

 

KETEGUHAN DALAM WAADAT

”Kewajipan pertama dan paling utama yang ditetapkan bagi manusia, setelah mengenal Dia, Kebenaran Abadi, ialah keteguhan hati kepada Akidah-Nya. Berpegang eratlah engkau kepada hal ini. Dan masuklah ke dalam lingkungan mereka yang fikiran-fikirannya dipusatkan dengan kuat dan ditetapkan kepada Tuhan. Tidak ada perbuatan, betapa pun berjasa, yang dapat dibandingkan dengan keteguhan hati. Perbuatan itu adalah raja segala perbuatan, dan dalam hal ini Tuhanmu Yang Maha Tinggi, Yang Maha Kuasa telah naik saksi...”

Dia adalah Yang Maha Kuat, Pengampun, Pengasih!

Ya Tuhan, Tuhanku! Engkau melihat hamba-hamba-Mu dalam neraka kemusnahan dan kesilapan; di manakah cahaya bimbingan ketuhanan-Mu, Ya Engkau Hasrat dunia? Engkau ketahui ketidakupayaan mereka dan kelemahan mereka; di manakah kuasa-Mu, Ya Engkau Yang dalam tangan-Nya terletak kuasa-kuasa syurga dan bumi?

Aku memohon kepada-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku, demi kecemerlangan cahaya kasih sayang-Mu dan gelombang samudera pengetahuan dan kearifan-Mu dan demi Kalimat-Mu yang mana Engkau telah mengarahkan orang-orang di kerajaan-Mu, untuk mengurniakan agar aku dapat menjadi salah seorang daripada mereka yang telah mematuhi perintah-Mu dalam Kitab-Mu. Dan kurniailah daku apa yang telah Engkau anugerahkan kepada mereka yang dipercayai-Mu, mereka yang telah meminum wain inspirasi ilahi daripada cawan rahmat-Mu dan telah bersegera untuk melakukan apa yang Engkau redai dan mematuhi Waadat dan Testamen-Mu. Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau kehendaki. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

Perintahkanlah kepadaku, demi rahmat-Mu, Ya Tuhan, apa yang akan memperkaya daku di dunia ini dan di akhirat dan yang akan menarikku kepada-Mu, Ya Engkau Yang adalah Tuhan semua manusia. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Esa, Yang Kuat, Yang Diagungkan.

#12123
- Bahá'u'lláh

 

Perteguhkanlah langkah-langkah kami, Ya Tuhan, di jalan-Mu dan perkuatkanlah Engkau hati kami dalam kepatuhan kepada-Mu. Palingkanlah wajah kami ke keindahan keesaan-Mu dan riangkanlah dada kami dengan tanda-tanda kesatuan ketuhanan-Mu. Hiasilah tubuh kami dengan jubah kurnia-Mu, dan singkirkanlah daripada mata kami tabir kedosaan, dan berikanlah kami cawan kurnia-Mu; agar inti segala kewujudan dapat menyanyikan pujian-Mu di hadapan visi keagungan-Mu. Jelmakanlah diri-Mu, Ya Tuhan, dengan ujaran kurnia-Mu dan misteri kewujudan suci-Mu, agar keghairahan doa suci dapat mengisi roh kami–satu doa yang akan melampaui kata dan huruf dan menjangkau bisikan kata dan bunyi–supaya segala benda dapat disatukan dalam kekosongan di hadapan revelasi kebesaran-Mu.

Tuhan! Mereka ini adalah hamba-hamba yang telah kekal teguh dan kukuh dalam Waadat-Mu dan Testamen-Mu, telah berpegang kuat kepada tali kekekalan Akidah-Mu dan berpaut kepada kelim jubah kebesaran-Mu. Bantulah mereka, Ya Tuhan, dengan kurnia-Mu, sahkanlah mereka dengan kuasa-Mu dan perkuatkanlah loin mereka dalam kepatuhan kepada-Mu.

Engkau adalah Pengampun, Yang Rahim.

#12124
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Engkau kekasih hatiku dan rohku! Aku tidak mempunyai perlindungan kecuali daripada-Mu. Aku tidak bersuara pada waktu fajar kecuali dalam pengingatan dan pujian kepada-Mu. Cinta-Mu menyelubungiku dan Kurnia-Mu adalah sempurna. Harapanku terletak pada-Mu.

Ya Tuhan, berikanlah daku satu kehidupan yang baharu pada setiap saat dan kurniakanlah kepadaku nafas-nafas Roh Suci pada setiap waktu, agar aku dapat kekal teguh dalam cinta-Mu; mencapai kegembiraan yang besar, melihat cahaya jelmaan dan kekal dalam keadaan ketenangan dan ketaatan yang sepenuhnya.

Sesungguhnya, Engkaulah Pemberi, Pengampun, Pengasih.

#12125
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhanku dan Harapanku! Bantulah Engkau kekasih-kekasih-Mu untuk kekal teguh dalam Waadat teragung-Mu, untuk kekal setia kepada Akidah-Mu yang nyata, dan untuk melaksanakan perintah yang diturunkan oleh-Mu kepada mereka dalam Kitab Kebesaran-Mu; agar mereka dapat menjadi panji bimbingan dan lampu Angkatan di atas, sumber air kearifan-Mu yang tak terhingga, dan bintang-bintang yang memimpin dengan betul, apabila mereka bersinari dari langit yang maha luas.

Sesungguhnya, Engkaulah Yang Tak Terhalang, Yang Maha Kuat, Yang Maha Kuasa.

#12126
- `Abdu'l-Bahá

 

MALAM

Ya Tuhanku, Rajaku, Tujuan hasratku. Hamba-Mu ini, hendak tidur di bawah perlindungan rahmat-Mu, dan beristirahat di bawah kubah kurnia-Mu, memohon pemeliharaan-Mu serta perlindungan-Mu.

Aku merayu kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi mata-Mu yang tidak lelap, untuk menjaga mataku agar jangan memandang apa pun kecuali Engkau. Kemudian kuatkanlah pandangannya agar dapat melihat tanda-tanda-Mu, dan memandang Ufuk Wahyu-Mu. Engkau adalah Dia, yang di hadapan penjelmaan kemahakuasaan-Nya, intisari kekuasaan telah gementar.

Tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang Maha Kuat, Yang Maha Menakluki, Yang Tak Terbatas.

#12127
- Bahá'u'lláh

 

Bagaimana aku memilih untuk tidur, Ya Tuhan, Tuhanku, apabila mata mereka yang merindui Engkau sedang terjaga kerana mereka terpisah daripada-Mu; dan bagaimanakah aku dapat berbaring untuk istirahat sedangkan jiwa-jiwa para pencinta-Mu berasa susah hati kerana mereka berada jauh daripada kehadiran-Mu?

Ya Tuhanku, aku telah menyerahkan rohku serta seluruh wujudku kepada tangan kanan kekuatan dan perlindungan-Mu, dan aku meletakkan kepalaku di atas bantalku melalui kekuasaan-Mu, dan mengangkat kepalaku sesuai dengan kehendak dan keredaan-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Pemelihara, Penjaga, Yang Maha Kuat, Yang Maha Berkuasa.

Demi kekuatan-Mu! Aku tak meminta apa pun, baik waktu tidur mahupun terjaga, melainkan apa yang Engkau kehendaki. Aku adalah hamba-Mu yang berada dalam genggaman-Mu. Tolonglah aku dengan kasih-Mu agar dapat berbuat apa yang akan menyebarkan kewangian keredaan-Mu. Sesungguhnya, inilah harapanku dan harapan mereka yang menikmati kedekatan kepada-Mu. Terpujilah Engkau, Ya Tuhan seluruh alam semesta.

#12128
- Bahá'u'lláh

 

MENGAJAR

Dibesarkanlah nama-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah menjelmakan Hari yang merupakan Raja Segala Hari, Hari yang telah Engkau umumkan kepada Orang-orang pilihan-Mu dan para Nabi-Mu dalam Loh-Loh-Mu yang unggul, Hari yang mana Engkau telah memancarkan cahaya kemuliaan segala nama-Mu pada semua yang diciptakan. Besarlah berkatnya barangsiapa yang telah mengarahkan dirinya kepada-Mu, dan telah memasuki kehadiran-Mu dan mendengar nada suara-Mu.

Aku memohon kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi nama Dia, yang di sekeliling-Nya kerajaan nama-nama-Mu dalam pemujaannya berkitar, agar sudilah Engkau membantu mereka yang Engkau cintai, untuk memuliakan kalimat-Mu antara hamba-hamba-Mu dan menyebarkan ke merata tempat pujian-Mu dalam kalangan makhluk-makhluk-Mu, agar kebahagiaan wahyu-Mu dapat mengisi roh semua penghuni bumi-Mu.

Kerana Engkau telah membimbing mereka, Ya Tuhanku, ke samudera kehidupan rahmat-Mu, janganlah mereka dijauhkan daripada-Mu demi rahmat-Mu dan kerana Engkau telah memanggil mereka ke tempat duduk takhta-Mu, maka janganlah mengusirkan mereka daripada kehadiran-Mu melalui kasih sayang-Mu. Turunkanlah kepada mereka apa yang akan membuat mereka tak terikat sepenuhnya daripada segala sesuatu kecuali Engkau dan membolehkan mereka untuk terbang ke angkasa kedekatan-Mu, sedemikian rupa sehingga tiada kekuasaan para penindas mahupun bisikan-bisikan mereka yang tak beriman kepada Dirimu Yang Maha Mulia dan Maha Perkasa, dapat menjauhkan mereka daripada-Mu.

#12130
- Bahá'u'lláh

 

Pujian bagi-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu yang tak seorang pun layak mengenali, dan yang maksud-Nya tak ada sebarang jiwa pun mengerti; aku memohon kepada-Mu, demi Dia Yang adalah Sumber Wahyu-Mu dan Fajar tanda-tanda-Mu, agar menjadikan hatiku sebagai wadah cinta-Mu dan penuh pengingatan kepada-Mu. Maka hubungkanlah ia kepada Samudera-Mu yang maha besar, agar daripadanya akan mengalir air kehidupan kearifan-Mu dan sungai-sungai jernih kemuliaan dan pujian-Mu.

Anggota-anggota badanku naik saksi kepada keesaan-Mu, dan rambut di kepalaku mengumumkan kuasa kedaulatan dan kekuatan-Mu. Aku telah berdiri di pintu kurnia-Mu dengan melupakan diri sepenuhnya dan penuh pengorbanan diri, dan berpegang teguh pada jubah rahmat-Mu, dan menetapkan mataku pada ufuk pemberian-Mu.

Takdirkanlah bagiku, Ya Tuhanku, apa yang layak bagi kebesaran keagungan-Mu, dan bantulah daku dengan rahmat-Mu yang menguatkan, untuk mengajar Akidah-Mu sehingga mereka yang mati akan segera bangkit daripada kuburnya, dan bersegera menuju ke arah-Mu, dengan meletakkan kepercayaan mereka sepenuhnya kepada-Mu, dan menetapkan pandangan mereka ke arah Akidah-Mu dan Tempat Terbit Wahyu-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

#12131
- Bahá'u'lláh

 

Dimuliakanlah nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Engkau melihat bagaimana pandanganku telah diarahkan pada rahmat-Mu yang mesra, dan bagaimana mataku dipusatkan pada ufuk kurnia-Mu, dan kasih sayang-Mu, dan bagaimana tanganku dihulurkan ke syurga pemberian-Mu. Kekuatan-Mu menjadi saksiku! Setiap anggota badanku merayu kepada-Mu dan mengatakan: "Ya Engkau yang adalah Kekasih seluruh alam, dan Raja segala yang ada di syurga dan di bumi, dan satu-satunya Hasrat bagi kalbu-kalbu yang mencintai Engkau! Aku memohon kepada-Mu, demi Samudera-Mu di mana Engkau telah memanggil para penghuni syurga dan para penduduk di bumi, untuk membantu hamba-hamba-Mu yang telah dihalangi dari menghadap kepadanya dan mendekati pantainya. Oleh sebab itu, Ya Tuhanku, jadikanlah mereka tak terikat kepada segala sesuatu kecuali Engkau dan bolehkanlah mereka mengucapkan pujian kepada-Mu dan menjunjung tinggi sifat-sifat-Mu. Selain daripada itu, Ya Tuhanku, berilah mereka Wain terpilih daripada kurnia-Mu, agar dapat menyebabkan mereka melupakan sesiapa pun kecuali Engkau dan agar dapat bangkit mengabdi kepada Akidah-Mu dan tetap teguh dalam cinta mereka kepada-Mu. Sesungguhnya, Engkau Raja kehidupan mereka dan Tujuan pemujaan mereka. Jika mereka diusir oleh-Mu, siapakah yang akan memelihara mereka; dan jika mereka dijauhkan daripada-Mu, siapakah yang dapat menolong mereka untuk mendekati Kehadiran-Mu? Aku bersumpah demi kekuatan-Mu! Tiada tempat untuk berlindung kecuali Engkau, dan tiada naungan yang dicari kecuali naungan-Mu, dan tidak ada perlindungan kecuali perlindungan-Mu. Malang akan menimpa dia yang telah menjadikan sesiapa pun sebagai Tuhan selain Engkau dan diberkatilah mereka yang telah menjauhkan diri daripada segala ikatan kepada semua penduduk bumi-Mu dan melekat pada jubah kedermawanan-Mu. Inilah! umat Bahá, di hadapan semua yang ada di syurga dan semua yang ada di bumi. Tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif."

Segala pujian bagi Tuhan, Raja sekalian alam.

#12132
- Bahá'u'lláh

 

Dimuliakanlah Engkau, Ya Raja dunia dan Hasrat segala bangsa, Ya Engkau Yang telah dijelmakan dalam Nama Teragung, melaluinya mutiara-mutiara kearifan dan ujaran telah muncul daripada kerang-kerangan dari samudera kebesaran pengetahuan-Mu, dan syurga-syurga revelasi ketuhanan telah dihiasi cahaya kemunculan suria wajah-Mu.

Aku merayu kepada-Mu, demi Kalimat yang melaluinya bukti-bukti-Mu disempurnakan dalam kalangan makhluk-makhluk-Mu dan testimoni-Mu telah ditunaikan dalam kalangan hamba-hamba-Mu, untuk memperkuatkan orang-orang-Mu dalam mana wajah Akidah akan menyinari kerajaan-Mu, standard-standard kuasa-Mu akan ditanam dalam kalangan hamba-hamba-Mu, dan panji-panji bimbingan-Mu akan dinaikkan di semua kerajaan-Mu.

Ya Tuhanku! Engkau melihat mereka yang berpaut pada tali kurnia-Mu dan berpegang erat pada kelim jubah kedermawanan-Mu. Kurniakanlah kepada mereka apa yang akan menarik mereka lebih dekat kepada-Mu, dan menahan mereka daripada segala sesuatu kecuali Engkau.

Aku merayu kepada-Mu, Ya Engkau Raja kewujudan dan Pelindung apa yang dapat dilihat dan tersembunyi, untuk menjadikan barangsiapa yang bangkit untuk mengabdi kepada Akidah-Mu sebagai satu lautan yang digerakkan oleh hasrat-Mu, sebagai orang yang bersemarak dengan api daripada Pohon Suci-Mu, bersinar daripada ufuk syurga kehendak-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang kuat, Yang tak dapat dilemahkan oleh kuasa di semua dunia mahupun kekuatan segala bangsa. Tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Yang Esa, Yang Tak Terbanding, Sang Pelindung, Yang Berdiri Sendiri.

#12139
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan, Engkaulah Pencipta semua Manifestasi, Sumber kepada segala Sumber, Sumber segala Wahyu, dan Sumber segala Cahaya! Aku naik saksi bahawa dengan Nama-Mu syurga pengertian telah dihiasi, dan samudera ujaran telah bergelora, dan dispensasi-dispensasi pemeliharaan-Mu telah diumumkan kepada semua pengikut segala agama.

Aku memohon kepada-Mu untuk memperkaya daku agar aku dapat mengetepikan semua benda kecuali Engkau, dan dijadikan berdikari daripada sesiapa pun kecuali Engkau Sendiri. Lalu, turunkanlah hujan ke atas daku daripada awan-awan rahmat-Mu apa yang akan menguntungkan daku di setiap alam daripada alam-alam-Mu. Kemudian, bantulah daku melalui kurnia penguatan-Mu, agar dapat mengabdi kepada Akidah-Mu dalam kalangan hamba-Mu supaya aku dapat menunjukkan apa yang akan menyebabkan daku diingati selagi kerajaan-Mu abadi dan kedaulatan-Mu kekal.

Hamba-Mu ini, Ya Tuhanku, yang dengan seluruh kewujudannya telah berpaling ke ufuk rahmat-Mu, dan samudera kurnia-Mu, dan syurga pemberian-Mu. Tetapkan bagiku apa yang sesuai dengan kebesaran-Mu, dan kemuliaan-Mu, dan kerahmatan-Mu, dan kurnia-Mu.

Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan kekuatan dan kekuasaan, Yang layak untuk menjawab kepada mereka yang berdoa kepada-Mu. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

#12140
- Bahá'u'lláh

 

Katakanlah: Dibesarkanlah Nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi Nama-Mu yang melaluinya kecemerlangan cahaya kearifan telah bersinari dengan penuh gemilang apabila syurga ujaran ilahi telah digerakkan dalam kalangan manusia, untuk membantuku melalui pengesahan syurgawi-Mu dan membolehkan daku untuk menyebarkan Nama-Mu dalam kalangan hamba-Mu.

Ya Tuhan! Kepada-Mu aku telah memalingkan wajahku, tak terikat daripada semua kecuali Engkau dan berpegang kuat pada kelim jubah berkat-Mu yang tak terhingga. Oleh itu, ringankanlah lidahku untuk mengumumkan apa yang akan menarik minda manusia dan akan meriangkan roh dan jiwa mereka. Lalu perkuatkanlah daku dalam Akidah-Mu agar aku tidak dihalang oleh kekuasaan penindas-penindas antara makhluk-Mu mahupun ditahan oleh serangan yang kafir dalam kalangan mereka yang tinggal di alam-Mu. Jadikanlah daku sebagai lampu yang bersinar di seluruh bumi-Mu agar mereka yang dalam kalbu mereka disinari cahaya pengetahuan-Mu dan kalbu yang wujudnya keinginan bagi cinta-Mu akan dibimbing oleh sinarannya.

Sesungguhnya, berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau kehendaki, dan dalam genggaman-Mu Engkau telah memerintah kerajaan ciptaan. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Kuat, Yang Maha Arif.

#12141
- Bahá'u'lláh

 

”Demi kebenaran Tuhan! Barangsiapa yang membuka bibirnya pada Hari ini dan menyebut nama Tuhannya, maka angkatan tentera inspirasi Ilahi akan turun kepadanya dari langit nama-Ku, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif. Kepadanya akan turun juga Penghuni syurga, masing-masing menjulang obor cahaya murni.”

”Sumber keberanian dan kekuatan adalah memajukan Kalimat Tuhan, dan keteguhan hati dalam Cinta-Nya.”

#12142
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan! Ya Tuhan! Ini seekor burung yang patah sayapnya dan terbangnya sangat lambat—bantulah dia agar dia dapat terbang ke mercu kesejahteraan dan keselamatan, melayang dengan penuh keriangan dan kegembiraan di seluruh ruang yang tak terbatas, menyanyikan melodinya demi Nama-Mu Yang Tertinggi di seluruh wilayah, menggembirakan semua telinga dengan seruan ini, dan menerangi mata dengan memandang tanda-tanda bimbingan.

Ya Tuhan! Aku tunggal, keseorangan dan lemah. Bagiku tiada sokongan selain Engkau, tiada penolong kecuali Engkau dan tiada pembekal kecuali Engkau. Sahkanlah daku dalam pengabdian kepada-Mu, bantulah daku dengan angkatan malaikat-Mu, jadikanlah daku berjaya dalam menyebarkan Kalimat-Mu dan sebabkanlah daku mengumumkan kearifan-Mu dalam kalangan makhluk-makhluk-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah penolong kepada yang lemah dan pembela bagi yang kerdil, dan sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Berkuasa, Maha Kuat dan Yang Tak Terhalang.

#12133
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Engkau Tuhan Yang Tiada Bandingan! Ya Engkau Tuhan Kerajaan! Jiwa-jiwa ini adalah angkatan tentera syurgawi-Mu. Bantulah mereka, dan dengan sekumpulan Angkatan Tertinggi, jadikanlah mereka berjaya agar setiap daripada mereka dapat menjadi bagaikan satu rejimen dan menakluki negara-negara ini dengan cinta Tuhan dan kecemerlangan ajaran-ajaran ilahi.

Ya Tuhan! Jadilah Engkau Penyokong dan Penolong mereka; dan di gurun, di gunung, di lembah, di belantara, di padang rumput dan di laut, jadilah Engkau sahabat karib mereka—agar mereka dapat berteriak dengan kekuatan daripada Kerajaan dan nafas Roh Suci.

Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuat, Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Berkuasa dan Engkaulah Yang Maha Arif, Yang Mendengar, dan Yang Melihat.

#12134
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhanku, bantulah Engkau hamba-hamba-Mu untuk meluhurkan Kalimat, dan untuk menafikan apa yang sia-sia dan palsu, untuk mendirikan kebenaran, untuk menyebarluaskan kalimat-kalimat suci, menjelmakan kecemerlangan, dan menjadikan cahaya pagi terbit daripada kalbu mereka yang salih.

Engkaulah, sesungguhnya, Pemurah, Pengampun.

#12135
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan, Tuhanku! Bantulah Engkau hamba-hamba-Mu yang dipercayai untuk memiliki hati yang penyayang dan lembut. Tolonglah mereka untuk menyebarkan, dalam kalangan semua bangsa di bumi, cahaya bimbingan yang datang daripada Angkatan di atas. Sesungguhnya, Engkaulah yang Kuat, Berkuasa, Perkasa, Segala Menakluki, Pemberi Sentiasa. Sesungguhnya, Engkaulah Pemurah, Lemah-Lembut, Ramah-Tamah, Yang Maha Rahim.

#12136
- `Abdu'l-Bahá

 

Engkau melihat daku, Ya Tuhanku, bersujud dengan penuh rendah hati, merendahkan diriku di hadapan perintah-Mu, menyerahkan diriku pada kedaulatan-Mu, menggeletar pada kekuatan kerajaan-Mu, melarikan diri daripada kemurkaan-Mu, memohon kurnia-Mu, bergantung kepada pengampunan-Mu, tergoncang dalam ketakutan pada kemarahan-Mu. Aku merayu kepada-Mu dengan hati yang berdebar-debar, dengan berlinangan air mata dan dengan jiwa yang merindui, dan dalam ketakterikatan yang penuh daripada semua benda, untuk menjadikan kekasih-kekasih-Mu sinaran cahaya menembusi kerajaan-Mu, dan untuk membantu hamba-hamba-Mu yang terpilih untuk menyanjungi Kalimat-Mu, agar wajah-wajah mereka dapat menjadi indah dan cemerlang dengan kegemilangan, agar kalbu mereka dipenuhi dengan misteri, dan agar setiap roh dapat melepaskan bebanan dosa. Kemudian peliharalah mereka daripada penyerang, daripada dia yang tiada perasaan malu dan pengkufur yang bersalah.

Sesungguhnya, para kekasih-Mu sedang dahaga, Ya Tuhanku; bimbinglah mereka kepada sumber air rahmat dan kurnia-Mu. Sesungguhnya, mereka sedang lapar; turunkanlah ke atas mereka jamuan syurgawi-Mu. Sesungguhnya, mereka tidak berpakaian; hiasilah mereka dengan pakaian ilmu pengetahuan.

Mereka adalah perwira, Ya Tuhanku, bimbinglah mereka ke medan perang. Mereka adalah pembimbing, bolehkanlah mereka berucap dengan hujah dan bukti. Mereka adalah penjaga hamba-hamba, sebabkanlah mereka untuk mengedarkan cawan yang melimpah dengan wain keyakinan. Ya Tuhanku, jadikanlah mereka penyair yang menyanyi di taman-taman indah, jadikanlah mereka singa yang bersantai di padang rumput, ikan paus yang menyelam di kedalaman samudera yang luas.

Sesungguhnya, Engkaulah Dia yang memiliki kurnia yang melimpah ruah. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Kuat, Yang Berkuasa, Pemberi Sentiasa.

#12137
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan! Bukakanlah Engkau pintu, sediakanlah caranya, berikanlah laluannya, jadikanlah jalan itu selamat, agar kami dapat dibimbing kepada roh-roh yang jiwa mereka bersedia untuk Akidah-Mu, dan agar mereka dapat dibimbing kepada kami. Sesungguhnya, Engkau adalah Rahim, Maha Kurnia, Segala Berkuasa.

#12138
- `Abdu'l-Bahá

 

PAGI

Aku telah bangun di bawah naungan-Mu, Ya Tuhanku, dan layak bagi dia yang mencari naungan itu untuk berdiam di bawah Kubah perlindungan-Mu dan Benteng pertahanan-Mu. Terangilah jiwaku, Ya Tuhanku, dengan kecemerlangan Fajar Wahyu-Mu, sebagaimana Engkau telah menerangi tubuhku dengan sinar pagi kurnia-Mu.

#12143
- Bahá'u'lláh

 

Aku memberikan pujian kepada-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah membangunkan daku daripada tidurku, dan membawaku ke hadapan selepas kehilanganku, dan mengejutkan daku daripada lenaku. Aku telah bangun pagi ini dengan wajahku ditetapkan ke arah kegemilangan Suria Revelasi-Mu, melalui-Nya syurga kekuasaan-Mu dan keagungan-Mu telah disinari, mengakui tanda-tanda-Mu, mempercayai Kitab-Mu, dan berpegang kuat kepada Tali-Mu.

Aku memohon kepada-Mu, demi kekuasaan kehendak-Mu dan kuasa pendorong tujuan-Mu, untuk menjadikan apa yang Engkau telah turunkan kepadaku dalam tidurku asas yang paling kukuh bagi istana-istana cinta-Mu dalam kalbu kekasih-kekasih-Mu, dan peralatan yang terbaik bagi penjelmaan hadiah-hadiah kurnia-Mu dan kebaikan-Mu.

Perintahkanlah Engkau bagiku melalui Pena terluhur-Mu, Ya Tuhanku, kebaikan dunia ini dan akhirat. Aku naik saksi bahawa dalam genggaman-Mu terletak penguasaan segala benda. Engkau mengubahnya seperti yang Engkau redai. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Kuat, Yang Setia.

Engkaulah Dia Yang mengubah melalui perintah-Nya kehinaan kepada kemuliaan, dan kelemahan kepada kekuatan, dan ketidakupayaan kepada keperkasaan, dan ketakutan kepada ketenangan, dan keraguan kepada keyakinan. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Kuat, Yang Dermawan.

Engkau tidak menghampakan sesiapa pun yang telah mencari-Mu, mahupun Engkau menjauhkan sesiapa yang menghasrati-Mu. Kurniakanlah Engkau kepadaku apa yang layak bagi syurga kemurahan-Mu, dan samudera rahmat-Mu. Engkaulah, sesungguhnya, Yang Maha Kuat, Yang Maha Berkuasa.

#12144
- Bahá'u'lláh

 

”Penuhilah masamu dalam pengingatan kepada Keindahan Dia Yang adalah Yang Tak Terhalang pada setiap pagi, dan berusahalah untuk berhubung dengan Dia pada waktu fajar…”

#12145
- Bahá'u'lláh

 

PELOPOR

Engkau ketahui, Ya Tuhan, dan naik saksi bahawa aku tidak mempunyai hasrat dalam hatiku melainkan mencapai keredaan-Mu, untuk disahkan dalam pengabdian kepada-Mu, untuk menyucikan diriku dalam pengabdian kepada-Mu, untuk berusaha dalam taman-Mu yang agung dan mengorbankan segalanya dalam jalan-Mu. Engkau adalah Yang Maha Tahu dan Yang Maha Melihat. Aku tidak mempunyai hasrat yang lain melainkan mengarahkan langkah-langkahku, dalam cintaku kepada-Mu, ke arah gunung-gunung dan padang pasir untuk mengumumkan dengan kuat kedatangan Kerajaan-Mu, dan melaungkan seruan-Mu dalam kalangan manusia. Ya Tuhan! Bukakanlah Engkau jalan bagi yang tidak berdaya ini, kurniakanlah Engkau penawar bagi yang uzur ini dan anugerahkan kesembuhan-Mu ke atas yang sakit ini. Dengan hati yang membara dan berlinangan air mata Aku merayu kepada-Mu di hadapan ambang-Mu.

Ya Tuhan! Aku bersedia untuk menahan sebarang pengalaman pahit di jalan-Mu dan berhasrat dengan sepenuh hati dan jiwaku untuk mengharungi sebarang kesusahan.

Ya Tuhan! Lindungilah daku daripada cubaan-cubaan. Engkau ketahui penuh jelas bahawa aku telah berpaling daripada semua benda dan membebaskan diriku daripada semua fikiran. Aku tidak mempunyai pekerjaan melainkan menyebut tentang-Mu dan tiada cita-cita yang lain melainkan mengabdi kepada-Mu.

#12146
- `Abdu'l-Bahá

 

PENGAMPUNAN

Orang yang berdosa apabila dalam keadaan yang mana dia mendapati dirinya bebas dan terpisah daripada segala sesuatu kecuali Tuhan, harus memohon kemaafan dan pengampunan. Tidak dibenarkan untuk mengaku dosa dan pelanggaran seseorang di hadapan sesiapa pun kerana ini tidak akan pernah membawa pengampunan daripada Tuhan. Demikian juga pengakuan dosa di hadapan orang akan membawa kepada kerendahan dan penghinaan seseorang, dan Tuhan, dijunjung tinggilah kemuliaan-Nya, tidak menghendaki penghinaan hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya, Dia Maha Pemurah dan Maha Dermawan! Seorang yang berdosa harus memohon antara dirinya sendiri dan Tuhan, rahmat dari samudera kurnia dan memohon pengampunan dari Langit kedermawanan sambil berkata:

Ya Tuhan, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi darah kekasih-kekasih-Mu yang telah demikian tertarik oleh ucapan manis-Mu sehingga mereka pergi ke puncak tertinggi, tempat kesyahidan teragung, dan aku memohon kepada-Mu demi rahsia-rahsia yang tersembunyi dalam pengetahuan-Mu dan demi mutiara-mutiara yang tersimpan dalam samudera anugerah-Mu agar memaafkan daku dan bapaku serta ibuku. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pengampun antara mereka yang pengampun! Tiada Tuhan kecuali Engkau, Pengampun Selalu, Yang Maha Rahim!

Ya Tuhanku! Engkau melihat inti kesalahan ini sedang menuju ke samudera pemberian-Mu, dan orang lemah ini menuju ke kerajaan kekuasaan-Mu, dan makhluk miskin ini menuju ke suria kekayaan-Mu. Demi rahmat-Mu dan kurnia-Mu, janganlah mengecewakannya, Ya Tuhan, mahupun menjauhkannya daripada penjelmaan-penjelmaan rahmat-Mu pada hari-hari-Mu, mahupun menghalaunya dari pintu-Mu yang telah Engkau buka luas di hadapan semua yang ada di syurga-Mu dan di bumi-Mu.

Sayang! Sayang! Dosa-dosaku telah menghalangi daku daripada mendekati Istana kesucian-Mu, dan dosa-dosaku telah menjauhkan daku daripada Khemah keagungan-Mu. Sesungguhnya aku telah berbuat apa yang telah Engkau larang bagiku; dan aku telah mengabaikan apa yang telah Engkau perintahkan kepadaku!

Aku memohon kepada-Mu demi Dia Yang adalah Raja segala Nama yang berdaulat agar menetapkan bagiku daripada Pena rahmat-Mu, apa yang akan mendekatkan daku kepada-Mu dan akan membersihkan diri daripada dosa-dosaku yang telah menghalang diriku daripada kemaafan-Mu dan pengampunan-Mu.

Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Dermawan! Tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Pengasih!

#12149
- Bahá'u'lláh

 

Terpujilah Nama-Mu, Ya Tuhanku dan Tuhan segala benda, Kemuliaanku dan Kemuliaan segala benda, Hasratku dan Hasrat segala benda, Kekuatanku dan Kekuatan segala benda, Rajaku dan Raja segala benda, Pemilikku dan Pemilik segala benda, Tujuanku dan Tujuan segala benda, Penggerakku dan Penggerak segala benda! Aku memohon kepada-Mu, janganlah Engkau membiarkan daku terpisah daripada samudera kasih sayang-Mu yang mesra, dan janganlah pula dijauhkan daripada pantai kedekatan-Mu.

Ya Tuhanku, tiada yang lain kecuali Engkau yang menguntungkan daku, dan tiada faedahnya bagiku mendekati apa pun kecuali Engkau. Aku memohon kepada-Mu, demi berlimpah-limpahnya kekayaan-Mu yang mana Engkau tak memerlukan apa pun selain Engkau Sendiri, agar memasukkan daku ke dalam bilangan mereka yang telah menghadapkan wajahnya kepada-Mu, dan bangkit mengabdi kepada-Mu. Kemudian ampunilah hamba-hamba-Mu dan dayang-dayang-Mu, Ya Tuhanku. Sesungguhnya, Engkaulah Pengampun Selalu dan Maha Penyayang.

#12150
- Bahá'u'lláh

 

Kemuliaan kepada-Mu, Ya Tuhan. Ampunilah dosa-dosa kami, kasihanilah kami dan bolehkanlah kami untuk kembali kepada-Mu. Deritailah kami untuk tidak bergantung kepada sesiapa melainkan Engkau, dan kurniailah kami, melalui limpah kurnia-Mu, apa yang Engkau cintai dan hasrati dan patut bagi-Mu. Muliakanlah kedudukan mereka yang telah benar-benar mempercayai dan maafkanlah mereka dengan rahmat pengampunan-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Penolong dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.

#12151
- The Báb

 

Ya Tuhanku, Ya Rajaku, Ya Tuanku! Aku merayu kepada-Mu untuk mengampuni daku kerana mencari sebarang keseronokan kecuali cinta-Mu, atau sebarang keselesaan kecuali kedekatan kepada-Mu, atau sebarang kegembiraan selain daripada keredaan-Mu, atau sebarang kewujudan selain berhubung dengan-Mu.

#12152
- The Báb

 

Aku merayu kepada-Mu untuk mengampuni daku, Ya Tuhanku, kerana setiap pengingatan kecuali pengingatan kepada-Mu, kerana setiap pujian kecuali pujian kepada-Mu, dan kerana setiap kegembiraan kecuali kegembiraan dalam kedekatan kepada-Mu, dan kerana setiap keseronokan kecuali keseronokan berhubung dengan-Mu, dan kerana setiap keriangan kecuali keriangan atas cinta-Mu dan atas keredaan-Mu, dan kerana semua benda yang berkaitan denganku yang tidak ada hubungan dengan-Mu, Ya Engkau Yang adalah Raja kepada segala raja, Dia Yang memberikan jalannya dan membuka kunci pintu-pintu.

#12153
- The Báb

 

Ya Engkau Tuhan Yang Pengampun! Engkau adalah Pelindung bagi semua hamba-hamba-Mu. Engkau mengetahui rahsia-rahsia dan sedar akan segala sesuatu. Kami semua tak berdaya dan Engkaulah Yang Maha Kuat, Yang Maha Kuasa. Kami semua orang yang berdosa dan Engkaulah Pengampun dosa-dosa, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang. Ya Tuhan! Janganlah melihat pada kekurangan-kekurangan kami. Perlakukanlah kami sesuai dengan rahmat dan kurnia-Mu. Kekurangan-kekurangan kami amatlah banyak tetapi samudera pengampunan-Mu adalah tak terbatas. Kelemahan kami amatlah menyedihkan tetapi bukti-bukti bantuan dan pertolongan-Mu adalah nyata. Maka, teguhkanlah dan kuatkanlah kami. Bolehkanlah kami berbuat apa yang patut bagi Ambang pintu-Mu yang suci. Terangilah kalbu-kalbu kami, berilah kami mata yang tajam dan telinga yang mendengar. Hidupkanlah yang mati dan sembuhkanlah yang sakit. Anugerahkanlah kekayaan kepada yang miskin dan berilah ketenteraman dan keamanan kepada yang takut. Terimalah kami di kerajaan-Mu dan terangilah kami dengan cahaya bimbingan. Engkaulah Maha Kuasa dan Perkasa. Engkaulah Dermawan. Engkaulah Maha Pengasih. Engkaulah Yang Baik Hati.

#12154
- `Abdu'l-Bahá

 

PERJALANAN

Aku telah bangun pagi ini kerana rahmat-Mu, Ya Tuhanku, dan telah meninggalkan rumahku dengan penuh kepercayaan kepada-Mu, dan telah menyerahkan diriku pada pemeliharaan-Mu. Maka turunkanlah kepadaku, dari syurga belas kasihan-Mu, berkat daripada-Mu, dan bolehkanlah daku untuk pulang ke rumah dengan selamat sebagaimana Engkau telah membolehkan daku untuk berangkat di bawah perlindungan-Mu dengan fikiran-fikiranku tetap setia kepada-Mu. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Esa, Yang Tiada Taranya, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Arif.

#12155
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhan, Tuhanku! Aku telah meninggalkan rumahku, berpegang teguh kepada tali cinta-Mu, dan aku telah menyerahkan diriku sepenuhnya kepada pemeliharaan-Mu dan perlindungan-Mu. Aku memohon kepada-Mu demi kuasa-Mu yang melaluinya Engkau telah melindungi kekasih-kekasih-Mu daripada yang sesat dan degil, dan daripada setiap penindas yang tegar, dan setiap pelaku kejahatan yang telah tersesat jauh daripada-Mu, untuk melindungi daku melalui rahmat-Mu dan kurnia-Mu. Maka, bolehkanlah daku untuk kembali ke rumahku melalui kuasa-Mu dan kekuatan-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuat, Penolong dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.

#12156
- Bahá'u'lláh

 

PERKAHWINAN

”Perkahwinan Bahá'í adalah penyatuan dan kasih mesra antara dua pihak. Mereka haruslah, sesungguhnya, amat berhati-hati dan membiasakan diri dengan perwatakan satu sama yang lain. Ikatan abadi ini haruslah diteguhkan oleh satu waadat yang kukuh dan niatnya haruslah untuk memupuk keharmonian, persahabatan dan kesatuan serta untuk mencapai kehidupan abadi.”

~ ‘Abdu’l-Bahá

Ikrar Perkahwinan, iaitu ayat yang harus diucapkan secara individu oleh pengantin lelaki dan perempuan di hadapan dua orang saksi yang diterima oleh Majlis Rohani, seperti yang tertulis di dalam Kitáb-i-Aqdas (Kitab Paling Suci):

”KAMI SEMUA, SESUNGGUHNYA, AKAN TUNDUK PADA KEHENDAK TUHAN.”

Dia adalah Pemberi, Yang Dermawan!

Terpujilah Tuhan, Sang Purba, Yang Maha Abadi, Yang Tak Berubah, Yang Kekal! Dia yang telah naik saksi dengan Wujud-Nya Sendiri bahawa sesungguhnya Dia adalah Maha Esa, Maha Tunggal, Maha Kuasa dan Maha Luhur. Kami naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Dia, mengenal keesaan-Nya, dan mengakui ketunggalan-Nya. Dia selalu berada di ketinggian yang tak dapat didekati dan di puncak keluhuran-Nya, disucikan daripada penyebutan segala sesuatu kecuali Dia Sendiri, bebas daripada gambaran segala sesuatu melainkan Dia.

Dan apabila Dia berhasrat untuk menjelmakan rahmat dan kurnia kepada manusia, serta mentertibkan dunia, Dia telah menurunkan peraturan-peraturan dan menetapkan undang-undang; antaranya Dia telah mendirikan undang-undang perkahwinan, dan menjadikannya sebagai benteng kesejahteraan dan keselamatan, dan telah memerintahkan kepada kita apa yang diturunkan dari syurga kesucian dalam Kitab-Nya Yang Maha Suci. Dia berfirman, maha besarlah kemuliaan-Nya: “Berkahwinlah, wahai manusia, agar muncul daripadamu dia yang akan menyebut Daku dalam kalangan hamba-Ku; inilah perintah-Ku kepadamu; patuhilah ini sebagai bantuan kepada dirimu sendiri.”

#12157
- Bahá'u'lláh

 

Kemuliaan kepada-Mu, Ya Tuhanku! Sesungguhnya, hamba-Mu ini dan dayang-Mu ini telah berhimpun di bawah naungan belas kasihan-Mu dan mereka telah disatukan melalui kurnia dan kedermawanan-Mu. Ya Tuhan! Bantulah mereka di dunia-Mu dan kerajaan-Mu ini dan takdirkanlah bagi mereka setiap kebaikan melalui berkat dan rahmat-Mu. Ya Tuhan! Sahkanlah mereka dalam pengabdian kepada-Mu dan bantulah mereka dalam khidmat kepada-Mu. Sebabkanlah mereka untuk menjadi tanda-tanda Nama-Mu di dunia-Mu dan lindungilah mereka melalui anugerah-Mu yang tak terhingga di dunia ini dan dunia yang akan datang. Ya Tuhan! Mereka sedang memohon kerajaan belas kasihan-Mu dan merayu alam ketunggalan-Mu. Sesungguhnya, mereka telah berkahwin dalam kepatuhan kepada seruan-Mu. Sebabkanlah mereka untuk menjadi tanda-tanda keharmonian dan kesatuan sehingga penghujung masa. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Wujud dan Yang Maha Kuat!

#12158
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhanku, Ya Tuhanku! Kedua-dua bola mata yang cemerlang ini telah dikahwinkan dalam cinta-Mu, digabungkan dalam pengabdian kepada Ambang Suci-Mu, bersatu dalam khidmat kepada Akidah-Mu. Jadikanlah Engkau perkahwinan ini sebagai lampu-lampu petunjuk kepada rahmat-Mu yang tak terhingga, Ya Tuhanku, Yang Maha Belas Kasihan, dan sinaran-sinaran cemerlang bagi anugerah-anugerah-Mu, Ya Engkau Pemberi, Dermawan Selalu, agar dari pohon agung ini akan bercambah dahan-dahan yang akan tumbuh menghijau dan berkembang melalui pemberian yang dihujani daripada awan rahmat-Mu.

Sesungguhnya, Engkaulah yang Dermawan. Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Kuat. Sesungguhnya, Engkaulah Pengasih, Yang Maha Berbelas Kasihan.

#12159
- `Abdu'l-Bahá

 

PERLINDUNGAN

Terpujilah nama-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku merayu Engkau demi nama-Mu melaluinya Masanya telah tiba, dan Kebangkitan sudah terjadi, dan ketakutan dan geletar menyelubungi semua yang ada di syurga dan di bumi, untuk menghujani dari syurga belas kasihan-Mu dan awan kasih sayang lembut-Mu, apa yang akan meriangkan kalbu hamba-hamba-Mu, yang telah berpaling kepada-Mu dan membantu Akidah-Mu.

Lindungilah hamba-hamba-Mu dan dayang-dayang-Mu, Ya Tuhanku, daripada serangan hawa nafsu dan khayalan kosong, dan berikanlah mereka dari tangan kurnia-Mu satu draf air ilmu-Mu yang mengalir lembut.

Engkau, sesungguhnya, adalah Yang Maha Kuat, Yang Maha Luhur, Pemaaf Selalu, Yang Maha Dermawan.

#12160
- Bahá'u'lláh

 

Dalam Nama-Nya, Yang Luhur, Yang Tertinggi, Yang Paling Suci!

Terpujilah Engkau, Ya Tuhan, Tuhanku! Ya Engkau Yang adalah Tuhanku, dan Tuanku, dan Rajaku, dan Sokonganku, dan Harapanku, dan Perlindunganku, dan Cahayaku. Aku meminta daripada-Mu, demi Nama-Mu yang Tersembunyi dan Berharga, yang tidak diketahui sesiapa kecuali Diri-Mu Sendiri, untuk melindungi pembaca Loh ini daripada setiap bencana dan wabak, dan daripada setiap lelaki dan wanita yang keji; daripada niat jahat mereka yang kejam, dan daripada kelicikan mereka yang tak beriman. Tambahan lagi, peliharalah dia, Ya Tuhanku, daripada setiap kesakitan dan kesusahan, Ya Engkau Yang memegang dalam tangan-Mu kekuasaan dalam segala benda. Engkau, sesungguhnya, adalah berkuasa ke atas segala benda. Engkau melakukan apa yang Engkau redai, dan memberikan apa yang Engkau senangi.

Ya Engkau Raja segala Raja! Ya Engkau Tuhan yang baik hati! Ya Engkau Sumber rahmat purba, kurnia, kedermawanan dan anugerah! Ya Engkau Yang Penyembuh penyakit! Ya Engkau Pelengkap keperluan! Ya Engkau Cahaya kepada Cahaya! Ya Engkau Cahaya di atas segala Cahaya! Ya Engkau Pewahyu setiap Manifestasi! Ya Engkau Pengasih! Ya Engkau Yang Berbelas Kasihan! Tunjukkanlah belas kasihan ke atas pembaca Loh ini, melalui belas kasihan-Mu yang tertinggi dan rahmat-Mu yang berlimpah-limpah, Ya Engkau Yang Rahmat, Engkau Yang Pemberi. Tambahan lagi, lindungilahnya melalui perlindungan-Mu, daripada apa yang menjijikkan dalam hati dan mindanya. Daripada kalangan mereka yang mempunyai kuasa, Engkau sesungguhnya, adalah yang paling berkuasa. Kemuliaan Tuhan terletak pada-Mu, ya engkau suria yang terbit! Naik saksilah pada apa yang Tuhan telah naik saksi pada Diri-Nya Sendiri, bahawa tiada Tuhan yang lain kecuali-Nya, Yang Maha Kuat, Yang Paling Dikasihi.

#12161
- Bahá'u'lláh

 

Terpujilah Engkau, Ya Tuhanku! Aku merayu kepada-Mu demi nama-Mu, Yang Paling Berbelas Kasihan, untuk melindungi hamba-hamba-Mu dan dayang-dayang-Mu apabila ribut kesukaran melanda mereka, dan cubaan-cubaan-Mu yang berlipat-ganda menyerang mereka. Maka, bolehkanlah mereka, Ya Tuhanku, untuk mencari perlindungan di dalam kubu cinta-Mu dan Wahyu-Mu, sehinggakan tidak dapat diatasi musuh-Mu mahupun penjahat dalam kalangan hamba-Mu, yang telah melanggar Waadat-Mu dan Testamen-Mu, dan telah berpaling dengan amat hina daripada Suria Inti-Mu dan Pewahyu kemuliaan-Mu.

Mereka sendiri, Ya Tuhanku, telah menunggu di depan pintu kurnia-Mu. Bukakanlahnya di hadapan wajah mereka dengan kunci-kunci kurnia-Mu yang penuh rahmat. Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau redai, dan untuk mengurniakan apa yang Engkau senangi. Inilah mereka, Ya Tuhan, yang telah menetapkan wajah mereka kepada-Mu, dan berpaling kepada kediaman-Mu. Lalu tentukan bagi mereka selayak belas kasihan-Mu, yang telah melebihi segala dunia.

#12162
- Bahá'u'lláh

 

Terpujilah Engkau, Ya Tuhan! Engkau adalah Tuhan yang telah wujud sebelum segala benda, Yang akan wujud selepas segala benda dan akan kekal di atas segala benda. Engkau adalah Tuhan Yang mengetahui segala benda, dan terunggul di atas segala benda. Engkau adalah Tuhan Yang bertindak dengan belas kasihan kepada segala benda, Yang menghakimi semua benda dan Yang visi-Nya menakluki segala benda. Engkaulah Tuhan Rajaku, Engkaulah yang mengenali kedudukanku, Engkau naik saksi kepada wujudku yang dalam dan luar.

Kurniakanlah kemaafan-Mu kepadaku dan kepada penganut-penganut yang telah menyahut seruan-Mu. Jadilah Engkau penolongku yang mencukupi dalam menentang kelicikan barangsiapa yang berhasrat untuk menyebabkan kesedihan padaku atau ingin menyakitiku. Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan segala benda tercipta. Engkau mencukupi setiap orang, manakala tiada sesiapa dapat berdikari tanpa-Mu.

#12163
- The Báb

 

Ya Tuhan, Tuhanku! Lindungilah hamba-hamba-Mu yang dipercayai daripada kejahatan diri dan hawa nafsu, peliharalah mereka dengan jagaan mata kasih sayang-Mu daripada semua dendam, kebencian dan iri hati, naungilah mereka dalam kubu kebal jagaan-Mu dan selamat daripada serangan keraguan, jadikanlah mereka penjelmaan tanda-tanda keagungan-Mu, terangilah wajah mereka dengan sinaran gemilang yang dipancarkan daripada Tempat Terbit kesatuan ilahi-Mu, riangkanlah kalbu mereka dengan kalimat-kalimat yang diwahyukan daripada kerajaan suci-Mu, perkuatkanlah loin mereka melalui ayunan maha kuasa-Mu yang datang daripada alam-Mu yang mulia. Engkau adalah Yang Maha Pemurah, Pelindung, Yang Maha Kuat, Berbelas Kasihan.

#12164
- `Abdu'l-Bahá

 

PERTEMUAN & MAJLIS ROHANI

Ya Engkau Tuhan yang Pemurah! Hamba-hamba ini telah berkumpul dalam pertemuan ini, telah berpaling kepada kerajaan-Mu dan memerlukan kurnia dan berkat-Mu. Ya Engkau Tuhan! Jelmakanlah dan perlihatkanlah tanda-tanda keesaan-Mu yang telah tersimpan di dalamnya semua realiti kehidupan. Tunjukkanlah dan bukakanlah sifat-sifat yang Engkau telah jadikan terpendam dan tersembunyi dalam realiti manusia ini.

Ya Tuhan! Kami bagaikan tumbuh-tumbuhan, dan kemurahan-Mu bagaikan hujan; segarkan dan sebabkanlah tumbuh-tumbuhan ini untuk tumbuh melalui anugerah-Mu. Kami adalah hamba-Mu; bebaskanlah kami daripada belenggu kewujudan kebendaan. Kami jahil; jadikanlah kami arif. Kami telah mati; hidupkanlah kami. Kami kebendaan; kurniakanlah kami kerohanian. Kami serba kekurangan; jadikanlah kami rapat dengan misteri-misteri. Kami memerlukan; perkayakan dan berkatilah kami daripada khazanah tak terhingga-Mu. Ya Tuhan! Hidupkanlah kami semula; berikanlah kami penglihatan; berikanlah kami pendengaran; biasakanlah kami dengan misteri kehidupan, agar rahsia-rahsia kerajaan-Mu dapat terbongkar kepada kami di dunia kewujudan ini dan kami dapat mengakui keesaan-Mu. Setiap kurnia terbit daripada-Mu; setiap restu adalah daripada-Mu.

Engkau adalah Kuat. Engkau adalah Berkuasa. Engkau adalah Pemberi, dan Engkau Pemurah Selalu.

#12165
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sesungguhnya, hamba-hamba ini sedang berpaling kepada-Mu, memohon belas kasihan kerajaan-Mu. Sesungguhnya, mereka telah tertarik kepada kesucian-Mu dan dikobarkan oleh api cinta-Mu, mencari pengesahan daripada kerajaan-Mu yang menakjubkan, dan mengharapkan pencapaian dalam alam syurgawi-Mu. Sesungguhnya, mereka menginginkan kemunculan anugerah-Mu, mengharapkan sinaran daripada Suria Kebenaran. Ya Tuhan! Jadikanlah mereka lampu-lampu yang cemerlang, tanda-tanda yang berbelas kasihan, pohon-pohon yang berbuah dan bintang-bintang yang bersinar. Semoga mereka bangkit dalam pengabdian kepada-Mu dan terhubung dengan-Mu melalui hubungan dan ikatan cinta-Mu, mengingini cahaya kurnia-Mu. Ya Tuhan! Jadikanlah mereka tanda-tanda bimbingan, standard-standard kerajaan abadi-Mu, ombak-ombak samudera kemaafan-Mu, cermin-cermin cahaya kedaulatan-Mu.

Sesungguhnya, Engkau adalah Pemurah. Sesungguhnya, Engkau adalah Berbelas Kasihan. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Berharga, Yang Dikasihi.

#12166
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Engkau Pemberi yang pengasih! Jiwa-jiwa ini telah mendengar perintah daripada Kerajaan, dan telah memandang pada keagungan Suria Kebenaran. Mereka telah terbang ke arah langit cinta; mereka telah terpikat kepada sifat-Mu, dan mereka memuja keindahan-Mu. Kepada-Mu mereka telah memalingkan diri mereka, berbual-bual dengan-Mu, mencari kediaman-Mu, dan mendahagakan air sungai alam syurgawi-Mu.

Engkau adalah Pemberi, Pemurah, dan Pengasih Selalu.

#12167
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Pemberi Ilahi! Perhimpunan ini mengandungi rakan-rakan-Mu yang telah tertarik pada keindahan-Mu dan telah dikobarkan dengan api cinta-Mu. Jadikanlah jiwa-jiwa ini malaikat syurgawi, hidupkanlah mereka semula melalui nafas Roh Suci, berikanlah mereka lidah yang fasih dan hati yang teguh, kurniailah mereka kuasa syurgawi dan kepekaan yang berbelas kasihan, sebabkanlah mereka untuk menjadi penyebar kesatuan umat manusia dan punca cinta dan keharmonian di dunia kemanusiaan, agar kegelapan kejahilan prasangka yang berbahaya akan dimusnahkan melalui cahaya Suria Kebenaran, dunia yang suram ini akan menjadi bersinar, alam kebendaan ini akan menyerap sinaran dunia roh, warna-warna yang berlainan ini akan disatukan menjadi satu warna dan melodi pujian akan naik ke kerajaan-Mu yang suci.

Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kuat.

#12168
- `Abdu'l-Bahá

 

PERTUMBUHAN ROHANI

Ya Tuhanku! Jadikanlah keindahan-Mu makananku, dan kehadiran-Mu minumanku, dan keredaan-Mu harapanku, dan pujian kepada-Mu perbuatanku, dan pengingatan kepada-Mu temanku, dan kuasa kedaulatan-Mu penolongku, dan kediaman-Mu rumahku, dan tempat tinggalku yakni tempat duduk yang telah Engkau sucikan daripada batasan-batasan yang dikenakan pada mereka yang dipisahkan dengan tabir daripada-Mu.

Engkau adalah, sesungguhnya, Yang Maha Kuat, Yang Maha Mulia, Yang Maha Berkuasa.

#12170
- Bahá'u'lláh

 

Katakanlah: Ya Tuhan, Tuhanku! Hiasilah kepalaku dengan mahkota keadilan, dan tubuhku dengan perhiasan kesaksamaan. Engkau, sesungguhnya, adalah Pemilik segala anugerah dan rahmat.

#12171
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhanku, Tuhan rahmat dan belas kasihan!

Engkau adalah Raja yang kata perintah-Nya segala ciptaan telah dihidupkan; dan Engkau adalah Yang Maha Pemurah yang perlakuan hamba-hamba-Nya tidak menghalang-Nya daripada menunjukkan kemurahan-Nya, mahupun mereka telah menutupi penjelmaan rahmat-Nya.

Sebabkanlah hamba ini, Aku merayu kepada-Mu, untuk mencapai apa yang adalah punca keselamatannya di setiap dunia dalam dunia-dunia-Mu. Engkau adalah, sesungguhnya, Yang Maha Kuat, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

#12172
- Bahá'u'lláh

 

Aku merayu kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi segala keagungan Nama-Mu yang unggul, untuk memakaikan mereka yang dikasihi-Mu jubah keadilan dan untuk menyinari kewujudan mereka dengan cahaya kebolehpercayaan. Engkau adalah Yang telah mempunyai kuasa untuk melakukan apa yang Dia redai dan Yang memegang dalam genggamannya kekuasaan terhadap segala benda, yang kelihatan dan yang tersembunyi.

#12173
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Dimuliakanlah Engkau kerana Engkau telah mengesahkan daku dalam pengakuan keesaan-Mu, menarik daku kepada kalimat ketunggalan-Mu, menyalakan daku dengan api cinta-Mu, dan menyibukkan daku dengan penyebaran tentang-Mu dan khidmat teman-teman dan dayang-dayang-Mu.

Ya Tuhan, bantulah daku untuk menjadi patuh dan rendah hati, dan perkukuhkanlah daku dalam memutuskan diriku daripada semua benda dan dalam berpaut pada kelim jubah kemuliaan-Mu, agar hatiku dapat dipenuhi dengan cinta-Mu dan tidak ada ruang lagi bagi menyintai dunia dan keterikatan kepada sifat-sifatnya.

Ya Tuhan! Sucikanlah daku daripada semua kecuali Engkau, bersihkanlah daku daripada kotoran dosa-dosa dan salah laku, dan sebabkanlah daku untuk memiliki hati yang rohani dan sedar.

Sesungguhnya, Engkau adalah yang berbelas kasihan dan, sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Dermawan, Yang bantuan-Nya dicari-cari oleh semua manusia.

#12174
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Ini adalah lampu yang dinyalakan oleh api cinta-Mu dan dikobarkan dengan nyalaan yang dimarakkan pada pohon kemurahan-Mu. Ya Tuhanku! Tambahkanlah semaraknya, habanya dan nyalaannya, dengan api yang telah dinyalakan di Sinai Manifestasi-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Pengesah, Penolong, Yang berkuasa, Dermawan, Pengasih.

#12175
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Ini hamba-Mu, telah maju ke arah-Mu, mengembara dengan penuh semangat dalam gurun cinta-Mu, melangkah di jalan pengabdian kepada-Mu, menantikan anugerah-Mu, mengharapkan kemurahan-Mu, bergantung kepada kerajaan-Mu, dan dimabukkan oleh wain anugerah-Mu. Ya Tuhanku! Tingkatkanlah semangat kasih sayangnya kepada-Mu, keteguhan pujiannya kepada-Mu, dan kegembiraan cintanya kepada-Mu.

Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Dermawan, Tuhan rahmat yang tak terhingga. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Pemaaf, Yang Berbelas Kasihan.

#12176
- `Abdu'l-Bahá

 

PUJIAN & KESYUKURAN

Segala pujian bagi-Mu, Ya Tuhanku, Yang adalah Sumber segala kemuliaan dan keagungan, kebesaran dan kehormatan, kedaulatan dan kekuasaan, keluhuran dan kurnia, kekaguman dan kekuatan. Engkau menyebabkan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Mu untuk mendekati Samudera Yang Maha Agung, dan pada sesiapa sahaja yang Engkau hasratkan, Engkau memberikan kehormatan untuk mengenali Nama-Mu Yang Maha Purba. Antara semua yang ada di langit dan di bumi, tiada seorang pun yang dapat menahan operasi Kehendak-Mu yang berdaulat. Sejak azali Engkau telah memerintah seluruh ciptaan, dan Engkau akan terus selama-lamanya melaksanakan kekuasaan-Mu ke atas segala yang tercipta. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Kuat, Yang Maha Luhur, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Arif.

Terangilah, Ya Tuhan, wajah hamba-hamba-Mu, agar mereka dapat melihat Engkau; dan bersihkanlah kalbu mereka agar mereka dapat berpaling ke istana pemberian-pemberian syurgawi, dan mengenal Dia Yang adalah Penjelmaan Dirimu Sendiri dan Tempat Terbit Inti-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan segala alam. Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Tak Terbatas, Yang Maha Menakluki.

#12177
- Bahá'u'lláh

 

Tuhanku, Pujaanku, Rajaku, Hasratku! Bahasa apakah yang dapat menyampaikan rasa syukurku kepada-Mu? Aku telah alpa, Engkau telah menyedarkanku. Aku telah berpaling daripada-Mu, Engkau telah membantuku agar berpaling kepada-Mu dengan rahmat-Mu. Aku bagaikan orang mati, Engkau telah menghidupkanku kembali dengan air kehidupan. Aku telah layu, Engkau telah menyegarkanku dengan sungai syurga ucapan-Mu yang telah mengalir daripada Pena Yang Maha Penyayang.

Ya Pemberi Ilahi! Segala kewujudan adalah kerana kemurahan-Mu; janganlah menjauhkannya daripada samudera kedermawanan-Mu, dan janganlah Engkau menahannya daripada samudera rahmat-Mu. Aku memohon kepada-Mu agar selalu menolong dan membantuku dalam segala keadaan, dan meminta kurnia-Mu yang purba dari langit kemurahan-Mu. Engkau adalah, sesungguhnya, Tuhan kerahmatan, dan Raja kerajaan abadi.

#12178
- Bahá'u'lláh

 

SUAMI

Ya Tuhan, Tuhanku! Dayang-Mu ini sedang memanggil-Mu, percaya kepada-Mu, menghadapkan wajahnya kepada-Mu, memohon kepada-Mu agar mencurahkan kepadanya pemberian syurgawi-Mu, dan membuka kepadanya rahsia-rahsia rohani-Mu, serta memancarkan kepadanya cahaya Keilahian-Mu.

Ya Tuhanku! Jadikanlah mata suamiku agar dapat melihat. Gembirakanlah hatinya dengan cahaya pengetahuan tentang-Mu, dekatkanlah fikirannya kepada keindahan-Mu yang bersinar, riangkanlah jiwanya dengan menunjukkan kepadanya kecemerlangan-Mu yang nyata.

Ya Tuhanku! Singkaplah Engkau tabir daripada pandangannya. Turunkanlah hujan pemberian-Mu yang berlimpah-limpah padanya, mabukkannya dengan wain cinta-Mu dan jadikannya salah seorang malaikat yang kakinya berjalan di bumi ini walaupun rohnya melayang tinggi di syurga-Mu yang luhur. Sebabkanlah dia menjadi lampu yang terang, yang menyinarkan cahaya kearifan-Mu dalam kalangan umat-Mu.

Sesungguhnya, Engkaulah Yang Disanjungi, Pemberi Selalu, Tangan yang Terbuka.

#12179
- `Abdu'l-Bahá

 

UMAT MANUSIA

Ya Engkau Tuhan yang Pengasih, Engkaulah Yang dermawan dan kaya! Kami adalah hamba-Mu yang berlindung di bawah naungan-Mu. Arahkanlah pandangan kurnia-Mu kepada kami. Berikan cahaya kepada mata kami, pendengaran kepada telinga kami, dan pemahaman dan cinta kepada hati kami. Biarlah roh kami riang dan gembira melalui khabar gembira-Mu. Ya Tuhan! Tunjukkanlah kepada kami jalan ke kerajaan-Mu dan hidupkanlah kami semula melalui nafas Roh Suci. Kurniailah kami kehidupan abadi dan berikanlah kepada kami kehormatan yang tak terhingga. Satukanlah umat manusia dan terangilah dunia kemanusiaan. Semoga kami semua mengikuti jalan-Mu, mengingini keredaan-Mu dan mencari misteri-misteri kerajaan-Mu. Ya Tuhan! Satukanlah kami dan hubungkanlah kalbu kami dengan ikatan-Mu yang teguh. Sesungguhnya, Engkau adalah Pemberi, Engkau adalah Yang Baik Hati dan Engkau adalah Yang Maha Kuat.

#12180
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Engkau Tuhan yang baik hati! Engkau telah menciptakan semua manusia daripada baka yang sama. Engkau telah mentakdirkan bahawa semuanya sekeluarga. Dalam Hadirat Suci-Mu mereka semua adalah hamba-Mu, dan semua manusia dilindungi di bawah Khemah-Mu; semua telah berkumpul di sekeliling Meja Kemurahan-Mu; semua diterangi melalui cahaya Kurnia-Mu.

Ya Tuhan! Engkau adalah baik hati kepada semua, Engkau telah membekali semua, telah melindungi semua, memberikan kehidupan kepada semua. Engkau telah mengurniakan setiap dan semua dengan bakat dan kebolehan, dan semua telah diselamkan dalam Samudera Belas Kasihan-Mu.

Ya Engkau Tuhan baik hati! Persatukanlah semua. Biarlah agama-agama bersetuju dan jadikanlah negara-negara satu, agar mereka dapat melihat diri mereka sebagai satu keluarga dan seluruh bumi sebagai satu kediaman. Semoga mereka semua dapat hidup bersama dalam keharmonian yang sempurna.

Ya Tuhan! Kibarkan tinggi panji-panji kesatuan umat manusia.

Ya Tuhan! Dirikanlah Keamanan Yang Maha Agung.

Eratkanlah Engkau, Ya Tuhan, kalbu-kalbu bersama.

Ya Engkau Bapa yang Baik Hati, Tuhan! Riangkanlah hati kami melalui keharuman cinta-Mu. Terangilah mata kami melalui Cahaya Bimbingan-Mu. Hiburkanlah telinga kami dengan mendengar melodi Kalimat-Mu, dan lindungilah kami semua dalam Kubu Perlindungan-Mu.

Engkau adalah Kuat dan Berkuasa, Engkau adalah Pemaaf dan Engkau Adalah Dia Yang tidak melihat kekurangan semua manusia.

#12181
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhan, Ya Engkau Yang telah memancarkan sinaran-Mu ke atas realiti manusia yang terang benderang, menyinari mereka cahaya pengetahuan dan bimbingan yang gemilang, dan telah memilih mereka daripada segala benda tercipta bagi kurnia yang tertinggi ini, dan telah menyebabkan mereka untuk menjangkaui segala benda, untuk memahami inti mereka yang terdalam, dan untuk membongkarkan misteri-misteri mereka, lalu membawa mereka keluar daripada kegelapan ke arah dunia yang nyata! “Dia sesungguhnya menunjukkan belas kasihan-Nya yang istimewa kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

Ya Tuhan, bantulah Engkau mereka yang dikasihi-Mu untuk memperoleh pengetahuan dan ilmu sains dan kesenian, dan untuk membongkarkan rahsia-rahsia yang tersembunyi di dalam realiti yang terdalam semua ciptaan. Sebabkanlah mereka mendengar kebenaran tersembunyi yang telah ditulis dan dibenamkan dalam pusat segala benda. Jadikanlah mereka tanda-tanda bimbingan dalam kalangan semua ciptaan, dan sinaran terang minda yang memancarkan cahayanya dalam ini, yakni “kehidupan pertama.” Jadikanlah mereka pemimpin yang memimpin kepada Engkau, pembimbing dalam jalan-Mu, pengutus yang menyegerakan manusia ke arah Kerajaan-Mu.

Engkau sesungguhnya adalah Berkuasa, Pelindung, Kuat, Pembela, Perkasa, Yang Maha Dermawan.

#12182
- `Abdu'l-Bahá

 

UNTUK YANG MENINGGAL DUNIA

Izinkanlah, Ya Tuhanku, mereka yang telah naik kepada-Mu agar dipulihkan oleh Dia Yang adalah Teman yang paling luhur, dan menetap di bawah naungan Khemah keagungan-Mu dan Kubu kemuliaan-Mu. Taburkanlah, Ya Tuhan, ke atas mereka daripada samudera kemaafan-Mu apa yang akan menjadikan mereka layak untuk menetap, selagi kedaulatan-Mu bertahan, dalam kerajaan-Mu yang terluhur dan kekuasaan-Mu yang tertinggi. Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau redai.

~ Bahá’u’lláh

#12183
- Bahá'u'lláh

 

Ya Tuhanku! Ya Engkau pengampun dosa, pemberi anugerah, penghapus kesengsaraan!

Sesungguhnya, aku merayu kepada-Mu untuk mengampuni dosa mereka yang telah meninggalkan pakaian fana dan telah naik ke alam rohani.

Ya Tuhanku! Sucikanlah mereka daripada kesalahan, hapuskanlah kedukaan mereka, dan tukarkanlah kegelapan mereka kepada cahaya. Sebabkanlah mereka untuk memasuki taman keriangan, bersihkanlah mereka dengan air yang paling murni, dan izinkanlah mereka agar dapat melihat kemuliaan-Mu di atas gunung yang paling tinggi.

#12184
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Engkau Tuhan yang Pengampun!

Walaupun beberapa jiwa yang menghabiskan waktu kehidupan mereka dalam kejahilan, dan menjadi terasing dan degil, akan tetapi, dengan satu ombak daripada samudera kemaafan-Mu, semua yang diselubungi dosa akan dibebaskan. Barangsiapa yang Engkau kehendaki Engkau jadikan teman, dan barangsiapa yang bukanlah matlamat pilihan-Mu adalah dikenali sebagai pesalah. Jika Engkau tidak melayan kami dengan keadilan, kami semua hanyalah pendosa dan hanya layak untuk dipisahkan daripada-Mu, tetapi jika Engkau memberikan belas kasihan, setiap pendosa akan dimurnikan dan setiap orang asing menjadi sahabat. Lalu, kurniakanlah pengampunan dan kemaafan-Mu, dan berikanlah belas kasihan kepada semua.

Engkau adalah Pemaaf, Pemberi Cahaya dan Maha Kuasa.

#12185
- `Abdu'l-Bahá

 

Untuk Wanita Yang Meninggal Dunia

Ya Tuhanku, Ya Pengampun dosa dan Penghapus kesengsaraan! Ya Engkau Yang adalah Pemaaf, Berbelas Kasihan! Aku merayu kepada-Mu dengan tanganku dinaikkan, dengan air mata berlinangan memohon singgahsana Inti keilahian-Mu untuk memaafkan, melalui kemurahan dan kelembutan-Mu, dayang-Mu yang telah naik ke singgahsana kebenaran. Sebabkanlah dia, Ya Tuhan, untuk dilindungi awan rahmat dan kurnia-Mu, benamkanlah dia dalam samudera pengampunan dan kemaafan-Mu, dan bolehkannya untuk memasuki kediaman yang disucikan itu, Syurga keilahian-Mu.

Engkau adalah, sesungguhnya, Yang Kuat, Yang Pengasih, Pemurah, Yang Berbelas Kasihan.

#12186
- `Abdu'l-Bahá

 

WANITA

Ya Tuhan! Bantulah puteri Kerajaan-Mu ini untuk diluhurkan dalam kedua-dua dunia; sebabkanlah dia untuk memalingkan diri daripada dunia debu yang fana dan daripada mereka yang telah memusatkan hati mereka kepadanya dan bolehkanlah dia untuk berhubung dan merapatkan diri dengan dunia yang abadi. Berikanlah dia kuasa syurgawi dan perkuatkanlah dia melalui nafas Roh Suci agar dia dapat bangkit untuk berkhidmat kepada-Mu. Engkau adalah Yang Kuat.

#12188
- `Abdu'l-Bahá

 

Ya Tuhanku, Kekasihku dan Hasratku! Bersahabatlah dengan daku dalam kesepianku dan temanilah daku dalam pemencilanku. Hapuskanlah kedukaanku. Sebabkanlah daku untuk mengabdi kepada keindahan-Mu. Jauhkanlah daku daripada segala sesuatu kecuali Engkau. Jadikanlah daku tertarik kepada keharuman kesucian-Mu. Sebabkanlah daku untuk berhubung dengan mereka yang tak terikat kepada segala sesuatu kecuali Engkau, yang ingin mengabdi kepada ambang pintu-Mu yang suci dan yang tetap berkhidmat kepada Akidah-Mu. Bolehkanlah daku menjadi salah seorang dayang-Mu yang telah mencapai keredaan-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Pengasih, Yang Maha Dermawan.

#12189
- `Abdu'l-Bahá

 

WANITA YANG HAMIL

Ya Tuhan! Ya Tuhan! Aku memuji-Mu dan bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah memberkati dayang-Mu yang rendah hati ini, hamba-Mu yang sedang memohon dan merayu kepada-Mu, kerana sesungguhnya Engkau telah membimbingnya ke Kerajaan-Mu yang nyata dan menyebabkannya untuk mendengar Panggilan-Mu yang mulia di dunia wujud ini dan untuk melihat tanda-tanda-Mu yang membuktikan kewujudan kedaulatan-Mu yang agung di atas segala sesuatu.

Ya Tuhanku, aku mempersembahkan kepada-Mu apa yang ada di dalam kandunganku. Lalu jadikanlahnya seorang anak yang terpuji dalam Kerajaan-Mu dan seorang yang bertuah melalui anugerah dan kemurahan-Mu; untuk berkembang dan membesar di bawah jagaan didikan-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Pemurah! Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemberi!

#12190
- `Abdu'l-Bahá

 

WANITA YANG SAKIT

Kemuliaan kepada-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku merayu kepada-Mu demi Nama-Mu yang melaluinya Dia Yang adalah Keindahan-Mu telah didirikan di atas takhta Akidah-Mu, dan demi Nama-Mu yang melaluinya Engkau mengubah segala sesuatu, dan mengumpulkan segala sesuatu, dan mengadili segala sesuatu, dan membalas segala sesuatu, dan memelihara segala sesuatu, dan mengekalkan segala sesuatu—aku memohon kepada-Mu untuk menjaga dayang-Mu ini yang telah mencari perlindungan daripada-Mu, dan telah mencari perlindungan daripada Dia yang telah menjelmakan Diri-Mu Sendiri, dan yang telah meletakkan seluruh kepercayaan dan keyakinan kepada-Mu.

Dia sakit, Ya Tuhanku, dan telah bernaung di bawah Pohon kesembuhan-Mu; sengsara, dan telah lari menuju Kota perlindungan-Mu; berpenyakit, dan telah mencari Sumber kurnia-Mu, penuh kedukaan, dan telah bersegera untuk mencapai Sumber ketenangan-Mu; dibebani dosa, dan telah menetapkan wajahnya pada singgahsana pengampunan-Mu.

Hiasilah dia, dengan kedaulatan-Mu dan kasih sayang-Mu, Ya Tuhanku dan Kekasihku, dengan pakaian penawar-Mu dan kesembuhan-Mu, dan bolehkanlah dia minum sepuas-puasnya daripada cawan rahmat-Mu dan kurnia-Mu. Selain itu, lindungilah dia daripada setiap kesengsaraan dan penderitaan, daripada segala kesakitan dan penyakit, dan daripada apa sahaja yang Engkau benci.

Engkau, sesungguhnya, jauh lebih luhur atas segala sesuatu kecuali Dirimu Sendiri. Engkau adalah, sesungguhnya, Penyembuh, Yang Maha Mencukupi, Pemelihara, Pengampun Selalu, Yang Maha Penyayang.

#12191
- Bahá'u'lláh

 

Occasional

AYYÁM-I-HÁ

AYYÁM-I-HÁ

(Hari-Hari Sisipan)

(Hari-Hari Sisipan… haruslah menjadi hari-hari persediaan bagi Berpuasa, hari-hari membuat kebajikan, amalan menderma dan memberikan hadiah.)

Tuhanku, Apiku dan Cahayaku! Hari-hari yang telah Engkau namakan Ayyám-i-Há dalam Kitab-Mu telah bermula, Ya Engkau Raja segala nama, dan kewajipan puasa yang telah ditetapkan oleh Pena-Mu yang terluhur ke atas semua yang berdiam di kerajaan ciptaan-Mu sudah menjelang. Aku memohon kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi hari-hari ini dan demi mereka semua yang sepanjang masa itu telah berpegang teguh pada tali perintah-Mu, dan berpegang pada peraturan-peraturan-Mu, agar dapat diberikan kepada setiap jiwa satu tempat dalam lingkungan istana-Mu, dan satu tempat duduk pada penjelmaan kecemerlangan cahaya wajah-Mu.

Mereka ini, Ya Tuhanku, adalah hamba-hamba-Mu yang tiada kecenderungan jahat telah menahan mereka daripada apa yang telah Engkau turunkan dalam Kitab-Mu. Mereka telah menundukkan diri mereka di hadapan Akidah-Mu, dan menerima Kitab-Mu dengan ketetapan hati yang berasal daripada-Mu, dan telah melaksanakan apa yang telah Engkau perintahkan bagi mereka, dan telah memilih untuk mengikuti apa yang telah Engkau turunkan.

Engkau melihat, Ya Tuhanku, bagaimana mereka telah mengenal dan mengakui apa sahaja yang telah Engkau wahyukan dalam Tulisan-tulisan-Mu. Berilah mereka minum, Ya Tuhanku, air kehidupan keabadian-Mu dari tangan kerahmanan-Mu, Ya Tuhanku. Lalu tulislah bagi mereka ganjaran yang ditetapkan bagi dia yang telah menyelamkan dirinya ke dalam samudera kehadiran-Mu dan mencapai wain terpilih pertemuan dengan-Mu.

Aku memohon kepada-Mu, Ya Engkau Raja segala raja dan Pengasih mereka yang tertindas, agar menetapkan bagi mereka kebaikan dunia ini dan akhirat. Tambahan lagi, tulislah bagi mereka apa yang tak pernah ditemukan oleh makhluk-makhluk-Mu dan masukkanlah mereka ke dalam bilangan orang-orang yang telah mengelilingi-Mu, dan yang bergerak di sekitar singgahsana-Mu di setiap alam daripada alam-alam-Mu.

Engkau, sesungguhnya, adalah Yang Maha Kuat, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

#12192
- Bahá'u'lláh

 

DOA JENAZAH

Doa Jenazah ini adalah digunakan untuk orang Bahá'í yang telah mencapai lima belas tahun ke atas. “Ia adalah satu-satunya doa wajib Bahá'í yang harus dilafazkan dalam Jemaah; ia harus dilafazkan oleh seorang penganut sementara hadirin yang lain berdiri. Tidak mempunyai syarat untuk memandang ke arah Kiblat sewaktu melafazkan doa ini.”

- Sinopsis dan kodifikasi Kitáb-i-Aqdas

Ya Tuhanku! Ini adalah hamba-Mu dan putera hamba-Mu yang telah percaya kepada-Mu dan kepada tanda-tanda-Mu, dan telah menetap wajahnya kepada-Mu, tidak terikat sepenuhnya daripada segala sesuatu kecuali Engkau. Engkau, sesungguhnya, yang paling Penyayang daripada semua yang penyayang.

Layanlah dia, Ya Engkau Yang mengampuni dosa-dosa manusia dan menyembunyikan kesalahan-kesalahan mereka, sebagaimana layak bagi syurga kedermawanan-Mu dan samudera rahmat-Mu. Izinkanlah dia memasuki lingkungan rahmat-Mu yang luhur yang mendahului penciptaan bumi dan syurga. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Pengampun Selalu, Yang Maha Dermawan.

Kemudian dia harus mengucapkan enam kali ucapan

”Alláh-u-Abhá”, dan mengulangi setiap ayat yang berikut sebanyak sembilan belas kali:

Kami semua, sesungguhnya, menyembah Tuhan.

Kami semua, sesungguhnya, bersujud di hadapan Tuhan.

Kami semua, sesungguhnya, mengabdi kepada Tuhan.

Kami semua, sesungguhnya, memberi pujian kepada Tuhan.

Kami semua, sesungguhnya, bersyukur kepada Tuhan.

Kami semua, sesungguhnya, bersabar demi Tuhan.

[Jika yang meninggal itu seorang perempuan, biarlah dia melafazkan: Ya Tuhanku! Inilah dayang-Mu dan puteri dayang-Mu...]

#12187
- Bahá'u'lláh

 

NAW-RÚZ

Pujian bagi-Mu, Ya Tuhanku, kerana Engkau telah menetapkan Naw-Rúz sebagai satu hari raya bagi mereka yang telah berpuasa kerana cinta kepada-Mu dan telah menjauhkan diri daripada segala sesuatu yang tak Engkau sukai. Izinkanlah, Ya Tuhanku, api cinta-Mu dan haba yang dihasilkan kerana puasa yang telah Engkau tetapkan agar menyalakan semangat mereka dalam Akidah-Mu, dan membuat mereka asyik dengan pujian dan pengingatan kepada-Mu.

Kerana Engkau telah menghiasi mereka, Ya Tuhanku, dengan perhiasan puasa yang ditetapkan oleh-Mu, maka hiasilah mereka dengan perhiasan penerimaan-Mu melalui kurnia dan rahmat-Mu. Kerana perbuatan manusia semuanya bergantung kepada keredaan-Mu, dan ditentukan oleh perintah-Mu. Seandainya Engkau menganggap dia yang telah melanggar kewajipan berpuasa sebagai seorang yang telah menunaikan ibadah puasa, orang itu akan termasuk dalam bilangan mereka yang selama-lamanya telah berpuasa. Dan seandainya Engkau menetapkan bahawa dia yang telah menunaikan ibadah puasa, telah melanggar kewajipan berpuasa, maka orang itu akan termasuk bilangan mereka yang telah mengotori Jubah Wahyu-Mu dengan debu, dan telah menjauhkan diri daripada air jernih yang berasal daripada Mata Air hidup ini.

Engkaulah Dia yang melalui-Nya panji "Terpujilah Engkau dalam perbuatan-Mu" telah dinaikkan, dan bendera "Ditaatilah Engkau dalam perintah-Mu" telah dikibarkan. Maklumkanlah kedudukan-Mu ini, Ya Tuhanku, kepada hamba-hamba-Mu, supaya mereka menyedari bahawa kecemerlangan segala benda bergantung kepada perintah dan kalimat-Mu, dan bahawa sifat setiap tindakan ditentukan oleh keizinan-Mu dan keredaan kehendak-Mu, dan semoga mereka mengakui bahawa kuasa ke atas perbuatan-perbuatan manusia berada dalam genggaman penerimaan-Mu dan perintah-Mu. Maklumkanlah ini kepada mereka itu, supaya tiada apa pun yang dapat menjauhkan mereka daripada Keindahan-Mu, pada hari-hari ini ketika Kristus berseru: "Semua kerajaan milik-Mu, Ya Engkau Pengutus Roh [Yesus]", dan Sahabat-Mu [Muhammad] telah berseru: "Pujian bagi-Mu, Ya Engkau Yang Tercinta, kerana Engkau telah menunjukkan Keindahan-Mu, dan telah menetapkan bagi orang-orang pilihan-Mu apa yang akan membolehkan mereka mencapai singgahsana penjelmaan Nama-Mu Yang Maha Agung, yang melaluinya semua umat meratap kecuali mereka yang telah melepaskan dirinya daripada segala sesuatu kecuali Engkau, serta menuju kepada Dia yang menjadi Penjelmaan Diri-Mu dan Perwujudan sifat-sifat-Mu.”

Dia yang adalah Cabang-Mu dan semua mereka yang ada di sekeliling-Mu, Ya Tuhanku, telah membuka puasanya pada hari ini, setelah mereka berpuasa dalam lingkungan istana-Mu, dan dalam keinginan mereka untuk menyenangkan-Mu. Tetapkanlah baginya dan bagi mereka, dan bagi semua yang telah memasuki hadirat-Mu pada hari-hari itu, segala kebaikan yang telah Engkau takdirkan dalam Kitab-Mu. Lalu berikanlah kepada mereka apa yang menguntungkan mereka, baik di dunia ini mahupun di akhirat.

Engkau, sesungguhnya, adalah Yang Maha Tahu dan Yang Maha Arif.

#12196
- Bahá'u'lláh

 

PUASA

”Kami telah memerintahkan kepadamu agar berdoa dan berpuasa dari awal kematangan (15 tahun); inilah perintah Tuhan, Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu... Pengembara, yang sakit, mereka yang mengandung atau menyusukan anak, tidak terikat kepada puasa… Jauhilah dirimu daripada makan dan minum, dari terbitnya matahari sehingga terbenam, dan berwaspadalah jangan sampai hawa nafsu menghalangi dirimu daripada rahmat yang ditetapkan di dalam Kitab.”

#12193
- Bahá'u'lláh

 

Sewaktu berbuka puasa

Terpujilah Engkau, Ya Tuhan, Tuhanku! Kami telah mematuhi Puasa mengikut perintah-Mu dan kini membukanya melalui cinta-Mu dan keredaan-Mu. Sudilah menerima, Ya Tuhanku, perlakuan yang telah kami lakukan di jalan-Mu sepenuhnya demi keindahan-Mu dengan wajah kami tetap ke arah Akidah-Mu, bebas daripada semua kecuali Engkau. Lalu kurniailah pengampunan-Mu ke atas kami, ke atas nenek moyang kami, dan ke atas semua yang telah percaya kepada-Mu dan kepada tanda-tanda kekuatan-Mu dalam Wahyu yang teragung dan paling mulia ini. Berkuasalah Engkau untuk berbuat apa yang Engkau kehendaki. Engkau adalah, sesungguhnya, Yang Maha Luhur, Yang Maha Kuat, Yang Tak Terhalang.

#12194
- Bahá'u'lláh

 

Ya Pembekal Ilahi! Sambil aku mengelakkan diri daripada hawa nafsu dan tidak makan dan minum, sucikanlah dan murnikanlah hatiku daripada cinta kepada sesiapa pun kecuali Engkau, dan lindungilah dan jagalah jiwaku daripada nafsu-nafsu korup dan sifat-sifat syaitan, agar rohku dapat berhubung dengan nafas kesucian-Mu, dan berpuasa daripada menyebut apa pun kecuali Engkau.

#12195
- `Abdu'l-Bahá

 

Tablets

LOH AHMAD

LOH AHMAD

”Doa-doa wajib ini, bersama beberapa doa-doa khusus yang lain, seperti Doa Kesembuhan dan Loh Ahmad, telah dikurniai Bahá'u'lláh dengan kekuatan dan makna yang istimewa, dan oleh itu ia harus diterima dan dilafazkan oleh para penganut dengan kepercayaan dan keyakinan yang mutlak, agar dengannya mereka dapat memasuki perbualan yang akrab dengan Tuhan, dan lebih menjiwai Hukum-Hukum dan perintah-perintah Tuhan.”

~ daripada surat yang ditulis bagi pihak Shoghi Effendi

Dia adalah Raja, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif! Lihatlah, Bulbul Firdaus menyanyi di atas ranting-ranting Pohon Keabadian, dengan melodi yang suci dan merdu, mengumumkan kepada mereka yang ikhlas, khabar gembira tentang kedekatan Tuhan, memanggil para penganut dalam Kesatuan Ilahi, untuk memasuki istana Kehadiran Yang Maha Dermawan, memberitahu mereka yang terpesong tentang utusan yang diwahyukan oleh Tuhan, Sang Raja, Yang Maha Mulia, Yang Tiada Banding Taranya, membimbing para kekasih ke arah takhta kesucian dan ke arah Keindahan yang gilang-gemilang ini.

Sesungguhnya, inilah Keindahan Maha Agung, yang diramalkan dalam Kitab-kitab para Pengutus, melaluinya kebenaran dapat dibezakan daripada kesalahan dan kearifan setiap perintah akan diuji. Sesungguhnya, Dia adalah Pohon Kehidupan yang menghasilkan buah-buahan Tuhan, Yang Maha Luhur, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Besar.

Wahai Ahmad! Naik saksilah Engkau bahawa sesungguhnya, Dia adalah Tuhan, dan tiada Tuhan melainkan Dia, Sang Raja, Pelindung, Yang Tiada Taranya, Yang Maha Kuasa. Dan bahawasanya Dia yang telah diutus oleh-Nya dengan nama Ali adalah yang benar daripada Tuhan, dan kita semua harus tunduk pada perintah-perintah-Nya.

Katakanlah: Wahai manusia taatilah perintah-perintah Tuhan, yang telah ditetapkan dalam Bayan oleh Yang Maha Mulia, Yang Maha Arif. Sesungguhnya, Dia adalah Raja para Pengutus dan Kitab-Nya adalah Ibu Kitab, seandainya engkau mengetahuinya.

Demikianlah Burung Bulbul mengucapkan seruan-Nya kepadamu dari penjara ini. Dia seharusnya menyampaikan utusan yang jelas ini. Barangsiapa yang mengingini, biarlah dia berpaling daripada nasihat ini, dan barangsiapa yang mengingini biarlah dia memilih jalan ke arah Tuhannya.

Wahai manusia, jika engkau mengingkari ayat-ayat ini, dengan bukti apakah engkau telah mempercayai Tuhan? Tunjukkanlah, wahai perkumpulan yang palsu.

Tidak, demi Dia yang dalam tangan-Nya tergenggam jiwaku, mereka tidak mampu dan tidak akan sanggup berbuat demikian, meskipun mereka bersatu untuk saling membantu.

Wahai Ahmad! Janganlah engkau melupakan kurnia-kurnia-Ku tatkala Aku tidak ada. Ingatlah hari-hari-Ku selama hari-harimu, dan kesengsaraan serta pembuangan-Ku ke dalam penjara yang terpencil ini. Dan berpegang teguhlah engkau dalam cinta kasih-Ku, sehingga kalbumu tidak akan goyah, meskipun pedang-pedang musuh menghujani dirimu dan seluruh langit dan bumi bangkit menentangmu.

Jadilah engkau laksana nyalaan api bagi musuh-musuh-Ku dan sungai kehidupan abadi bagi kekasih-kekasih-Ku dan janganlah termasuk mereka yang ragu-ragu.

Dan jikalau engkau ditimpa kesukaran di jalan-Ku, atau dihina demi Aku, janganlah susah hati kerananya.

Tawakallah kepada Tuhan, Tuhanmu, dan Tuhan nenek moyangmu. Kerana orang-orang itu sedang mengembara di jalan-jalan khayalan, pandangan mereka kabur untuk melihat Tuhan dengan mata mereka sendiri atau mendengar Melodi-Nya dengan telinga mereka sendiri. Demikianlah Kami menemui mereka itu, sebagaimana engkau juga telah saksikan.

Dengan demikian ketahyulan mereka menjadi tabir-tabir antara mereka dan kalbu-kalbu mereka sendiri dan menghalangi mereka daripada jalan Tuhan, Yang Maha Luhur, Yang Maha Agung.

Yakinlah dalam hatimu sendiri, bahawa sesungguhnya, barangsiapa yang berpaling daripada Keindahan ini, telah berpaling daripada para Pengutus pada masa lampau dan menunjukkan kebongkakkannya kepada Tuhan dari awal yang tiada berpermulaan sampai akhir yang tidak ada habisnya.

Pelajarilah baik-baik Loh ini, wahai Ahmad. Nyanyikanlahnya selama hari-harimu dan janganlah berpaling daripadanya. Kerana sesungguhnya, Tuhan telah menetapkan bagi dia yang menyanyikannya, ganjaran seratus orang syahid dan ibadah dalam kedua-dua alam. Kurnia ini Kami limpahkan kepadamu sebagai anugerah daripada pihak Kami dan rahmat daripada kehadiran Kami, supaya engkau termasuk mereka yang bersyukur.

Demi Tuhan! Barangsiapa yang berada dalam kesukaran atau kesengsaraan membaca Loh ini dengan ketulusan yang mutlak, Tuhan akan menghapuskan kedukaannya, menyelesaikan kesukarannya dan melenyapkan kesengsaraannya.

Sesungguhnya, Dia Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Pujian bagi Tuhan, Raja sekalian alam.

#12198
- Bahá'u'lláh

 

LOH API

LOH API

(Loh yang diwahyukan oleh Bahá'u'lláh yang bertajuk ‘Qad Ihtaraqa’l-Mukhlisun’)

Atas Nama Tuhan, Yang Maha Purba, Yang Maha Agung.

Sesungguhnya kalbu-kalbu mereka yang ikhlas telah terbakar dalam api perpisahan: Di manakah pancaran cahaya Wajah-Mu, Ya Kekasih alam semesta?

Mereka yang dekat kepada-Mu telah ditinggalkan dalam kegelapan kemusnahan: Di manakah sinaran pagi penyatuan semula dengan-Mu, Ya Hasrat alam semesta?

Tubuh orang-orang pilihan-Mu terbaring menggeletar di atas gurun yang jauh: Di manakah samudera hadirat-Mu, Ya Pesona alam semesta?

Tangan-tangan kerinduan sedang diangkat ke arah langit kurnia dan kedermawanan-Mu: Di manakah hujan anugerah-Mu, Ya Penjawab alam semesta?

Orang-orang kafir telah bangkit dengan kezaliman dari setiap penjuru: Di manakah kekuasaan pena takdir-Mu yang menakluki, Ya Penakluk alam semesta?

Salakan anjing terdengar kuat dari setiap arah: Di manakah singa dari hutan kekuatan-Mu, Ya Penghukum alam semesta?

Kedinginan telah mencengkam semua manusia: Di manakah kehangatan cinta-Mu, Ya Api alam semesta?

Malapetaka telah mencapai kemuncaknya: Di manakah tanda-tanda pertolongan-Mu, Ya Penyelamat alam semesta?

Kegelapan telah meliputi kebanyakan bangsa: Di manakah sinaran kecemerlangan-Mu, Ya Kecemerlangan alam semesta?

Leher semua manusia telah ditegakkan dengan penuh kedengkian: Di manakah pedang-pedang pembalasan-Mu, Ya Pemusnah alam semesta?

Penghinaan telah mencapai kedalaman yang paling teruk: Di manakah lambang-lambang kemuliaan-Mu, Ya Kemuliaan alam semesta?

Dukacita telah melanda Pewahyu Nama-Mu, Yang Maha Pengasih: Di manakah keriangan Tempat Terbit Wahyu-Mu, Ya Kesenangan alam semesta?

Kesengsaraan telah menimpa semua bangsa di bumi: Di manakah panji-panji kegembiraan-Mu, Ya Keriangan alam semesta?

Engkau melihat Tempat Terbit tanda-tanda-Mu diselubungi bisikan-bisikan jahat: Di manakah jari-jari keperkasaan-Mu, Ya Kekuasaan alam semesta?

Kehausan yang teramat telah menguasai semua manusia: Di manakah sungai kurnia-Mu, Ya Rahmat alam semesta?

Ketamakan telah mencengkam semua manusia: Di manakah penjelmaan ketakterikatan, Ya Tuhan alam semesta?

Engkau melihat Orang Yang Diperlakukan Tidak Adil ini bersendirian dalam pengasingan: Di manakah angkatan-angkatan syurga Perintah-Mu, Ya Pemerintah alam semesta?

Aku telah ditinggalkan bersendirian di negeri yang asing: Di manakah lambang-lambang kesetiaan-Mu, Ya Kesetiaan alam semesta?

Seksaan-seksaan maut telah menguasai semua manusia: Di manakah gelora samudera kehidupan abadi-Mu, Ya Kehidupan alam semesta?

Bisikan-bisikan Syaitan telah ditiupkan kepada setiap makhluk: Di manakah meteor api-Mu, Ya Cahaya alam semesta?

Kemabukan hawa nafsu telah menyesatkan kebanyakan manusia: Di manakah fajar-fajar kesucian, Ya Hasrat alam semesta?

Engkau melihat Orang Yang Diperlakukan Tidak Adil ini diselubungi dalam kezaliman di antara orang-orang Syria: Di manakah kecemerlangan cahaya fajar-Mu, Ya Cahaya alam semesta?

Engkau melihat Daku dilarang bersabda: Jika begitu, dari manakah akan muncul lagu-lagu-Mu, Ya Bulbul alam semesta?

Kebanyakan orang diselubungi khayalan dan angan-angan kosong: Di manakah pendukung-pendukung keyakinan-Mu, Ya Jaminan alam semesta?

Baha sedang tenggelam dalam lautan kesengsaraan: Di manakah Bahtera keselamatan-Mu, Ya Penyelamat alam semesta?

Engkau melihat Tempat Terbit ucapan-Mu dalam kegelapan alam ciptaan: Di manakah suria syurga kurnia-Mu, Ya Pemberi Cahaya alam semesta?

Lampu-lampu kebenaran dan kemurnian, kesetiaan dan kehormatan, telah dipadamkan: Di manakah tanda-tanda pembalasan kemurkaan-Mu, Ya Penggerak alam semesta?

Dapatkah Engkau melihat seorangpun yang menolong Engkau Sendiri, atau yang merenungkan apa yang telah menimpa-Nya dalam jalan cinta-Mu? Kini pena-Ku berhenti, Ya Kekasih alam semesta.

Dahan-dahan Sidratul Muntaha sudah sekah oleh angin kencang nasib yang menderu: Di manakah panji-panji pertolongan-Mu, Ya Pembela alam semesta?

Wajah ini tersembunyi dalam debu fitnah: Di manakah bayu-bayu rahmat-Mu, Ya Pengasih alam semesta?

Jubah kekudusan telah dinodai oleh orang-orang pendusta: Di manakah perhiasan kesucian-Mu, Ya Penghias alam semesta?

Lautan kurnia terdiam akibat apa yang telah diperbuat oleh tangan-tangan manusia: Di manakah gelombang-gelombang anugerah-Mu, Ya Hasrat alam semesta?

Pintu yang menuju ke Hadirat Ilahi telah terkunci kerana kezaliman musuh-musuh-Mu: Di manakah kunci kurnia-Mu, Ya Pembuka alam semesta?

Daun-daun menguning oleh angin-angin hasutan yang beracun: Di manakah curahan awan-awan kurnia-Mu, Ya Penganugerah alam semesta?

Alam semesta digelapkan oleh debu dosa: Di manakah bayu-bayu pengampunan-Mu, Ya Pengampun alam semesta?

Pemuda ini kesepian di negeri terpencil: Di manakah hujan rahmat syurgawi-Mu, Ya Penganugerah alam semesta?

Wahai Pena Agung, Kami telah mendengar panggilan-Mu yang paling merdu dalam alam baka:

Dengarkanlah oleh-Mu apa yang Lidah Kebesaran sabdakan, Ya Engkau Yang Diperlakukan Tidak Adil alam semesta!

Seandainya tiada kedinginan, bagaimanakah kehangatan kalimat-Mu akan menyerlah, Ya Pesuruh alam semesta?

Seandainya tiada malapetaka, bagaimanakah matahari kesabaran-Mu bersinar, Ya Cahaya alam semesta?

Jangan meratap kerana orang-orang jahat, Engkau diciptakan untuk bersabar dan tabah, Ya Kesabaran alam semesta.

Alangkah manisnya terbit-Mu di atas ufuk Waadat antara penghasut kederhakaan, dan kerinduan-Mu kepada Tuhan, Ya Cinta alam semesta.

Demi Engkau panji kemerdekaan telah ditegakkan di atas puncak-puncak tertinggi, dan lautan kurnia telah bergelombang, Ya Pesona alam semesta.

Demi ketunggalan-Mu Suria Keesaan telah bersinar, dan demi pembuangan negeri-Mu Kesatuan telah dihiasi. Bersabarlah, Ya Orang Buangan alam semesta.

Kami telah menjadikan penghinaan sebagai pakaian kemuliaan, dan penderitaan sebagai perhiasan tubuh-Mu, Ya Kebanggaan alam semesta.

Engkau melihat kalbu-kalbu penuh dengan kebencian, dan untuk memaafkan adalah sifat-Mu, Ya Penutup dosa-dosa alam semesta.

Apabila pedang-pedang diradak, maralah ke depan! Apabila anak-anak panah terbang meluncur, teruslah maju! Ya Engkau Korban alam semesta.

Apakah Engkau meratap, atau Aku yang akan meratap? Malah Aku akan menangis kerana sedikitnya para pembela-Mu, Ya Engkau yang menyebabkan ratapan alam semesta.

Sesungguhnya, Aku telah mendengar Panggilan-Mu, Ya Kekasih Yang Maha Mulia; dan kini wajah Bahá bernyala dengan kepanasan kesengsaraan dan dengan api firman-Mu yang bercahaya dan Dia telah bangkit dengan kesetiaan di medan pengorbanan, memandang ke arah keredaan-Mu, Ya Pentakdir alam semesta.

Wahai Ali-Akbar, berterima kasihlah kepada Tuhan-Mu atas Loh ini, kerana engkau telah menghirup keharuman kelembutan hati-Ku dan mengetahui apa yang telah menimpa Kami di jalan Tuhan, Sang Pujaan alam semesta.

Seandainya semua hamba membaca dan merenungkan ini, maka dalam urat darah mereka akan berkobar api yang akan menyalakan alam semesta.

#12201
- Bahá'u'lláh

 

LOH RIḌVÁN

LOH RIḌVÁN

(Yang berikut adalah himpunan beberapa perenggan terpilih)

Musim semi Ilahi telah datang, Ya Pena Yang Maha Luhur, kerana Perayaan Yang Maha Pengasih sedang mendekati dengan segera. Gerakkanlah dirimu, dan muliakanlah di hadapan seluruh ciptaan, nama Tuhan, dan rayakanlah pujian-Nya, sedemikian rupa sehingga segala sesuatu yang diciptakan dapat dihidupkan kembali dan diperbaharui. Berbicaralah, dan janganlah berdiam sahaja. Suria kebahagiaan bersinar di atas ufuk nama Kami, Sang Bahagia, kerana kerajaan nama Tuhan telah dihiasi dengan perhiasan nama Tuhanmu, Pencipta semua langit. Bangkitlah di hadapan bangsa-bangsa dunia ini dan lengkapkanlah dirimu dengan kekuasaan Nama Yang Terbesar ini, dan janganlah termasuk dalam kalangan mereka yang ragu-ragu.

Inilah Hari di mana dunia ghaib berteriak: "Besarlah rahmat-Mu, wahai bumi kerana engkau telah dijadikan tempat berpijak Tuhanmu, dan telah dipilih sebagai singgahsana-Nya yang maha besar". Alam kemuliaan menyatakan: "Semoga hidupku dapat dikorbankan bagimu, kerana Dia, Kekasih Yang Maha Pengasih telah mendirikan kedaulatan-Nya di atasmu, melalui kekuasaan Nama-Nya yang telah dijanjikan kepada segala sesuatu, baik pada masa lampau mahupun yang akan datang"…

Bangkitlah dan umumkanlah kepada seluruh ciptaan khabar gembira bahawa Dia Yang Maha Pengasih telah mengarahkan langkah-langkah-Nya menuju ke Riḍván dan memasukinya. Maka bimbinglah orang-orang ke taman kenikmatan yang telah Tuhan jadikan takhta Firdaus-Nya. Kami telah memilih engkau menjadi Trompet yang maha kuasa yang tiupannya akan menandakan kebangkitan seluruh umat manusia.

Tariklah kalbu-kalbu manusia, melalui panggilan Dia, Kekasih yang tunggal. Katakanlah: Inilah Suara Tuhan, jika engkau ingin mendengarkan. Inilah Fajar Wahyu Tuhan, jika engkau mengetahuinya. Inilah Tempat Terbit Firman Tuhan, jika engkau mengenalnya. Inilah Sumber perintah Tuhan, jika engkau menimbangnya dengan adil. Inilah Rahsia yang nyata dan tersembunyi; jika engkau melihatnya. Wahai orang-orang di dunia! Singkirkanlah atas nama-Ku yang melebihi semua nama-nama, segala sesuatu yang engkau miliki dan selamkanlah dirimu dalam Samudera ini yang dalamnya tersembunyi mutiara-mutiara ilmu dan ucapan, suatu samudera yang bergelombang atas nama-Ku, Yang Maha Pengasih. Demikianlah Perintah Dia Yang Memiliki Ibu Kitab.

Sang Kekasih telah datang. Pada tangan kanan-Nya terletak Wain nama-Nya yang tertutup rapat. Gembiralah orang yang menghadap kepada-Nya dan meminum sepuas-puasnya dan berseru: "Pujian bagi-Mu, Ya Pewahyu tanda-tanda Tuhan!" Demi keadilan Yang Maha Kuasa! Setiap sesuatu yang tersembunyi telah dinyatakan melalui kuasa kebenaran. Semua anugerah Tuhan telah diturunkan sebagai tanda rahmat-Nya. Air kehidupan yang kekal telah dipersembahkan sepenuhnya kepada manusia. Setiap cawan telah ditawarkan oleh Tangan Sang Kekasih. Dekatilahnya dan janganlah teragak-agak, meskipun untuk sesaat.

Bergembiralah dengan kebahagiaan yang amat, wahai umat Bahá, apabila engkau mengingati Hari Kegembiraan yang tertinggi, pada Hari Lidah Zaman Purba telah berbicara, ketika Dia keluar dari Rumah-Nya, menuju ke Tempat dari mana Dia mencurahkan kegemilangan nama-Nya, Yang Maha Pengasih pada seluruh ciptaan. Tuhan adalah saksi Kami.

#12197
- Bahá'u'lláh

 

LOH ZIARAH

LOH ZIARAH

(Doa ini dibaca di Makam Bahá’u’lláh dan Báb. Ia juga digunakan untuk memperingati hari-hari ulangtahun Mereka.)

Pujian yang berasal daripada Diri-Mu Sendiri Yang Maha Luhur, dan kemuliaan yang telah bersinar daripada Keindahan-Mu yang maha cemerlang, terletak pada-Mu, Ya Engkau, Penjelmaan Keagungan, dan Raja Keabadian, dan Tuhan segala yang ada di langit dan di bumi! Aku naik saksi bahawa melalui Engkau, kedaulatan Tuhan dan kekuasaan-Nya, serta keagungan Tuhan dan kebesaran-Nya, telah dinyatakan, dan Suria-Suria kecemerlangan purba telah memancarkan sinar-Nya di langit perintah-Mu yang berdaulat dan Keindahan Yang Ghaib telah bersinar di atas ufuk alam ciptaan. Selain daripada itu, aku naik saksi, bahawa hanya dengan satu gerak Pena-Mu, maka perintah "Kun"* daripada-Mu telah terlaksana dan Rahsia Tuhan yang tersembunyi telah terbuka, dan segala yang diciptakan telah dihidupkan, dan semua Wahyu diturunkan.

jadilah

Aku naik saksi, selain itu, bahawa melalui keindahan-Mu maka keindahan Yang Dipuja telah terbuka, dan kerana wajah-Mu maka wajah Dia Yang Dihasrati bersinar, dan melalui satu kata daripada-Mu, Engkau telah menentukan antara segala makhluk, dengan demikian menyebabkan mereka yang mengabdi kepada-Mu untuk naik ke puncak kemuliaan dan mereka yang kafir jatuh ke dalam jurang yang serendah-rendahnya.

Aku naik saksi bahawa barangsiapa yang telah mengenal Engkau telah mengenal Tuhan, dan barangsiapa yang telah mencapai kehadiran-Mu telah mencapai kehadiran Tuhan. Oleh sebab itu diberkatilah dia yang telah percaya kepada-Mu, dan akan tanda-tanda-Mu, dan telah merendahkan dirinya di hadapan kedaulatan-Mu, dan telah mendapatkan kehormatan bertemu dengan-Mu, dan telah mencapai keredaan kehendak-Mu, dan mengelilingi di sekitar-Mu dan berdiri di hadapan singgahsana-Mu. Dilaknatilah dia yang telah melawan perintah-Mu, dan telah menyangkal Engkau, dan mengingkari tanda-tanda-Mu, dan membantah kedaulatan-Mu, dan bangkit menentang Diri-Mu, dan menjadi sombong di hadapan wajah-Mu, dan telah mempertikaikan bukti-bukti-Mu, dan lari daripada kekuasaan-Mu dan kerajaan-Mu, dan telah termasuk bilangan mereka yang kafir yang nama-namanya telah ditulis oleh jari perintah-Mu dalam Loh-Loh-Mu yang suci.

Hembuskanlah kepadaku, Ya Tuhanku dan Kekasihku, daripada tangan kanan kemurahan-Mu dan kasih sayang-Mu, nafas suci rahmat-Mu agar ia dapat menarik daku jauh daripada diriku dan daripada dunia ke arah istana kedekatan-Mu dan kehadiran-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang menguasai segala sesuatu.

Pengingatan kepada Tuhan dan pujian-Nya, dan kemuliaan Tuhan dan kecemerlangan-Nya, terletak pada-Mu, Ya Engkau yang menjadi Keindahan-Nya! Aku naik saksi bahawa mata alam ciptaan belum pernah melihat orang yang diperlakukan tidak adil seperti Engkau. Engkau telah ditenggelamkan selama keseluruhan hidup-Mu ke dalam samudera kesengsaraan. Pada suatu masa Engkau telah dibelenggu dan dirantai; dan pada masa yang lain Engkau diancam oleh pedang musuh-musuh-Mu. Walaupun demikian, Engkau telah memerintahkan kepada semua agar melaksanakan apa yang telah ditetapkan kepada-Mu oleh Dia, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

Semoga rohku menjadi korban bagi perlakuan-perlakuan tak adil yang Engkau deritai, dan jiwaku menjadi penebus kesengsaraan yang telah Engkau alami. Aku memohon kepada Tuhan, demi Engkau dan demi mereka yang wajah-wajahnya telah diterangi oleh kecemerlangan cahaya wajah-Mu dan yang telah melaksanakan semua yang diperintahkan kepada mereka demi cinta kepada-Mu, agar menghapuskan tabir yang menghalang Engkau dan makhluk-makhluk-Mu, dan menganugerahiku dengan kebaikan dunia ini dan akhirat. Engkau, sesungguhnya, Yang Maha Kuat, Yang Maha Luhur, Yang Maha Mulia, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Pengasih.

Berkatilah, Ya Tuhan, Tuhanku, Sidratul Muntaha dan daun-daun-Nya dan ranting-ranting-Nya dan cabang-cabang-Nya, dan batang-batang-Nya, dan tunas-tunas-Nya, selagi berlangsungnya gelaran-Mu yang maha luhur dan sifat-sifat-Mu yang tertinggi. Maka, lindungilah semuanya itu daripada kekejaman para penyerang dan bala tentera kezaliman. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Besar, Yang Maha Kuasa.

Berkatilah lagi, Ya Tuhan, Tuhanku, hamba-hamba-Mu dan dayang-dayang-Mu yang telah mencapai-Mu. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Dermawan, Yang Kurnia-Nya tak terbatas. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Dermawan.

#12200
- Bahá'u'lláh

 

LOH ZIARAH 'ABDU’L-BAHÁ

LOH ZIARAH 'ABDU’L-BAHÁ

(Doa ini, telah ditulis oleh 'Abdu'l-Bahá, dibaca di Makam-Nya. Ia juga boleh digunakan sebagai doa peribadi.)

Barangsiapa membaca doa ini dengan rendah hati dan kesungguhan akan membawa kegembiraan dan kesenangan kepada hati Hamba ini; bahkan akan seperti bertemu dengan-Nya berhadapan muka.

Dia adalah Yang Maha Mulia!

Ya Tuhan, Tuhanku! Dengan rendah hati dan berlinangan air mata, aku mengangkat tangan permohonanku kepada-Mu dan menutup wajahku dengan debu di Ambang pintu-Mu, yang luhur di atas pengetahuan orang-orang yang berilmu, dan pujian semua orang yang memuliakan Engkau. Dengan belas kasihan, pandanglah hamba-Mu yang rendah hati dan hina di hadapan pintu-Mu dengan pandangan mata rahmat-Mu, dan selamkanlah dia dalam Samudera kurnia-Mu yang abadi.

Tuhan! Dia seorang hamba-Mu yang miskin dan rendah hati, yang terpesona dan sedang memohon kepada-Mu, berada dalam genggaman tangan-Mu, berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada-Mu, percaya kepada-Mu, dengan air mata berlinangan di hadapan wajah-Mu, memanggil-Mu dan merayu kepada-Mu sambil mengatakan:

Ya Tuhan, Tuhanku! Berikanlah kepadaku kurnia-Mu agar dapat berkhidmat kepada kekasih-kekasih-Mu, kuatkanlah aku dalam pengabdianku kepada-Mu, terangilah keningku dengan cahaya pemujaan dalam istana kesucian-Mu dan doa dalam kerajaan kebesaran-Mu. Tolonglah daku agar tidak mementingkan diri sendiri di ambang pintu syurgawi-Mu dan bantulah daku agar takterikat kepada segala sesuatu dalam lingkungan suci-Mu. Tuhan! Berilah daku minum daripada cawan tak mementingkan diri sendiri; dengan jubahnya selimutilah daku, dan dalam samuderanya selamkanlah daku. Jadikanlah daku bagaikan debu di jalan para kekasih-Mu, dan izinkanlah daku untuk mengorbankan jiwaku bagi bumi yang dimuliakan oleh jejak langkah orang-orang pilihan-Mu di jalan-Mu, Ya Raja Kemuliaan Yang Tertinggi.

Dengan doa ini hamba-Mu memanggil-Mu pada waktu fajar dan pada waktu malam. Tunaikanlah hasrat hatinya, Ya Tuhan! Terangilah hatinya, riangkanlah dadanya, nyalakanlah cahayanya, agar dia dapat mengabdi kepada Akidah-Mu dan kepada hamba-hamba-Mu.

Engkau Penganugerah, Yang Mengasihani, Yang Maha Dermawan, Yang Maha Rahim, Yang Maha Pengasih, Yang Penyayang.

#12199
- `Abdu'l-Bahá